Skip to main content

Singapura

Sejarah kesukanan, pengangkutan awam tempatan tumpuan Pesta Warisan SG tahun ini

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tiket bas yang dicetak mungkin tidak lagi wujud dalam sistem pengangkutan awam Singapura sekarang.

Namun, para pengunjung Pesta Warisan Singapura (SHF) yang ke-20 mungkin berpeluang untuk meninjau tiket tersebut.

Pesta tersebut, yang berlangsung selama empat hujung minggu pada Mei, bakal menyaksikan lebih 80 program yang dikendalikan bagi meraikan ulang tahun beberapa peristiwa penting dalam pentas sukan serta sektor pengangkutan awam.

Ini termasuk ulang tahun ke-50 pengendali pengangkutan SBS Transit dan ulang tahun pelancaran sistem MRT yang ke-35.

Tahun ini juga menyambut beberapa peristiwa penting negara yang lain, termasuk ulang tahun Lembaga Warisan Negara (NHB) yang ke-30, Muzium Sukan Singapura yang ke-40 dan ulang tahun Majlis Sukan Singapura yang ke-50.

PENGALAMAN IMERSIF

Pesta tersebut akan menampilkan satu siri bengkel dan program yang mengisahkan tentang pengangkutan awam Singapura, seperti pengalaman pencetakan tiket bas yang dilaksanakan pada suatu ketika dahulu.

Terdapat juga pameran memorabilia pengangkutan awam lain, termasuk perkongsian oleh kapten bas paling muda di Singapura, Matthew Tay mengenai perjalanan kerjayanya.

Kisah mengenai pekerja pengangkutan selama beberapa tahun ini, daripada penarik beca kepada pemandu kenderaan sewa privet, juga akan dipaparkan menerusi satu pementasan.

MENJADIKAN WARISAN LEBIH RELEVAN

Terdapat juga seni pemasangan "Homeground" di Muzium Negara Singapura, dengan karya-karya yang menampilkan elemen daripada 10 jejak warisan menerusi kejiranan-kejiranan yang berbeza, di samping sesi penceritaan, kegiatan kraf serta kuiz untuk disertai.

Dengan menampilkan objek dan kegiatan seharian, pesta tersebut berharap para pengunjung dapat berhubung dengan aspek-aspek tersebut daripada warisan negara ini.

Pengarah pesta SHF David Chew berkata: "Kami berharap lebih ramai Singapura akan tampil (dan) akan melakarkan program bersama kami bagi pesta tersebut. Kurang mengenai kami, lebih mengenai masyarakat, warga Singapura memiliki dan mengongsi warisan mereka dengan rakan-rakan serta keluarga mereka, juga orang ramai secara meluas."

Orang ramai boleh mengunjungi laman sgheritagefest.gov.sg untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program tersebut.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita