Segelintir penduduk Tengah masih alami isu kebocoran, pemeluwapan dengan sistem penyejukan berpusat
Sesetengah pemilik flat HDB di Tengah masih dibelenggu isu sistem penyejukan berpusat yang rosak di rumah mereka, beberapa bulan selepas isu kebocoran dengan alat penghawa dingin alternatif itu pertama kali berlaku.
(Gambar: Mitchell Ee)
Petikan gambar dan video yang menunjukkan keadaan lecak di lantai unit-unit flat Bina Ikut Tempah (BTO) di estet perumahan itu - disebabkan oleh sistem penyejukan berpusat yang bocor - dikongsikan secara meluas di sebuah kumpulan sembang Telegram khas untuk mengongsikan isu-isu sedemikian.
Sistem penyejukan berpusat itu merupakan alternatif mampan kepada alat penghawa dingin konvensional dan ia sedang dirintis di Tengah.
Tidak seperti alat penghawa dingin konvensional yang menggunakan penyejuk, sistem penyejuk itu mengeluarkan haba dengan menyalurkan air sejuk menerusi paip ke setiap rumah daripada penyejuk berpusat yang dipasang di blok-blok perumahan terpilih.
Paip-paip berkenaan dipasang di koridor setiap flat dan ke dalam setiap unit menerusi pintu depan.
Masalah dengan sistem penyejukan itu malah berlaku sebelum para penduduk Tengah mula mengambil kunci bagi unit masing-masing mulai Ogos tahun lalu.
Pada November tahun lalu, SP menyatakan ia akan mengecualikan bayaran penggunaan sistem penyejukan berpusat bagi pemilik rumah Tengah sehingga hujung tahun 2023 dan mengurangkan kadar penggunaan mulai 1 Januari tahun ini, antara langkah-langkah yang diperkenalkan.
Namun aduan berlaku kebocoran dan pemeluwapan masih berterusan.
Dalam satu kenyataan pada Isnin (19 Feb), SP Group menyatakan bahawa isu pemeluwapan yang dilaporkan sebelum ini berkaitan dengan mutu kerja dan disebabkan oleh "garis masa lebih singkat" untuk memasang unit gegelung kipas, paip dan penyaluran serta menjalankan ujian sepenuhnya dan menstabilkan sistem itu.
Menurut SP Group, ia bekerjasama dengan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Daikin bagi "mengenal pasti dan mempercepatkan usaha menghuraikan isu yang dilaporkan".
"Bagi mengurangkan kesulitan kepada pelanggan (sistem penyejukan berpusat), kami menyasarkan untuk menghuraikan semua isu yang dilaporkan oleh para pelanggan, dalam masa 10 hari bekerja daripada hari pertama pemeriksaan dilaksanakan," kata jurucakap syarikat itu.
Sistem penyejukan berpusat berkenaan mempunyai lebih 9,000 pelanggan setakat 12 Februari lalu.
Mereka membentuk sekitar 70 peratus daripada pelanggan yang sudah menandatangani pajakan dengan HDB untuk flat-flat di Tengah.
Sekitar 2,600 pelanggan sudah mengambil kunci masing-masing.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.