Sedang dipertimbang: Fatwa baru untuk bolehkan zakat bantu keluarga terjejas COVID-19
Dalam memikirkan kesan COVID-19 ke atas kebajikan ekonomi masyarakat, Jawatankuasa Fatwa turut bertanya bagaimana institusi agama seperti zakat dapat membantu.
Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir.
SINGAPURA: Jawatankuasa Fatwa Singapura sedang mempertimbangkan satu Fatwa baru untuk memperluaskan interpretasi dan pelaksanaan pembahagian zakat bagi 8 Asnaf untuk meliputi keluarga-keluarga yang kehilangan mata pencarian disebabkan wabak COVID-19.
Demikian didedahkan oleh Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir dalam ucapannya di majlis e-perjumpaan Hari Raya bagi para asatizah setempat hari ini (16 Jun). Ini merupakan kali pertama Dr Nazirudin berucap sebagai Mufti Negara di majlis tahunan itu.
Menurut Dr Nazirudin, dalam memikirkan kesan COVID-19 ke atas kebajikan ekonomi masyarakat, Jawatankuasa Fatwa turut bertanya bagaimana institusi agama seperti zakat dapat membantu.
"Persoalan ini membuahkan pemikiran baru untuk meluaskan lagi pemahaman dan aplikasi lapan asnaf zakat, agar mereka yang terjejas pendapatan layak menerima agihan zakat. Pemahaman sedemikian memelihara Maqasid zakat di dalam konteks masakini," dedah Dr Nazirudin.
Malah, sebahagian pakar ekonomi juga menyatakan bahawa kadar pengangguran boleh menjangkau antara lima dengan 10 peratus tahun ini. Dalam perkataan lain, antara 150,000 hingga 200,000 orang dijangka hilang pekerjaan tahun ini.
Lantaran itu, atas usulan dan keputusan Jawatankuasa Fatwa, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sedang mengusahakan skim bantuan khusus bagi mereka yang terjejas pekerjaannya kerana COVID-19 dan "butirannya akan diberikan pada masa akan datang".
4 FATWA, 7 IRSYAD DIKELUARKAN SEPANJANG KRISIS COVID-19
Dr Nazirudin juga memuji para asatizah yang sudah menonjolkan komitmen dan dedikasi yang tinggi dalam membimbing masyarakat Islam setempat di tengah-tengah krisis kesihatan yang melanda dunia sehingga bangkit menjadi masyarakat berdaya bingkas.
Mereka juga "berwawasan dan berpandangan jauh serta bersikap proaktif dan berkeyakinan tinggi untuk mengambil keputusan yang menjaga kemaslahatan umum, walau berat bagaimana sekalipun", kata Dr Nazirudin lagi.
Dalam tempoh singkat negara mengalami krisis tersebut, Jawatankuasa Fatwa sudah mengeluarkan empat Fatwa kata beliau. Pejabat Mufti pula memberikan tujuh panduan di dalam bentuk Irsyad bagi pelbagai perkara. Ini termasuk Irsyad menjalani Ramadan dan pengurusan jenazah di tengah-tengah COVID-19.
Tambahan pula, ramai Asatizah bertungkus-lumus memberikan penjelasan dan semangat yang berterusan kepada masyarakat.
"Saya bangga serta optimis dengan kemampuan ramai Asatizah dan juga anggota masyarakat Islam dalam membuat penyesuaian dengan cepat dan cekap, dan terus menyebarkan sifat rahmah dan berbakti dalam apa suasana sekalipun," ujar Dr Nazirudin.
PENTING KEPIMPINAN BERPAKSI PEMAHAMAN KONTEKS
Dr Nazirudin turut menekankan pentingnya kepimpinan yang berpaksikan pemahaman konteks dan situasi demi mewujudkan huraian bermakna dan berkesan untuk masyarakat.
Ini dapat disaksikan menerusi penyesuaian amalan-amalan agama tatkala wabak COVID-19 mula menular.
Waktu itu, terbit suara-suara lantang yang melahirkan rasa kecewa dan tidak puas hati dengan penutupan masjid.
Apatah lagi Singapura merupakan antara yang pertama menutup masjid. Namun, kepimpinan agama dan golongan asatizah tetap yakin dengan penilaian dan ijtihad yang dilakukan demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
"Bayangkan, para asatizah sekalian, jika sekiranya kita telah meragui keputusan yang dibuat dan melengahkannya – bayangkan jika kita membiarkan pandangan sinis lagi negatif berleluasa, seperti virus ini bala Tuhan bagi sesuatu kaum, ataupun kita perlu bertawakkal sahaja tanpa mengambil asbab, atau dengan cara menolak sains dan perubatan dan semua langkah berjaga-jaga.
"Apakah agaknya kesudahan bagi golongan emas dan bagi masyarakat kita? Bagaimanakah tanggapan umat manusia dan masyarakat am terhadap agama kita?" tanya Dr Nazirudin.
PANDUAN AGAMA S'PURA BOLEH DIRUJUK MASYARAKAT ISLAM ANTARABANGSA
Berkat kecekalan itulah dan juga kesabaran masyarakat dalam menerima fatwa dan panduan yang dikeluarkan sejak COVID-19 mula menular di Singapura dalam bulan Januari tahun ini, kini sudah membuahkan hasil.
"Keputusan yang pada mulanya asing dan diragui, kemudiannya menjadi sesuatu yang turut dipraktikkan oleh banyak jika tidak semua negara lain, sama ada penutupan masjid untuk solat fardhu, solat Jumaat, solat Hari Raya hinggalah penangguhan ibadah haji pada tahun ini.
"Saya kira ini cukup meyakinkan kita akan kemampuan para ulama kita sendiri di dalam menghasilkan panduan agama yang berpandangan jauh dan boleh dijadikan rujukan bagi masyarakat Islam antarabangsa," kata Dr Nazirudin.
Beliau mengatakan bahawa sikap peduli dan keprihatinan asatizah kepada masyarakat adalah di antara asas utama tugasan mereka. Sikap itu jugalah yang melahirkan amalan agama yang mekar dan berhikmah.
"Apabila masjid-masjid ditutup, ramai yang terjejas secara langsung. Namun, dengan kepimpinan agama yang prihatin, penghayatan kerohanian masyarakat tetap tidak terjejas," ujar beliau.
Masyarakat Islam Singapura masih terus melaksanakan amalan-amalan agama meskipun tahun ini terbukti berbeza dan mencabar. Antaranya, solat berjemaah, takbir Hari Raya dan ibadat lain tetap dilaksanakan, walaupun di kediaman masing-masing.
Masyarakat kita juga terus membayar zakat dan menderma secara dalam talian, serta membantu para pekerja asing sepanjang bulan Ramadan. Ramai Asatizah menyahut cabaran memindahkan kuliah mereka ke wadah-wadah online.
"Walaupun kita dipukul ombak COVID-19, ia tidak mengurangi atau melemahkan identiti masyarakat Islam dan tidak pula menjejas pengamalan Syiar Islam di tanahair Singapura. Bahkan, krisis ini telah melahirkan perspektif yang tidak kurang luar biasanya pada pandangan saya. Melalui krisis ini, agama Islam terpapar sebagai sumber kekuatan bagi masyarakat dan negara – bukan menjadi hambatan dan sebab kelemahan mahupun kelesuan," kata beliau lagi.
"TIADA PILIHAN KECUALI BUAT PENYESUAIAN NORMA BARU"
Memandang ke depan, Mufti Negara mengajak para asatizah untuk terus bersemangat mempertingkatkan lagi ilmu, kemahiran dan disiplin yang tinggi untuk memimpin masyarakat di dalam dunia pasca COVID-19.
Beliau akur perubahan dan penyesuaian bukanlah sesuatu yang mudah didengar dan dibincangkan.
Beliau menegaskan bahawa para asatizah tidak mempunyai pilihan kecuali membuat penyesuaian dan membangun norma-norma baru yang berteraskan prinsip-prinsip dan maqasid agama. Malah, beberapa kebiasaan atau yang dipanggil norma lama perlu diperhalusi.
"Sebagai contoh, kita perlu menjaga jarak selamat (safe distancing) di dalam ibadat berjemaah. Ini bermakna ada jarak dan kerenggangan di dalam saf solat, dan begitu juga kita menggandakan solat Jumaat atau mengadakannya dalam beberapa sesi untuk memberi ruang dan peluang bagi lebih ramai masyarakat Islam untuk menunaikan solat Jumaat kerana keterbatasan jumlah jemaah yang boleh memasuki masjid," jelas beliau.
Maka, beliau mengajak para asatizah memanfaatkan keluasan dan keanjalan Syariat Islam untuk menyediakan pemahaman-pemahaman dan penjelasan sedemikian. Norma-norma itu perlu sehinggalah kita dapat mengatasi cabaran penularan COVID-19 dengan sempurna.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.