Skip to main content

Singapura

Segelintir akademi sukan terpaksa batalkan sesi, kembalikan yuran dek peraturan baru COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Feb 2022 08:10AM Dikemas Kini : 07 Feb 2022 09:03PM

SINGAPURA: Segelintir akademi sukan untuk kanak-kanak terpaksa membatalkan sesi latihan dek peraturan yang lebih ketat diumumkan bulan ini buat kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah, yang tidak divaksin. Ini secara tidak langsung menjejas operasi akademi sukan di tempat tertutup.

Mediacorp difahamkan bahawa pembatalan sesi latihan merupakan salah satu langkah terkini yang diambil untuk mematuhi peraturan COVID-19 yang menjejas sektor sukan.

Kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah yang tidak divaksin boleh mengambil bahagian dalam kegiatan sukan di tempat tertutup dalam kumpulan sehingga lima orang tetapi mereka mesti terdiri daripada individu yang duduk serumah, menurut Sport Singapore.

BACA: Kanak-kanak tidak divaksin bersukan di tempat tertutup mesti dari rumah yang sama, 5 sekumpulan

Selain membatalkan sesi dan mengembalikan yuran, beberapa akademi dan tempat sukan di tempat tertutup yang dihubungi Mediacorp mengumumkan bahawa pihaknya harus mengubah semula aturan latihan atau beralih ke tempat terbuka.

"KEHILANGAN 20 PERATUS PELAJAR"

Pengasas Big Blue Floorball School, Kristian Thorbjornsen, berkata dia sudah mengembalikan yuran kepada ibu bapa untuk pelajar yang terpaksa batalkan sesi latihan kerana pelajar sedang menunggu giliran mereka mendapatkan vaksinasi.

Impak terbesar yang dirasai beliau adalah pada kategori Super Junior, yang terdiri daripada kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah.

Usia yang layak menerima suntikan vaksin COVID-19 di Singapura adalah lima tahun ke atas.

Encik Thorbjornsen menjelaskan bahawa beliau tidak boleh mengasingkan pelajar Super Junior untuk mengikuti kelas yang lebih dewasa kerana perbezaan kemahiran pelajar.

Lantas, beliau terpaksa menghentikan sesi latihan buat pelajar lima tahun ke bawah sehingga vaksin ditawarkan buat mereka.

TEMPAT DAN ATURAN ALTERNATIF

SG Basketball, yang juga mengendalikan akademi untuk belia, kini mempunyai 415 pelajar berumur 12 tahun ke bawah yang menjalani latihan di gelanggang tertutup di Chai Chee. Jumlah itu membentuk lebih daripada separuh pelajar yang berdaftar di tempat itu.

Mujur buat akademi tersebut, ia ada gelanggang di kawasan terbuka di Turf City. Ia bercadang untuk memindahkan pelajar Chai Chee mereka ke sana. Namun, jumlah bilangan yang boleh mereka pindahkan tertakluk kepada kapasiti tempat.

Sementara itu, beberapa pusat latihan di tempat tertutup terhindar daripada kesan yang timbul disebabkan langkah-langkah tersebut kerana kebanyakan daripada pelajar mereka merupakan orang dewasa atau remaja yang lebih tua.

Encik Tony Tan, pengurus perniagaan Coldcut yang memiliki dan mengendalikan kemudahan latihan floorball di kawasan tertutup Red Quarters, bernasib baik kerana mereka terlibat dalam skim perintis yang membolehkan mereka menerima kumpulan yang lebih besar.

Di bawah skim perintis itu, kumpulan sehingga 10 pemain dibenarkan berlatih dengan syarat mereka sudah lengkap divaksin dan mengambil ujian pantas antigen di tempat latihan.

Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita