Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sediakan kemudahan saja tidak cukup untuk galak pelanggan pulangkan dulang lepas makan, kata pakar

Selain inisiatif untuk mendorong pelanggan mengembalikan dulang mereka semasa makan di tempat awam, anjakan pemikiran masyarakat diperlukan agar rancangan tersebut dapat membuahkan hasil, kata para pemerhati.

Anggaran Waktu Membaca:
Sediakan kemudahan saja tidak cukup untuk galak pelanggan pulangkan dulang lepas makan, kata pakar

Dulang dan perkakas makanan yang tidak dikembalikan di pusat penjaja Chinatown Complex (Gambar: Ang Hwee Min)

Diterbitkan : 20 Apr 2021 12:04AM Dikemas Kini : 20 Apr 2021 12:10AM

SINGAPURA: Selain inisiatif untuk mendorong pelanggan mengembalikan dulang mereka semasa makan di tempat awam, anjakan pemikiran masyarakat diperlukan agar rancangan tersebut dapat membuahkan hasil, kata para pemerhati.

Diumumkan pada Jumaat (16 Apr) bahawa kedai kopi dan pusat makanan akan menerima dana untuk memasang kemudahan memulangkan dulang.

Di bawah Skim Sokongan Meja Bersih (CTSS), pihak berkuasa akan menanggung 50 peratus kos yang dikenakan untuk kemudahan seperti rak dan troli, dihadkan kepada S$2,500 bagi setiap premis.

Skim itu juga merangkumi pembelian dulang, yang bertujuan untuk memudahkan pelanggan mengembalikan perkakas makanan selepas menjamu selera.

Ahli sosiologi Paulin Tay Straughan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata menyediakan prasarana sahaja mungkin tidak mencukupi.

"Tingkah laku buruk yang sudah terpahat dalam diri, tidak mudah untuk diubah meskipun anda sediakan dulang dan stesen mengembalikan dulang, "kata Profesor Straughan, yang melakukan tinjauan tahunan mengenai tahap kepuasan orang ramai terhadap kebersihan awam.

"Ketika ada yang salah, satu-satunya cara untuk memulihkannya adalah dengan menetapkan jangkaan dan norma," tambahnya.

'DUTA' PULANGKAN DULANG?

Prof Straughan mencadangkan agar sukarelawan dikerahkan untuk menggesa orang ramai supaya mengembalikan dulang mereka, sambil menambah bahawa kumpulan itu mungkin boleh dikenal pasti dengan jelas sebagai 'duta' menerusi pakaian mereka.

Ia sama seperti duta jarak selamat berbaju merah yang dikerahkan di sana sini semasa pandemik COVID-19, jelas Prof Straughan.

Beliau berkata ini perlu dilakukan untuk satu "jangka waktu yang cukup bagi norma-norma dipupuk", menyamakan situasi itu dengan orang yang belajar kebiasaan beratur.

Dr Mathew Mathews, zamil penyelidik utama di Institut Kajian Dasar yang sama-sama melakukan tinjauan itu, berkata bahawa sukar bagi orang ramai menerima kebiasaan sebegini kerana jangkaannya mungkin berbeza mengikut tempat.

Sebagai contoh, di beberapa restoran, pekerja pembersihan dijangka "dengan pantas" membersihkan dulang untuk memastikan pelanggan lebih cepat mendapat tempat duduk, katanya.

LEBIH RASA TANGGUNGJAWAB DIPERLUKAN

Pengerusi Majlis Kebersihan Awam Edward D'Silva berkata bahawa walaupun sokongan dana untuk kemudahan memulangkan dulang dialu-alukan, namun ia "tidak mencukupi".

"Rasa tanggungjawab yang lebih besar diperlukan sebagai cara yang lebih mampan untuk memastikan tempat makan awam bersih dan kemas," katanya

Walaupun ada yang merasakan bahawa mengembalikan dulang mereka sendiri akan menyebabkan pekerja pembersihan kehilangan pekerjaan, beliau menegaskan "ini tidak benar sama sekali".

Jelas Encik D'Silva, dengan memulangkan dulang, pelanggan dapat membantu meringankan kerja kakitangan pembersihan agar mereka boleh tumpukan perhatian kepada pelbagai tugas lain.

"Sekiranya kita benar-benar menghargai pekerja pembersihan kita, tidak cukup sekadar mengucapkan terima kasih. Kita perlu menunjukkannya melalui tindakan kita dengan membersihkan meja setelah kita makan di tempat awam bersama ini. "

MENGAPA ORANG TIDAK PULANGKAN DULANG

Ketika Mediacorp mengunjungi sebuah pusat makanan pada waktu makan tengah hari pada Isnin, dua orang pengunjung berkata bahawa mereka tidak mengembalikan dulang mereka kerana mereka tidak dapat melihat tempat memulangkan dulang.

Salah seorang daripada mereka duduk di tempat di mana sudut memulangkan dulang memang tidak kelihatan. Seorang lagi berkata bahawa kedua-dua tempat mengembalikan dulang terletak terlalu jauh, atau tidak menjadi kebiasaan bagi mereka untuk mengembalikan dulang mereka.

Seorang lelaki berusia 23 tahun, yang hanya ingin dikenali sebagai Soon, berkata beliau akan membersihkan meja jika melihat bahawa ada orang lain sedang menunggu untuk duduk di situ.

"Kalau tidak saya serahkan kepada pekerja pembersihan," katanya.

Encik D'Silva berkata bahawa dengan membersihkan meja selepas makan adalah "langkah pertama" dalam reaksi berantai yang positif.

"(Akan ada) kurang kemungkinan pembiakan bakteria,kurang sisa makanan dan pinggan mangkuk terpakai yang menarik hama dan merpati. Ini juga tingkah laku yang baik dan berbudi bahasa, ”katanya.

Penyelia pembersihan Gerald Pablea berkata jika orang ramai mengembalikan dulang mereka, ia akan membantu ringankan beban pekerja yang kebanyakannya warga emas.

"Ini adalah baik kerana akan kurang tugas (untuk pekerja tua). Mereka boleh menyusun kerusi, membersihkan meja dan membasmi kuman di meja,” katanya. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan