Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sebilangan penumpang tidak terganggu caj teksi dari Lapangan Terbang Changi naik S$3

Anggaran Waktu Membaca:
Sebilangan penumpang tidak terganggu caj teksi dari Lapangan Terbang Changi naik S$3

Penumpang beratur di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi pada 12 Mei 2022 7.00 malam. (Gambar: Grace Yeoh/CNA)

SINGAPURA: Perlu bayar lagi S$3 jika naik teksi dari Lapangan Terbang Changi selain bayaran tambahan yang sudah dikenakan? Tidak menjadi masalah, kata sebilangan besar penumpang yang ditemui Mediacorp pada Khamis (12 Mei). 

Caj bagi perjalanan teksi dari Lapangan Terbang Changi akan dinaikkan sebanyak S$3 mulai 19 Mei hingga 30 Jun, dedah lapangan tersebut pada Khamis (12 Mei). 

Dengan kenaikan itu, perjalanan teksi dari Lapangan Terbang Changi dikenakan bayaran tambahan S$8 antara pukul 5.00 petang hingga sebelum tengah malam pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Caj tambahan bagi perjalanan teksi pada masa-masa lain naik kepada S$6. 

CAJ TAMBAHAN "BUKAN MASALAH BESAR", KATA KEBANYAKAN PENUMPANG

Bagi Song Li, 32 tahun, yang baru sahaja pulang  bercuti bersama keluarganya, bayaran tambahan sekarang sebanyak S$3 pada hari-hari biasa "tidak begitu menjejas mereka" kerana mereka tidak selalu melancong ke luar negara. 

Namun, dengan kenaikan caj  S$3, Cik Song Li berkata jumlahnya "mungkin terlalu tinggi". 

"Perjalanan dari lapangan terbang ke rumah kami,  agak jauh. Jadi harga tambang sahaja mahal, dan jika anda kenakan caj tambahan, tidak munasabah," katanya. 

Namun, penumpang-penumpang lain yang ditemui Mediacorp lebih bersikap  terbuka. 

Seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Jason bersama isteri dan dua anak kecilnya sedang beratur untuk menaiki teksi. Dengan "situasi sekarang", rakyat Singapura berusia 38 tahun itu berkata caj tambahan itersebut tidak menjejas keputusannya untuk mengambil teksi. 

"Memamng lebih leceh untuk kami menaiki kereta api. Dan bagi Grab pula jika kami guna khidmat GrabFamily," katanya merujuk kepada pilihan mesra kanak-kanak di aplikasi khidmat sewa kereta itu. 

Pada Mac, ComfortDelGro mengumumkan bahawa ia akan menaikkan buat sementara tambang bagi semua teksinya mulai 4 April untuk menangani kesan kenaikan harga minyak baru-baru ini. Justeru, apabila mempertimbangkan kenaikan harga minyak, Jason berkata "secara amnya", caj tambahan lapangan terbang yang dikenakan sekarang amat munasabah. 

Pelawat Amerika Kyle Sadler yang bekerja di industri minyak dan gas juga bersetuju dan tidak terkesan dengan caj tambahan teksi kerana "anda boleh lihat caj ini di mana sahaja anda pergi, ia perkara biasa". 

Malah, kenaikan caj tambahan itu tidak mendorongnya untuk mengambil pengangkutan awam. 

"Saya boleh faham mereka yang terjejas dengan caj tambahan itu, tetapi ia tidak menjejas kami  kerana kami melakukan perjalanan atas sebab perniagaan," kata lelaki berusia 52 tahun itu yang berada di Singapura untuk kali ketiga. 

Seorang lagi pelawat kerap ke Singapura, warga New Zealand Craig Hemopo berkata tambang teksi "di sini lebih murah" berbanding di negaranya. Justeru, caj tambahan dari lapangan terbang "bukan masalah besar" baginya. 

Lelaki berusia 46 tahun itu yang sudah datang ke Singapura "sekitar tujuh hingga lapan kali" menambah bahawa caj tambahan yang dinaikkan sebanyak S$3 "tidak akan" menjejas keputusannya untuk ke Singapura. 

"Semua orang harus cari makan. Jika anda bimbang tentang bayaran tambahan S$6 apabila datang ke Singapura, mungkin ini bukan tempat untuk ada," ujarnya. 

KURANG TEKSI, MASA MENUNGGU LEBIH LAMA

Dalam satu catatan Facebook pada Khamis (13 Mei), Lapangan Terbang Changi menyatakan kenaikan caj tambahan itu  bagi "memastikan bekalan teksi lebih banyak" dari lapangan terbang untuk penumpang. 

Penyelaras teksi yang menguruskan penumpang yang beratur memberitahu Mediacorp bahawa mereka banyak melihat ramai sangat orang yang beratur dan kekurangan teksi di sana. 

Walaupun tiada penumpang yang beratur di Terminal 1 dan 3 Lapangan Terbang Changi pada petang Khamis (12 Mei) apabila Mediacorp mengunjungi lokasi, ini bukan kebiasaannya, kata mereka. 

Kedaaan semakin sibuk antara 9.00 malam dengan 10.00 malam, kata mereka kepada Mediacorp. 

"Ada pemandu tidak menerima kad kredit. Mereka mahu wang tunai. Jadi ia akan lebih sesak," kata Anita, salah seorang penyelaras teksi yang berusia 74 tahun. 

"Penumpang tidak mengadu  tentang caj tambahan. Mereka kata masa menunggu terlalu lama. Mereka kata, 'Apa yang terjadi dengan Singapura? Tidak masuk akal langsung.' Itulah yang selalu kami dengar daripada mereka. Apabila kami memberitahu mereka ada kekurangan teksi, kami memujuk mereka, ada yang berkata dia hilang sabar." 

Anita yang bekerja syif petang antara 2.30 petang dengan10.30 malam menambah  beberapa penumpang terpaksa menunggu sehingga dua jam dan jumlah penumpang yang beratur tidak terjejas dengan caj tambahan yang dikenakan. 

"Sebelum COVID, pemandu teksi akan menunggu penumpang. Tetapi sekarang, tidak, penumpang yang harus menunggu teksi," katanya lagi. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan