Sedih bercampur ghairah: Tahun terakhir pelajar Madrasah Al-Arabiah di bangunan lama
Para pelajar Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah memulakan hari pertama persekolahan hari ini (2 Jan) dengan perasaan ghairah bercampur sedih.
SINGAPURA: Para pelajar Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah memulakan hari pertama persekolahan hari ini (2 Jan) dengan perasaan ghairah bercampur sedih.
Tahun ini merupakan tahun terakhir mereka menuntut di bangunan lama Madrasah itu sebelum berpindah ke kampus baru tahun depan.
Beberapa pelajar berkongsi harapan mereka bagi kampus baru itu bersama BERITAMediacorp.
TAHUN TERAKHIR SEBELUM BERPINDAH
Sekitar 310 pelajar menengah Madrasah Al-Arabiah berkumpul di sekolah mereka sejak 7.00 pagi lagi pada pembukaan semula sekolah.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, sudah menjadi tradisi para pelajar menengah atasannya untuk membantu para pelajar menengah satu memakai tali leher sebagai tanda menyambut kehadiran mereka, disusuli dengan sesi melafazkan ikrar sekolah.
Suasananya tidak banyak berbeza daripada hari pembukaan semula sekolah pada tahun-tahun sebelumnya.
Namun sebenarnya perasaan para pelajar dan kakitangan sekolah hari ini bercampur aduk.
Ini kerana tahun depan, mereka akan berpindah ke tapak baru di Lorong 6 Toa Payoh bersebelahan bangunan sekolah yang sedia ada.
"Saya berasa sedih kerana saya tidak dapat menggunakan bangunan baru itu kerana saya sekarang di menengah empat," ujar pelajar, Athir Wahyun Suwandi.
PELAJAR INGINKAN PERUBAHAN
Dijadualkan siap tahun depan, ia menjadi contoh sebuah madrasah alaf baru yang menyediakan kemudahan moden dan kurikulum pembelajaran yang menyeluruh.
Maka tidak hairanlah jika sebilangan besar pelajar yang ditemui tidak sabar untuk menggunakan kemudahan baru seperti makmal sains, kelas, serta tandas.
"Saya harap tandas di sekolah baru selesa dan besar sedikit. Saya harap makmal sains di sekolah baru lebih canggih dan lebih selesa sebab makmal sains sekarang nampak seperti runtuh sedikit," kata Muhammad Saiful Akmal.
Bagi Talhah Mohd Ali pula beliau berharap kampus baru itu akan dilengkapi dengan gelanggang bola sepak dan kantin yang menjual makanan yang sedap.
Seorang lagi pelajar, Mishel Maryam Nasir berharap kemudahan baru yang lengkap itu nanti akan membantu dirinya untuk mendapatkan pembelajaran holistik.
"Saya rasa gembira kerana dengan sekolah baru kami boleh mendapat pelajaran yang lebih holistik kerana pelajar-pelajar akan bersemangat untuk belajar dan ada lebih banyak kemudahan untuk menolong kami belajar.
"Kami akan ada makmal komputer yang lebih besar dan kami boleh menggunakan makmal komputer ini untuk menolong dalam pembelajaran kami," tambahnya lagi.
KEMUDAHAN YANG JAUH LEBIH BAIK
Kampus baru setinggi lima tingkat itu akan turut dilengkapi dengan ciri mesra alam seperti panel suria, taman bertemakan sains serta menggabungkan reka bentuk Islam dan Nusantara.
"Buat masa ini sekolah yang kita ada sekarang ini dibentuk untuk pelajar-pelajar sekolah rendah, oleh itu kelasnya agak sempit kalau kita masukkan pelajar-pelajar.
"Di sekolah yang baru pula, kelasnya lebih besar lagi yang boleh menampung 40 pelajar jadi Insya Allah pelajar akan berasa selesa. Selain daripada itu sekolah sekarang cuma ada satu makmal sains sahaja.
Di samping itu, akan ada kurikulum baru yang menyatukan elemen penyelidikan dalam pembelajaran termasuk program pengekodan," kongsi Pengetua Madrasah Al-Arabiah, Encik Herman Cher Ma'in.
MASIH PERLUKAN DANA
Walaupun dijangka pindah pada Januari tahun depan, Encik Herman menambah, projek pembangunan kampus baru itu masih memerlukan banyak dana.
"Sejauh ini kami telah mengumpulkan dana lebih daripada $10 juta, dengan sumbangan terbesar datang daripada Majlis Ugama Islam Singapura, dan untuk yang akan datang ini kami sedang berusaha untuk mengumpulkan dana menuju kepada $17 juta - iaitu matlamat yang dilakarkan," kongsinya.
Usaha mengumpul dana dilakukan menerusi pelbagai cara termasuk sumbangan secara online, pengumpulan derma masjid dan forum.
Madrasah Al-Arabiah merupakan salah satu madrasah di bawah Sistem Madrasah Bersama (JMS) dengan program tertumpu pada Islam dan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (iSTEM).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.