Skip to main content

Singapura

'Sedih terpaksa pergi': Penyewa taman kontena Punggol East kecewa premis bakal ditutup

Lebih 50 penyewa di taman kontena Punggol East sedang membuat persiapan untuk berpindah menjelang akhir bulan. 

Anggaran Waktu Membaca:
'Sedih terpaksa pergi': Penyewa taman kontena Punggol East kecewa premis bakal ditutup

Taman Kontena Punggol East pada 1 September 2026. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 01 Sep 2026 10:08PM
SINGAPURA: Lebih 50 penyewa di taman kontena Punggol East sedang membuat persiapan untuk berpindah menjelang akhir bulan. Tapak tersebut akan dikembalikan kepada pemerintah.

Para penyewa memberitahu Mediacorp bahawa mereka kecewa dengan berita tersebut, dengan sebahagian bimbang tentang nasib para pekerja mereka, manakala yang lain terkilan kerana terpaksa menutup perniagaan lebih awal.

Taman kontena tersebut, yang dikendalikan perusahaan sosial City Sprouts, akan diserahkan semula kepada Penguasa Tanah Singapura (SLA) apabila tempoh sewanya tamat, menurut emel City Sprouts kepada para penyewa yang bertarikh 4 Ogos.

"Memandangkan tapak ini perlu dikembalikan kepada keadaan asal dan diserahkan semula kepada SLA, kami memerlukan semua penyewa untuk menghentikan operasi selewat-lewatnya pada 31 Oktober 2026 dan menyerahkan premis masing-masing kepada City Sprouts menjelang tarikh tersebut," menurut emel yang dilihat Mediacorp.

Menjawab pertanyaan Mediacorp pada Selasa (1 Sep), City Sprouts, yang mengendalikan ladang bandar dan juga merupakan penyewa di taman kontena itu, menyatakan ia menerima notis rasmi pada Mei untuk mengosongkan tapak tersebut dan menjalankan kerja-kerja yang diperlukan bagi mengembalikannya kepada keadaan asal dalam tempoh yang ditetapkan.

Tanah berkenaan perlu dikembalikan kepada SLA apabila tempoh sewanya berakhir pada 31 Disember. "Kami tidak diberikan butiran khusus oleh SLA selain dimaklumkan bahawa ia adalah sebahagian daripada pembangunan semula di bawah Pelan Induk Singapura bagi daerah tersebut," menurut perusahaan sosial tersebut.

"Kami sedar tentang tempoh ini setiap kali pajakan diperbaharui dan para penyewa kami tahu bahawa kami tidak akan mempunyai tapak ini untuk jangka panjang. Meskipun begitu, menerima notis berhubung keputusan muktamad ini juga amat sukar bagi kami," menurut City Sprouts.

Tapak di Punggol itu sudah menjadi "lebih daripada sekadar tempat untuk menjalankan perniagaan", kerana ia juga merupakan ruang untuk membina hubungan dengan para penyewa, petani, rakan kongsi, keluarga dan masyarakat secara lebih luas.

"Kami amat sedih untuk meninggalkan tempat yang sudah kami bina bersama dengan begitu banyak masa dan tenaga, bersama semua yang menjadi sebahagian daripadanya. Kami memahami kekecewaan dan ketidakpastian yang dihadapi para penyewa kami dan kami turut merasakan kekecewaan tersebut," menurut City Sprouts.

"Meskipun keputusan untuk mengembalikan tanah itu bukan dalam kawalan kami, kami sedaya upaya menyokong para penyewa sepanjang tempoh peralihan ini dan dalam memastikan masyarakat serta hubungan yang sudah kami bina diberi perhatian dan penghormatan yang sewajarnya."

City Sprouts memberitahu Mediacorp bahawa para petani dimaklumkan berhubung penyerahan tapak itu pada awal tahun ini, manakala pengendali utama makanan dan minumannya (F&B), D'Heart, dimaklumkan pada Julai selepas City Sprouts mendapatkan penjelasan daripada SLA mengenai kerja-kerja untuk mengembalikan tapak tersebut kepada keadaan asalnya.

City Sprouts sudah mendapatkan ruang baharu di Taman Pasir Ris dan menawarkan keutamaan kepada para petani serta rakan kongsi masyarakat Punggol untuk berpindah ke sana atau ke rumah-rumah hijau masyarakat lain yang dikendalikannya di seluruh Singapura.

Bagi kedai-kedai F&B, perusahaan tersebut menyatakan, ia sudah memaklumkan pengendali utama mengenai pilihan bagi perniagaan untuk mendapatkan gerai di lokasi lain yang dikendalikannya di kawasan timur Singapura.

Selain Punggol, City Sprouts turut mengendalikan ruang hijau di Pasir Ris, Henderson, West Coast dan Bedok.

City Sprouts, yang beroperasi di Punggol sejak pertengahan 2023, juga akan berpindah keluar. Ia sedang berbincang dengan SLA berhubung kemungkinan melanjutkan tempoh sewa dan mendapatkan tapak alternatif.

"Bagaimanapun, pelanjutan tempoh sewa tidak dapat dilakukan kerana keputusan bagi daerah Punggol ini sudah lama menjadi sebahagian daripada Pelan Induk Singapura."

Mediacorp sudah menghubungi SLA untuk mendapatkan maklumat lanjut, termasuk berhubung rancangan bagi tapak tersebut.
Related article image
City Sprouts Punggol, lokasi Taman Kontena Punggol East, pada 1 September 2026. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
PENYEWA SEDIH

Antara yang terjejas ialah Cik Nurnisa Johnson, yang mengendalikan Tara na! by Easy Eatz SG, sebuah perniagaan makanan Filipina halal, bersama suaminya.

Pasangan itu mula menceburi perniagaan tersebut di pusat penjaja dan kedai kopi sekitar 2016, namun menghentikannya disebabkan oleh jualan yang tidak begitu memberangsangkan.

Mereka mencuba sekali lagi pada 2020, kali ini sebagai perniagaan dari rumah mereka yang terletak di Punggol. Sepanjang enam tahun berikutnya, perniagaan mereka berkembang dan mereka menerima antara 100 hingga 150 tempahan setiap hari.

Awal tahun ini, mereka mula menimbangkan untuk memindahkan perniagaan itu keluar dari rumah. Rancangannya adalah untuk mencari dapur yang lebih besar dan apabila mereka menemui sebuah lokasi di taman kontena Punggol East yang berdekatan, pasangan tersebut menandatangani kontrak meskipun mengetahui tempoh sewanya hanya sehingga Disember.

Namun, rancangan tersebut tidak bertahan lama apabila Cik Nurnisa dimaklumkan pada 11 Ogos bahawa beliau perlu mengosongkan premis berkenaan menjelang akhir Oktober.

"Kami benar-benar berharap sekurang-kurangnya dapat meneruskan perniagaan sepanjang musim perayaan sehingga Disember sebelum berpindah dari sini. Tetapi mereka berkata kami perlu berpindah lebih awal, jadi perkara itu benar-benar mengejutkan.

"Kerana Ogos, September, Oktober – memang sukar. Ia sangat sukar bagi saya untuk berpindah, terutama sekali apabila saya baru sahaja menempah nama di sini," kata Cik Nurnisa, sambil menambah bahawa beliau berpindah ke premis tersebut pada Mei.

Kebimbangan utamanya adalah 12 pekerjanya, separuh daripada mereka merupakan warga asing. Beliau berkata beliau belum memaklumkan kepada mereka bahawa kedai itu perlu ditutup dan dikosongkan, dan sedang mencari setidak-tidaknya sebuah dapur bijak supaya para pekerjanya mempunyai tempat untuk terus bekerja.

"Saya tidak boleh begitu sahaja menyuruh mereka pergi selepas baru sahaja memberikan mereka harapan bahawa 'kita akan membina masa depan bersama'. Bagaimana saya boleh mencari tempat dalam masa dua bulan? Ini antara hari-hari yang paling penuh dengan tekanan yang kami lalui," kata Cik Nurnisa yang bergenangan air mata ketika bercakap mengenai para pekerjanya.

Beliau akan bangun seawal pukul 4.00 pagi untuk mencari tempat baharu. Usahanya akhirnya membuahkan hasil apabila beliau menandatangani kontrak untuk berpindah ke Punggol Golf Driving Range pada petang yang sama beliau bercakap dengan Mediacorp.

Namun, menurutnya, taman kontena Punggol East mempunyai "suasana yang berbeza" dan para pelanggan menikmatinya meskipun ia terletak di kawasan terbuka.

"Anda tidak memerlukan penyaman udara kerana dapat menikmati suasana alam semula jadi, burung dan segala-galanya. Kadangkala ada juga lebah dan rama-rama. Ia benar-benar jauh daripada suasana kota, tempat mereka boleh berehat," kata beliau.

Beliau menerima ramai pelanggan sejak membuka perniagaan di taman kontena tersebut, termasuk sebahagian yang datang dari seberang Koswe.

"Kami benar-benar akan merindui masyarakat yang telah kami bina di sini," kata beliau.

Seorang lagi penyewa, Play! Pickle, yang menyediakan kelas bola pikel (pickleball) dan menyewakan gelanggang di Punggol, Serangoon dan Chai Chee, memberitahu Mediacorp bahawa cawangannya di Punggol adalah yang terbesar dan paling kerap dikunjungi pelanggan.

Ia mempunyai enam gelanggang tertutup bagi acara beregu dan sebuah gelanggang tertutup bagi acara perseorangan, serta sebuah gelanggang terbuka, kata pengasasnya Darren Teo.

Beliau membuka cawangan Punggol pada Disember 2024 dan berkata tempoh sewanya adalah sehingga 10 Disember 2026. Notis untuk mengosongkan premis lebih awal mengejutkannya.

"Sudah tentu kami berasa berat hati kerana sudah membina masyarakat pencinta bola pikel yang aktif di sini," kata Encik Teo, sambil menambah bahawa beliau menyukai "suasana seakan-akan kampung" di taman kontena tersebut.

"Kami ... meminta penjelasan mengapa kami perlu menghentikan operasi dan menyerahkan premis menjelang 31 Oktober 2026. Namun, setakat ini kami belum menerima sebarang jawapan daripada mereka," kata Encik Teo.

Beliau berhasrat untuk terus mengendalikan cawangan Punggol sehingga akhir Oktober dan sedang membuat persiapan untuk menyerahkan premis tersebut. Selepas itu, beliau akan memberi tumpuan kepada dua cawangannya yang masih beroperasi.

"Para pelanggan tetap kami sudah tentu kecewa, dengan ramai terkilan dengan penutupan tempat yang selama ini menjadi lokasi utama bagi pertemuan dan kegiatan bola pikel mereka.

"Meskipun kami sedih untuk meninggalkan Tebing Lane, kami gembira kerana berjaya membina sebuah masyarakat yang mesra, aktif dan meriah untuk para peminat bola pikel, tidak kira muda atau tua, yang baharu bermula mahupun yang berpengalaman."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita