Skip to main content

Singapura

Segar, unik dan relevan: Pasar raya mewah SG sesuaikan diri dengan cita rasa pengguna

Bilangan pasar raya mewah atau 'gourmet' kian meningkat di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Segar, unik dan relevan: Pasar raya mewah SG sesuaikan diri dengan cita rasa pengguna

Ryan’s Grocery merupakan sebahagian daripada kumpulan pasar raya mewah yang semakin berkembang dalam landskap pasar raya Singapura yang sangat kompetitif. (Gambar: CNA/Erin Liam)

SINGAPURA: Bilangan pasar raya mewah atau 'gourmet' kian meningkat di Singapura. Kelompok pasar raya tersebut memenuhi keperluan demografi pengguna yang semakin meningkat, yang mencari tawaran premium dan dipilih dengan teliti - satu selera yang kini berkembang di tengah-tengah perubahan besar dalam landskap runcit yang meluas.

Pada Mac, Kumpulan Runcit DFI mengumumkan penjualan Cold Storage dan Giant kepada peruncit Malaysia, Macrovalue, dengan nilai S$125 juta. Perjanjian itu melibatkan 48 cawangan Cold Storage, 41 cawangan Giant, serta dua pusat pengedaran.

Namun, penjualan itu bukan petanda bahawa industri pasar raya di Singapura sedang mengecil. Sebaliknya, ia mencerminkan perubahan strategi untuk menarik perhatian pangkalan pelanggan yang sedang berubah, menurut Profesor Lawrence Loh dari Universiti Nasional Singapura.

Dengan penduduk yang semakin menua, pasar raya kini menyasarkan pengguna muda, kata profesor dalam bidang strategi dan dasar itu.

“Mereka inilah yang sedang memulakan kerjaya, membina keluarga, jadi permintaan baharu akan datang daripada golongan ini,” tambahnya.
Alpukat dari Australia merupakan antara hasil jualan terbaik Little Farms, menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Joe Stevens. (Gambar: CNA/Erin Liam)
GENERASI YANG PRIHATIN TERHADAP KESIHATAN

Ketika Little Farms membuka cawangan pertamanya pada 2016, penekanan terhadap makanan “segar dan sihat” masih dalam peringkat awal, menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Joe Stevens.

“Apabila orang ramai semakin berpendidikan dan semakin berkemampuan, mereka mula menyedari kaitan antara apa yang dimakan hari ini dengan kesihatan jangka panjang mereka,” katanya kepada Mediacorp.

Hari ini, Little Farms mengendalikan tujuh cawangan, dengan yang kelapan dijadual dibuka pada Julai. Segmen pelanggan yang paling pesat berkembang? Golongan muda Singapura yang berkemampuan.

Apabila Mediacorp mengunjungi cawangan Little Farms di Valley Point pada Jumaat petang (23 Mei), golongan ekspatriat dan warga tempatan muda kelihatan membeli-belah. Antara mereka ialah Cik Charlene Zhu, seorang penyelidik dalam industri makanan yang berusia 35 tahun. Beliau membeli-belah di cawangan berkenaan hampir setiap hari, di mana beliau mendapatkan pencicah istimewa dan keju.

“Perkara pertama yang saya lihat adalah label, kemudian harga, tentunya,” kata Cik Zhu. Namun begitu, beliau menambah bahawa tahap kesihatan dan rasa produk tetap menjadi faktor utama.

Penekanan terhadap mutu merupakan teras kepada identiti Little Farms. Kadangkala, menurut Encik Stevens, tempoh antara penuaian dan masa yang diambil untuk meletakkan produk di rak bagi ditawarkan kepada pelanggan adalah “sesingkat 24 jam sahaja”.
Anna's Gourmet menumpukan kepada barangan khas dari negara-negara di Eropah Tengah dan Timur seperti Poland, Lithuania, Hungary, Croatia, Jerman dan Austria. (Gambar: CNA)
LEBIH DARIPADA SEKADAR PASAR

Sesetengah pasar raya mewah memilih pasaran yang lebih khusus untuk menonjolkan jenama mereka. Pada 2022, Cik Anna Jaeger menjenamakan semula pasar raya Eropah Timur, Bublik, kepada Anna’s Gourmet dengan tumpuan kepada produk Eropah Tengah dan Timur yang sukar didapati di tempat lain di Singapura.

Beliau tidak mahu “bersaing dengan pemain besar dalam pasaran,” kata wanita berusia 46 tahun yang berasal dari Azerbaijan itu.

“Pengkhususan (niche) itu menjadikan segalanya lebih menarik, semestinya, untuk komuniti Eropah Timur dan Tengah kerana produk itu datang dari negara asal mereka,” katanya. “Tetapi untuk penduduk tempatan, ia lebih menarik kerana mereka dapat meneroka dan menemukan sesuatu yang baharu.”

Strategi itu nampaknya membuahkan hasil. Ikan kembung Atlantik salai sejuk yang dijualnya tular di TikTok selepas beberapa pelanggan tempatan memuat naik catatan mengenainya. Kini, rakyat Singapura membentuk 40 peratus daripada pelanggannya – meningkat daripada hanya 10 peratus ketika beliau mula berniaga.

Ditanya sama ada kemudahan membeli-belah secara online menjadi ancaman kepada pasar raya mewah, Profesor Loh berkata ramai yang masih gemar akan pengalaman membeli-belah secara fizikal, terutamanya di kedai seumpama itu.

Unsur “sentuh dan rasa” ketika membeli barangan runcit sukar digantikan, katanya. “Seluruh industri kini … sebenarnya lebih tentang ‘super’ berbanding ‘market’-nya.”

Di Ryan’s Grocery, pelanggan boleh merasa produk dan berbincang dengan pembantu kedai. Seorang pelanggan tetap, Puan Chan, memuji tukang daging di situ kerana memberi nasihat berguna. Beliau juga menyukai potongan dagingnya – “cukup tebal untuk dipanggang”.

Penambahan pilihan yang membolehkan pelanggan menjamu selera seperti di Ryan’s Kitchen turut menarik minat ramai. Pelanggan boleh memilih daging dan mendapatkan khidmat untuk menyediakannya di pasar raya tersebut.

“Lama-kelamaan, anda perlu tawarkan pengalaman yang menyeluruh,” kata Prof Loh. “Jika anda ada F&B bersama pasar raya, anda akan dapat tarik kumpulan pelanggan yang baharu sama sekali.”

BUKAN SEMUANYA INDAH DAN MUDAH

Namun, tidak semua pasar raya mewah mampu bertahan. Jenama seperti PasarBella dan Bootle’s sudah secara senyap-senyap keluar daripada pasaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pengasas bersama Bootle’s, Ben Scott, memberitahu Mediacorp pada 2021 bahawa penutupan itu sebahagiannya berpunca daripada kos yang semakin meningkat.

“Perniagaan ini menjadi pasar raya butik dan mempunyai model kos yang sama seperti mana-mana perniagaan butik lain. Jika diteruskan, Bootle’s akan menjadi seperti kedai butik lain – mahal,” katanya.

Baru-baru ini, East Coast Grocers turut menutup operasi apabila sewa yang meningkat tidak lagi dapat ditanggung, dan lebih ramai pengguna mula makan di luar pasca pandemik, menurut pengasasnya, Sean Lim.

“Saya secara jujur tidak fikir kedai runcit kecil yang beroperasi sendiri boleh berjaya, kerana anda memerlukan skala,” kata Encik Lim, yang membuka kedai khusus untuk hasil segar di East Coast Road pada 2020.

Walaupun terletak di kawasan kejiranan yang dianggap “lebih arif dan berkemampuan”, sukar untuk bergantung pada pelanggan yang memasuki kedai sahaja, tambah lelaki berusia 35 tahun itu, yang kini bekerja dalam bidang penyelesaian ruang kerja korporat.

CABARAN DALAM PASARAN YANG SENGIT

Malah pemain yang berjaya juga berdepan kesukaran. Di Ryan’s Grocery, kos sewa meningkat sebanyak 16 hingga 17 peratus, kata Cik Foo.

Pihaknya cuba untuk tidak memindahkan kos itu kepada pelanggan, tetapi margin keuntungan adalah sangat kecil. “Sekarang bukan lagi tentang keuntungan,” kata wanita berusia 58 tahun itu. “Ini tentang mengekalkan perniagaan dan melihat apa langkah seterusnya.”

Mengekalkan pelanggan setia turut menjadi cabaran. “Pelanggan saya banyak mengembara, lebih arif tentang makanan yang mereka mahu,” kata Cik Foo. “Tapi sebab mereka banyak mengembara, mereka jarang berada di Singapura.”

Anna’s Gourmet juga menghadapi isu yang serupa. “Singapura ialah tempat di mana ekspatriat datang dan pergi … jadi mereka membeli dari anda untuk satu tempoh, kemudian berpindah. Cabarannya adalah untuk mendapatkan pelanggan baharu semula,” kata Cik Jaeger, sambil menambah bahawa keutamaannya kini adalah untuk menarik lebih ramai pembeli tempatan.

Gangguan global turut menjejaskan logistik. Konflik Israel-Gaza baru-baru ini menyebabkan penghantaran dari Eropah tertangguh, memaksa Anna’s Gourmet untuk menggunakan penghantaran udara yang lebih mahal.

Dengan pertumbuhan Little Farms, syarikat itu kini mempunyai “sedikit lebih kuasa pembelian”, kata Encik Stevens. “Kami dapat berunding untuk harga pembelian yang lebih baik daripada pembekal … dan kami kongsikan sebahagian daripada faedah itu dengan pelanggan.”

Jenama itu juga telah berkembang daripada strategi harga premium semata-mata kepada pendekatan berperingkat: “baik, lebih baik, terbaik”.

Encik Stevens berkata syarikatnya yakin permintaan terhadap makanan semula jadi dan organik akan terus meningkat. “Kami melihat potensi untuk menggandakan jejak perniagaan kami dalam lima tahun akan datang,” katanya.

Profesor Madya David Gomulya dari Universiti Pengurusan Singapura berkata, kunci kejayaan bagi pasar raya mewah ialah pembezaan.

Jika penawaran mereka terlalu serupa dengan pasar raya biasa, mereka akan kehilangan kelebihan, katanya. Namun jika mereka berjaya membentuk tumpuan yang jelas, pelanggan sanggup membayar lebih.

“Apa alternatifnya? (Pelanggan) tidak boleh import sendiri,” kata Prof Madya Gomulya, yang mengajar strategi dan keusahawanan di universiti tersebut.

Dalam landskap runcit yang sentiasa berubah, pasar raya mewah yang dapat menyesuaikan diri secara bijak mungkin mampu bertahan.

Jika mereka lenyap, “ramai akan rasa kehilangan … lebih daripada kehilangan pasar raya biasa,” kata Prof Madya Gomulya. “Ramai yang akan rindukan mereka.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita