Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sejarah Kapal Haji: 'Jangan biar lepas begitu saja'

Encik Jamaal Anthony Green yang kini menetap di New Zealand menulis buku ‘Kapal Haji – By Sea to Mecca’ yang menyorot sejarah pelayaran kapal haji dari 1830 hingga 1970.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sebelum membuka cerita tentang kisah-kisah kapal haji yang bakal dimuatkan dalam bukunya, penulis Encik Jamaal Anthony Green sempat bersenda: “Awak nak tahu kenapa ‘mat saleh’ ni tulis buku ini kan?”

Encik Jamaal sebenarnya bukanlah ‘orang asing’ di Singapura. Meskipun kini menetap di New Zealand, beliau pernah bertugas sebagai guru di sini selama 18 tahun dan masih kerap berulang-alik antara kedua-dua negara.

Antara sebabnya, bidang penulisan beliau yang luas turut meliputi masyarakat Melayu/Islam di sini. Pada 2006 Encik Jamaal pernah diberi tanggungjawab menulis sebuah buku untuk MUIS bertajuk ‘Our Journey - 30 Years of Haj Services in Singapore’ atau ‘Perjalanan Kita - 30 Tahun Khidmat Haji di Singapura’. Satu bahagian dalam buku tersebut tentang perjalanan laut para jemaah haji terdahulu mencetus minat beliau untuk menyelongkar ‘sejarah orang kebanyakan’ mengharungi pelayaran penuh dugaan dan rintangan itu. Bermulalah kajian dan penulisan buku bertajuk ‘Kapal Haji – By Sea to Mecca’ yang menyorot sejarah pelayaran kapal haji dari 1830 hingga 1970.

KEADAAN DI ATAS KAPAL HAJI PENUH MENCABAR

Encik Jamaal menerangkan bahawa abad ke 18 menyaksikan permulaan sistem perjalanan haji secara teratur. Dari kapal layar yang mengambil masa hingga 50 hari kepada kapal api yang memendekkan masa perjalanan kepada 14 hari di awal abad ke 20.

Penulis bersama buku ‘Kapal Haji – By Sea to Mecca’, Encik Jamaal Anthony Green (Gambar: Emillia Amin/BERITAmediacorp)

Penulis bersama buku ‘Kapal Haji – By Sea to Mecca’, Encik Jamaal Anthony Green (Gambar: Emillia Amin/BERITAmediacorp)

“Pada 1868 sebuah kapal yang mempunyai lesen membawa 216 jemaah dari Singapura, Melaka dan Pulau Pinang akhirnya mengangkut 650 orang,” jelas Encik Jamaal.

Pengenalan kapal api tidak mengurangkan masalah kesesakan. Kapal Api Tyndareus yang juga dikenali sebagai Kapal Haji Serombong Biru dan kemudian Anking dan Anshun memuatkan lebih 1,000 jemaah. Ini meningkatkan risiko penyakit seperti cacar dan taun. Ditambah pula cuaca tidak menentu di tengah lautan para jemaah bersabung nyawa untuk meneruskan perjalanan.

“ANDA TIDAK TAHU SIAPA AKAN PULANG”

Malah seorang bekas kelasi yang dapat dihubungi Encik Jamaal menerusi surat, melahirkan rasa sedih menyaksikan kematian hampir setiap hari di kapal haji Atreus dalam perjalanan pulang dari Arab Saudi pada 1948.

Di dalam suratnya Kapten Gwilym Owen menulis, “Para jemaah selama berminggu-minggu terdedah kepada panas terik di Arab Saudi dan kebanyakan mereka lanjut usia. Dengan amat sedih saya katakan kematian berlaku hampir setiap hari”.

Kapten Gwilym Owen mengenang kematian di atas kapal haji Atreus, Oktober 1948 (Gambar ihsan: Anthony Green)

Kapten Gwilym Owen mengenang kematian di atas kapal haji Atreus, Oktober 1948 (Gambar ihsan: Anthony Green)

Tambah Encik Jamaal dengan nada sebak, “Azan sering dilaungkan dan kapal-kapal akan bertolak dengan perlahan. Ada seorang yang berkata azan kedengaran seolah-olah terapung-apung di lautan dan bergema untuk selama-lamanya. Saya rasa Cikgu Md Fadzil dari Kampong Gelam, beliau menggambarkan suasananya terasa ‘sepi dan sayu’. Ada rasa mendambakan kerana airmata dititiskan dan ramai yang tidak ingin pulang dan anda tidak tahu siapa yang akan pulang. Bagi saya ia satu cerita yang meninggalkan kesan mendalam.”

PERLU RAKAM SEJARAH ORANG KEBANYAKAN

“Anda perlu rakamkan perkara-perkara ini, anda tidak boleh biarkannya lepas begitu saja. Mereka (jemaah haji) sendiri tidak akan bercakap tentangnya dan bukan untuk mereka bercakap tentangnya," katanya lagi.

Encik Jamaal beberapa kali merujuk kepada keyakinan jemaah bahawa mereka merupakan tetamu atau ‘dhuyuf’ ke Baitullah lantas menganggap tidak wajar untuk mengeluh atau merungut walau apa pun kesulitan yang dihadapi sepanjang perjalanan getir meredah badai dan ombak demi memenuhi salah satu matlamat utama dalam hidup mereka. Mencungkil tanggapan peribadi mereka tentang perjalanan yang dilalui itu merupakan satu cabaran.

Tempat tidur di atas kapal haji Tyndareus, 1960 (Gambar ihsan: Anthony Green)

Tempat tidur di atas kapal haji Tyndareus, 1960 (Gambar ihsan: Anthony Green)

Maka itu Encik Jamaal sebaliknya berusaha menggambarkan keadaan sekitar pelayaran kapal haji di masa itu. Ini membawa nilai penting kepada usaha merakam sejarahnya.

“Di atas kapal haji ada guru kapal dan ada ceramah yang dianjurkan tabung haji Malaysia. Kitab-kitab disediakan di atas kapal dan kadang-kala ada tayangan filem. Ada juga musollah di mana mereka sembahyang berjemaah, mereka berjumpa dan melalui pengalaman bersama,” tambah Encik Jamaal. Malah para jemaah juga difahamkan memasak di atas kapal.

BUKU SIAP JELANG FEBRUARI DEPAN

Buku yang ditulis bersama mantan wartawan dan penulis mapan Encik Mohd Raman Daud itu menerima sokongan dana dari Lembaga Warisan Negara (NHB) dan dijangka siap menjelang Februari tahun depan, sekitar 10 tahun selepas Encik Jamaal memulakannya.

‘Kapal Haji – By Sea to Mecca’ berharap dapat menggariskan kesungguhan dan semangat waja para jemaah haji terdahulu mengharungi pelbagai cabaran demi mencapai satu matlamat utama tanpa menuntut apa-apa.

Mungkin juga dengan sendirinya soalan Encik Jamaal di awal tadi terjawab sudah kerana nilai kemanusiaan yang disingkap dari sejarah kapal haji ini pasti saja dapat diamati dan dihargai oleh sesiapa pun tanpa batas kaum, agama mahupun negara.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan