Sebutan, intonasi antara kunci SJI Junior juarai Katapella 2026
SINGAPURA: Bukan sekadar menghafal seni kata.
Sebutan setiap perkataan diperhalusi, intonasi diberi perhatian dan maksud di sebalik seni kata perlu benar-benar difahami.
Itulah antara tumpuan Saint Joseph’s Institution Junior yang membawa kejayaan besar mereka dalam Katapella 2026.
Usaha selama berbulan-bulan itu akhirnya membuahkan hasil apabila para peserta SJI Junior muncul Juara kategori sekolah rendah Katapella 2026.
Bukan satu tapi tiga pengiktirafan dibawa pulang, iaitu gelaran Juara, Anugerah Skrip Terbaik dan Koreografi Terbaik.
Lebih bermakna lagi, ketiga-tiga pencapaian itu dilakar dalam penyertaan sulung SJI Junior dalam pertandingan tersebut.
SJI Junior bersaing dengan lima sekolah lain iaitu Sekolah Rendah Punggol View, Radin Mas, Seng Kang, Xingnan dan Xishan dalam peringkat akhir yang ditayangkan di saluran Mediacorp Suria pada Jumaat (14 Ogos).
BERI PENEKANAN KEPADA SEBUTAN, INTONASI
Bercakap kepada BERITA Mediacorp, guru Bahasa Melayu SJI Junior, Cikgu Norlizah Ali, berkata:
"Kami memberi penekanan kepada sebutan dan intonasi supaya penyampaian mereka akan kedengaran lebih semula jadi.
"Kami juga memastikan murid-murid kami memahami maksud seni kata yang diberikan kerana dengan pemahaman, barulah mereka boleh menyampaikan seni kata itu dengan lebih berkesan."
Sebagai sebuah sekolah lelaki yang pertama kali menyertai Katapella, pasukan itu juga perlu mencari cara tersendiri untuk menghidupkan persembahan termasuk menyelitkan unsur humor dan kreativiti.
SALING BETULKAN SEBUTAN, BERLATIH BERULANG KALI
Seramai 18 pelajar SJI Junior terpilih mewakili sekolah mereka.
Separuh daripada jumlah itu merupakan pelajar yang bukan penutur jati bahasa Melayu.
Pengalaman menyertai pertandingan ini juga membina semangat setia kawan dalam kalangan mereka.
Sesama peserta, mereka saling membetulkan sebutan dan mengingatkan satu sama lain tentang lirik yang perlu dihafal.
Bagi seorang murid Darjah 4, Nikhil Nair, latihan berulang kali diperlukan terutama apabila berdepan dengan perkataan bahasa Melayu yang panjang.
"Kami selalu berlatih bersama-sama. Kalau kawan saya salah sebut, saya akan tolong betulkan. Kami saling mengingatkan lirik supaya tidak lupa.
"Cabaran saya ialah menyebut perkataan yang panjang. Saya perlu berlatih banyak kali supaya sebutan saya jelas dan betul," katanya.
Bagi Liam Abdullah-Sandhu, 11 tahun, cabarannya bukan sahaja menguasai skrip dan pergerakan tetapi juga mengatasi rasa gementar dan takut untuk membuat kesilapan.
"Mula-mula saya rasa takut untuk menyanyi. Saya takut buat silap tapi sekarang saya rasa lebih yakin di atas pentas," katanya.
Untuk sampai ke tahap itu, dia membiasakan diri menghafal skrip sambil menyanyi, berlakon dan melakukan pergerakan pada masa yang sama.
BAHASA MELAYU MELANGKAUI BILIK DARJAH
Usaha itu tidak terhenti di sekolah, malah turut berlanjutan di rumah dengan sokongan ibu bapa.
Seorang ibu kepada peserta yang ditemui BERITA Mediacorp sebelum pertandingan berkata beliau dapat melihat sendiri kesungguhan anaknya berlatih, termasuk pada waktu-waktu yang tidak dijangka.
"Saya boleh dengar dia berlatih di tandas, mengulang dialog dan gerakannya. Saya juga boleh dengar dia bertepuk tangan ketika mandi. Sebelum tidur pun dia akan berlatih," kata Cik Neo Chai Ying, 46 tahun.
Malah, sepanjang tempoh persiapan, beliau melihat perubahan ketara pada anaknya, khususnya dari segi keyakinan diri dan disiplin.
Bagi Cik Neo, pengalaman Katapella juga menunjukkan bahawa pembelajaran bahasa tidak seharusnya terbatas kepada buku teks dan dalam bilik darjah.
"Saya sentiasa percaya bahawa mempelajari bahasa itu lebih daripada sekadar buku teks, lebih daripada sekadar berada di dalam bilik darjah," ujarnya lagi.
Menurutnya, pertandingan itu memberi peluang kepada anaknya untuk mendekati bahasa, warisan dan budaya Melayu dengan cara yang lebih mendalam.
LATIHAN BERBULAN-BULAN BUAHKAN HASIL
Seolah-olah berada di sebuah stadium meraikan kemenangan.
Begitulah Nirvaer Kapoor, 10 tahun, menggambarkan perasaannya saat nama sekolahnya diumumkan sebagai juara.
"Saya berasa gembira, bangga dan terkejut kerana kami menjadi juara. Mula-mula saya takut tetapi apabila terdengar sorakan cikgu-cikgu dan kawan-kawan, saya bersemangat.
"Saya berasa seperti pemain bola sepak menang Piala Dunia," katanya.
Sebagai seorang yang bukan berbangsa Melayu, pengalaman tersebut turut memberinya peluang untuk mendekati bahasa Melayu dengan cara yang lebih kreatif dan bermakna.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.