Sebilangan syarikat kawalan serangga perosak lapor kenaikan dalam kes serangan pepijat; jumlah kejadian dijangka bertambah

Gambar: Pestbusters
SINGAPURA: Sedang pepijat mencetuskan kekecohan di beberapa bahagian lain dunia, firma-firma besar kawalan serangga perosak sedang menyaksikan lonjakan dalam jumlah kes serangan pepijat di sini.
Syarikat-syarikat tersebut malah, meramalkan perangkaan itu akan naik pada masa akan datang.
Sepanjang dua bulan yang lalu, jumlah kes yang dikendalikan Aardwolf Pestkare telah meningkat sekitar 40 peratus.
Pengurus jualan firma tersebut Pierce Chan menarik perhatian bahawa terdapat kenaikan dalam jumlah kes yang dilaporkan di merata dunia. Bahkan, Paris dan Korea Selatan turut bergelut dengan masalah serangan serangga.
Beliau berkata bahawa para pelawat yang melancong ke mana-mana pelosok dunia perlu bersikap berhati-hati.
"Kebersihan diri adalah faktor yang sangat penting. Kita perlu meneliti tempat-tempat yang kita pergi, terutama sekali di bilik hotel serta barangan yang akan kita bawa pulang dari luar negara," katanya.
Bagi Pestbusters, terdapat kenaikan 10 hingga 15 peratus dalam jumlah pertanyaan dan kes sejak enam bulan lalu.
"Ia semakin meningkat dan saya meramal ia mungkin bertambah sedikit dengan musim cuti yang bakal menjelang," ujar Encik Joachim Lee, ahli entomologi di syarikat itu.
Sehubungan itu, Encik Chan menjangkakan lonjakan 20 hingga 30 peratus dalam jumlah serangan serangga di sini pada suku pertama 2024, setelah orang ramai pulang dari percutian luar negara mereka semasa cuti sekolah Disember.
RAWATAN BAGI MASALAH PEPIJAT
Firma Aardwolf dan Pestbusters menawarkan rawatan kimia dan haba bagi menangani serangan pepijat.
Firma-firma tersebut juga memeriksa tempat-tempat seperti di celah lantai parket, kepala katil serta penyaluran kabel. Almari, sofa, laci juga merupakan kawasan, di mana pepijat biasanya bersembunyi.
Kawasan-kawasan tersebut biasanya hampir dengan sumber makanan mereka - manusia - memandangkan pepijat itu menyedut darah mereka.
KEPERLUAN PUPUK KESEDARAN
Mereka yang tidak menjaga kebersihan diri merupakan antara mereka yang paling berisiko terhadap serangan pepijat, jelas Encik Lee.
"Meskipun pepijat katil menyedut darah semua manusia, tidak kira sama ada mereka bersih atau tidak, kebersihan diri dan juga sekitaran yang bersih boleh mengurangkan risiko bagi pepijat katil itu sama ada untuk mewujudkan tempat perlindungan atau kawasan serangan serangga," katanya.
Mereka yang turut berisiko termasuk mereka yang menginap di ruang sempit, yang juga kotor, serta mereka yang sering melancong.
Masalah pepijat yang sedang dihadapi di pelbagai pelosok dunia itu bagaimanapun secara tidak langsung membantu dalam meningkatkan kesedaran mengenai hal demikian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.