Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sehingga 30 individu lengkap divaksin boleh bersukan bersama mulai 25 Feb

Anggaran Waktu Membaca:
Sehingga 30 individu lengkap divaksin boleh bersukan bersama mulai 25 Feb

(Gambar: Aaron Low/TODAY)

Diterbitkan : 16 Feb 2022 08:25PM Dikemas Kini : 16 Feb 2022 11:38PM

SINGAPURA: Mulai Jumaat depan (25 Feb), sehingga 30 orang yang sudah divaksin sepenuhnya boleh menyertai kegiatan sukan di kemudahan sukan yang diluluskan, tanpa perlu mengambil ujian kendiri di kemudahan itu sebelum mula bersukan.

Sementara itu, lawatan ke semua wad hospital dan rumah jagaan akan digantung lagi empat minggu dari 21 Februari hingga 20 Mac, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada hari ini (16 Feb).

Mulai 25 Februari, kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah yang tidak divaksin, atau dilahirkan pada 2010 dan seterusnya, tidak perlu datang dari rumah yang sama untuk digolongkan ke dalam kumpulan yang memasuki premis atau mengambil bahagian dalam aktiviti dengan langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi (VDS).

Mengenai langkah yang dilonggarkan bagi sukan, MOH menyatakan dalam satu kenyataan bahawa "tiada bukti kukuh" menunjukkan bahawa sentuhan semasa bermain sukan membawa kepada jangkitan.

“Sebaliknya, dua tahun dengan langkah pengurusan selamat sudah menjejaskan kesejahteraan fizikal, emosi dan mental rakyat kita, terutamanya golongan muda,” menurut kementerian itu.

Di bawah langkah yang dilonggarkan mulai minggu depan, peraturan COVID-19 yang sedia ada akan digunakan sebelum dan selepas aktiviti sukan dan semasa berehat.

Walaupun tiada syarat bagi ujian tambahan dikenakan selagi semua peserta sudah divaksin sepenuhnya, MOH amat menggalakkan peserta untuk melakukan ujian kendiri sebelum hadir bagi kegiatan sukan dan jangan keluar rumah jika diuji positif atau mengalami gejala.

Kumpulan 30 orang yang sudah lengkap divaksin yang dibenarkan menyertai sukan termasuk pemain, jurulatih dan pengadil.

Langkah-langkah pengurusan selamat harus dipatuhi sebelum dan selepas aktiviti sukan dan semasa waktu rehat. 

Menjawab pertanyaan Mediacorp tentang peraturan bagi kemudahan-kemudahan yang tidak diselia seperti padang atau gelanggang yang tidak tertutup, seorang jurucakap Sport Singapore (SportSG) berkata, aktiviti-aktiviti dapat diadakan berdasarkan langkah-langkah pengurusan selamat sedia ada dan saiz kumpulan, sehingga lima individu. 

"Lebih banyak maklumat tentang langkah-langkah pengurusan selamat, termasuk kemudahan-kemudahan sukan yang diluluskan, akan dikongsikan kemudian. Sementara itu, SportSG menggesa para peserta agar terus mengamalkan sikap tanggungjawab sosial dengan memakai pelitup dan memastikan jarak selamat antara satu sama lain semasa tidak bermain," kata jurucakap itu.

PENGGANTUNGAN LAWATAN KE WAD HOSPITAL DAN RUMAH JAGAAN

Sebelum ini MOH menyatakan ia akan menangguhkan lawatan ke wad hospital dan rumah jagaan sehingga 20 Februari. Hari ini MOH mengumumkan langkah itu dilanjutkan lagi untuk melindungi kapasiti jagaan kesihatan Singapura dan kumpulan yang mudah terjejas.

Akan ada semakan kepada penggantungan itu selepas dua minggu, kata kementerian itu.

Sekalipun demikian, hospital dan rumah jagaan mempunyai pilihan untuk membenarkan lawatan bagi kes-kes luar biasa, seperti jika pesakit dalam keadaan kritikal.

Hospital dan rumah jagaan juga akan terus menyokong kaedah komunikasi alternatif seperti melalui panggilan telefon atau video untuk memastikan pesakit sentiasa berhubung dengan orang tersayang.
 

Sumber : Today/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan