Skip to main content

Singapura

'Segala usaha lenyap begitu saja': Anggota fakulti Yale-NUS kecam pengurusan buku perpustakaan

Beberapa anggota fakulti di Kolej Yale-NUS menyuarakan kekecewaan terhadap pengurusan bahan perpustakaan selepas 500 buku dikitar semula akibat apa yang digambarkan Universiti Nasional Singapura (NUS) sebagai "kelemahan operasi".

Anggaran Waktu Membaca:
'Segala usaha lenyap begitu saja': Anggota fakulti Yale-NUS kecam pengurusan buku perpustakaan

Sekitar 8,500 buku koleksi perpustakaan Kolej Yale-NUS berjaya diselamatkan. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

SINGAPURA: Beberapa anggota fakulti di Kolej Yale-NUS menyuarakan kekecewaan terhadap pengurusan bahan perpustakaan selepas 500 buku dikitar semula akibat apa yang digambarkan Universiti Nasional Singapura (NUS) sebagai "kelemahan operasi".

Dua orang profesor memberitahu Mediacorp pada Khamis (22 Mei) bahawa mereka tidak dimaklumkan tentang sebarang peluang untuk menuntut 9,000 buku lebihan – termasuk salinan atau judul yang mencatat kadar penggunaan rendah – yang dikenal pasti untuk dilupuskan.

Menurut Profesor Madya Natalie Pang, pustakawan universiti di NUS, buku-buku tersebut merangkumi sekitar 20 peratus daripada keseluruhan koleksi perpustakaan kolej tersebut.

Beliau berkata bahawa pelupusan tersebut selaras dengan amalan perpustakaan yang biasa apabila buku tidak dituntut para anggota fakulti atau tidak dipindahkan ke koleksi lain.

Pada Rabu, beberapa gambar dan video yang menunjukkan buku-buku dibungkus dalam beg sampah dan dimuatkan ke dalam trak kitar semula tular online. Gambar-gambar tersebut mencetuskan kemarahan alumni, penuntut dan kakitangan kolej berkenaan.

Sekitar 8,500 buku akhirnya berjaya diselamatkan. Pihak universiti memohon maaf atas kesilapan tersebut, dan Prof Madya Pang menyatakan bahawa perkara itu berlaku kerana kakitangan tidak menyedari minat pelajar terhadap buku-buku tersebut, dan usaha untuk mendekati anngota fakulti juga tidak mencukupi.

“PENYALAHGUNAAN SUMBER TERHAD”

Profesor falsafah Andrew Bailey mengatakan bahawa beliau tidak dimaklumkan tentang sebarang peluang untuk menuntut buku tersebut dan tidak menemui sebarang dokumentasi atau komunikasi yang menawarkan akses kepada para anggota fakulti.

“Isunya bagi saya bukan kerana saya tidak berpeluang mengambil buku percuma sebagai anggota fakulti, atau pelajar yang juga terlepas peluang untuk berbuat sedemikian.

“Isunya ialah buku merupakan sesuatu yang berharga, dan tindakan melupuskannya adalah penyalahgunaan sumber yang terhad,” kata Prof Bailey, yang bertugas di Yale-NUS sejak penubuhannya pada 2012 dan akan menyertai jabatan falsafah NUS selepas kolej itu ditutup hujung tahun ini.

Profesor Madya Andrew Hui, pensyarah sastera dan juga anggota felo pengasas fakulti, turut menyuarakan kebimbangan yang sama. Beliau mengimbas kembali bagaimana beliau pernah menyumbang ratusan cadangan untuk membina koleksi awal perpustakaan tersebut sebelum pustakawan profesional dilantik.

“Segala usaha itu kini lenyap begitu sahaja,” katanya.

Beliau menambah, walaupun perpustakaan NUS kadangkala menganjurkan program penyumbangan buku, ia biasanya melibatkan sumbangan secara sukarela – bukan pelupusan sistematik terhadap stok yang tidak digunakan. Beliau turut mempersoalkan kriteria yang digunakan untuk menentukan "kadar penggunaan rendah".

“Itu bertentangan dengan asas dan fungsi perpustakaan, iaitu untuk memelihara memori budaya.”

Seperti Prof Bailey, beliau juga berkata tiada kakitangan perpustakaan yang menghubunginya untuk menawarkan buku-buku tersebut.

Kedua-dua profesor itu menyatakan bahawa mereka hanya menerima emel baru-baru ini daripada pihak pengurusan kolej yang memaklumkan bahawa buku-buku yang tidak dituntut akan dipindahkan ke perpustakaan lain – namun emel tersebut tidak menyebut sebarang tawaran kepada anggota fakulti untuk menuntut bahan tersebut.

Pada Rabu, Prof Madya Pang, pustakawan universiti tersebut, memaklumkan bahawa NUS akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) baharu di semua perpustakaannya. Protokol baharu itu akan mewajibkan usaha libat urus yang lebih menyeluruh dengan anggota fakulti dan pelajar sebelum sebarang bahan perpustakaan dilupuskan.

Prof Bailey menyambut baik langkah itu sebagai sesuatu yang "bijak", manakala Prof Madya Hui pula menggesa perubahan yang lebih asas: “SOP (sepatutnya) adalah untuk memelihara seberapa banyak buku yang mungkin,” katanya.

Mediacorp telah menghubungi pihak NUS untuk mendapatkan ulasan lanjut.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita