Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Sedih' dan 'hampa' - antara luahan jemaah yang terjejas oleh had usia yang ditetapkan untuk Haji 2022

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sedih dan hampa - itulah perasaan yang dapat digambarkan Cik Rahmah Mohd Nor, 67 apabila dimaklumkan tentang had usia yang ditetapkan bagi jemaah haji tahun ini. 

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menetapkan syarat hanya mereka yang berusia bawah 65 tahun dibenarkan menunaikan ibadah haji tahun ini. 

Ini selain perlu diuji negatif dalam masa 72 jam sebelum jemaah tiba di Arab Saudi. 

Cik Rahmah merupakan antara 900 jemaah yang sepatutnya berangkat ke Makkah pada 2020.

(Gambar: AP)

Namun, Singapura tidak menghantar rombongan jemaah haji dua tahun lalu akibat COVID-19.  

Setelah melihat beberapa pelonggaran langkah-langkah pengurusan selamat diumumkan Arab Saudi, Cik Rahmah berharap sangat dapat menunaikan ibadah haji tahun ini. 

"Saya dah berusia 67 tahun, jadi saya rasa sedih. Hampa pun ada sebab kita dah tunggu begitu lama," luah Cik Rahmah kepada BERITAmediacorp. 

"Tak patut lah Arab Saudi menyekat usia umur sebab kita tak boleh pergi tahun kelmarin itu sebab COVID, dua tahun yang lepas. Kita minta kelonggaran daripada Arab Saudi, belas ihsan mereka. Kita pun dah ambil suntikan (vaksin), makcik pun sendiri dah kena COVID anak-beranak semua. Jadi persiapan itu sudah adakan jadi hati ini macam sedih," tambah beliau.

Meskipun begitu, Cik Rahmah akur akan kepentingan syarat-syarat tersebut untuk melindungi golongan yang lebih berisiko akan jangkitan dan kesan jangkitan virus tersebut. 

Beliau berharap terus dikurniakan kesihatan agar dapat naik haji suatu hari nanti. 

"Saya tetap nak pergi walau macam mana pun. Insya-Allah kalau sihat, diizinkan oleh Allah, saya pergi. Cuma satunya, kalau tak dapat pun, umrah pun adakan. Yang hairannya Umrah ini tak ada sekatan umur," tambah Cik Rahmah. 

PENANTIAN 10 TAHUN UNTUK NAIK HAJI

Seorang lagi jemaah yang terjejas dengan syarat berkenaan ialah Encik Salim Ariff Don.

Encik Salim, yang berusia 71 tahun, sudah menunggu hampir 10 tahun bagi peluang ke Haji.

Beliau membuat pendaftaran pada 2012 dan ditawarkan tempat untuk menunaikan ibadah haji pada 2019. 

"Mereka menawarkan untuk meletak saya dalam senarai menunggu untuk 2019. Namun pada 2018, saya ada keluar masuk hospital, dan pembedahan terakhir saya ialah pada November 2018," kongsi Encik Salim.

"Saya pun memberitahu orang rumah bahawa kita tidak boleh ambil tawaran ini kerana takut sebab saya baru baik sakit, jadi saya minta tahun 2020 pula," tambah beliau lagi. 

Namun, angkara COVID-19, ibadah haji tahun itu ditiadakan bagi jemaah luar Saudi. 

RANCANGAN TUNAIKAN HAJI TERGENDALA SEKALI LAGI

Seperti Cik Rahmah, beliau menanam minat untuk menjalankan ibadah Haji tahun ini setelah melihat jemaah antarabangsa sudah boleh menunaikan ibadah umrah dengan sekatan-sekatan COVID-19 dilonggarkan. 

Namun, beliau sekali lagi dikejutkan dengan khabar mengenai syarat-syarat yang ditetapkan bagi musim haji tahun ini. 

"Arab Saudi itu buat langkah yang baik untuk rakyatnya untuk menyekat umur kepada 65 tahun ke bawah, tapi untuk kita yang menunggu, ini menghampakan sebab sekian lama kita tunggu, nak dekat 10 tahun," ujar Encik Salim.

Menurut Encik Salim, jika tidak dapat menunaikan ibadah Haji tahun ini, beliau akan menunaikan umrah. 

Beliau juga berharap Arab Saudi dapat mempertimbangkan semula had usia itu jika keadaan COVID-19 di dunia beransur baik. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan