Sebilangan stesen MRT di Laluan Timur-Barat akan ditutup pada Ahad bagi kerja ganti kabel
Sebilangan stesen di Laluan Timur-Barat akan ditutup pada hari Ahad dari 7 Mac hingga 16 Mac bagi menggantikan kabel di Lanjutan Laluan Tuas West.
(Gambar fail: Jeremy Long)
SINGAPURA: Sebilangan stesen di Laluan Timur-Barat akan ditutup pada hari Ahad dari 7 Mac hingga 16 Mac bagi menggantikan kabel di Lanjutan Laluan Tuas West.
Penutupan itu akan menjejas enam stesen dari Pioneer hingga ke Tuas Link setiap hari Ahad pada Mac serta pada 4 dan 11 April.
Empat stesen dari Gul Circle hingga ke Tuas Link juga akan ditutup pada 18 dan 25 April serta pada 2, 9 dan 16 Mei.
Khidmat kereta api akan beroperasi seperti biasa pada hari Isnin seterusnya, menurut SMRT dalam kenyataan medianya pada Selasa (2 Mac).
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan pada Oktober tahun lalu bahawa kontraktor utama akan menggantikan 150 kilometer kabel tenaga dan lebih 100 komponen pemutus litar di Lanjutan Laluan Tuas West setelah beberapa bahagian yang rosak menyebabkan gangguan pada khidmat kereta api pada 14 Oktober lalu.
Lebih 120,000 penumpang di Laluan Utara-Selatan, Timur-Barat dan Circle terjejas oleh gangguan yang berlaku pada waktu sibuk sebelah petang yang LTA menyatakan disebabkan oleh "kerosakan serentak yang berlaku", bermula dengan kabel tenaga yang rosak di Lanjutan Laluan Tuas West.
Kesemua gegelung pemutus litar di Lanjutan Laluan Tuas West sudahpun digantikan.
Semasa mengumumkan penutupan terkini itu, SMRT menyatakan: "Penutupan sepenuhnya pada Ahad akan akan memberikan lebih banyak masa kejuruteraan dan mempercepatkan kerja penggantian kabel yang dijangka selesai sebelum hujung 2021."
Bas ulang-alik Nombor 3 akan disediakan sepanjang tempoh penutupan khidmat kereta api pada Ahad bagi para penumpang yang melakukan perjalanan di sektor-sektor yang terjejas. Bas itu juga akan berhenti di perhentian bas tertentu berhampiran stesen-stesen MRT yang terjejas.
"Para penumpang dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka lebih awal dan mengambil kira masa perjalanan tambahan apabila melakukan perjalanan semasa tempoh terjejas," menurut SMRT.
Kemas kini mengenai perubahan pada waktu operasi khidmat kereta api dan aturan pengangkutan alternatif boleh didapatkan di laman SMRT Trains serta laman Facebook, Twitter SMRT dan aplikasi SMRTConnect.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.