Skip to main content

Singapura

Sebilangan pekerja tidak ingin tanggalkan pelitup di pejabat meski langkah COVID-19 dilonggarkan

Anggaran Waktu Membaca:
Sebilangan pekerja tidak ingin tanggalkan pelitup di pejabat meski langkah COVID-19 dilonggarkan

(Gambar: Marcus Mark Ramos/CNA)

SINGAPURA: Walaupun ramai pekerja yang tidak sabar untuk menanggalkan pelitup mereka apabila tiba di pejabat pada Selasa (26 Apr), ada juga yang berkata bahawa mereka akan terus memakai pelitup sebagai langkah berjaga-jaga untuk melindungi anggota keluarga mereka. 

Ramai pekerja yang dilihat berjalan keluar daripada stesen MRT Raffles Place masih memakai pelitup mereka, walaupun ia tidak lagi diwajibkan untuk memakai pelitup di tempat terbuka. 

Minggu lalu, Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi COVID-19 mengumumkan bahawa mulai Selasa (26 Apr), semua pekerja boleh kembali ke tempat kerja. Mereka juga dibenarkan menanggalkan pelitup mereka di pejabat jika mereka tidak berinteraksi secara fizikal dengan orang lain dan apabila mereka tidak berada di kawasan yang berdepan dengan pelanggan. 

Hampir semua pekerja yang ditemu ramah Mediacorp berkata bahawa mereka sudah kembali bekerja di pejabat pada hari-hari tertentu atau sepenuh masa. 

Encik Sid Kapur yang bekerja di pejabat dua hari seminggu, berkata beliau tidak sabar untuk menanggalkan pelitupnya di pejabat. 

"Jarak antara kami di pejabat agak jauh. Oleh itu, ia tidak menimbulkan sebarang masalah untuk kami," katanya. 

"Saya menantikan perubahan ini. Saya rasa sepanjang minggu lalu, anda boleh lihat ramai orang yang tidak memakai pelitup mereka di tempat terbuka, itu satu perubahan yang agak menggembirakan." 

Namun, segelintir pekerja memberitahu Mediacorp bahawa mereka akan terus memakai pelitup kerana mereka dikehendaki berinteraksi dengan pelanggan semasa waktu bertugas atau sebagai langkah berjaga-jaga tambahan untuk melindungi anggota keluarga yang mudah sakit, seperti ibu bapa tua atau kanak-kanak kecil.

Cik Cindy Ng, seorang pembeli, sudah kembali bertugas di pejabat lima hari seminggu selama dua minggu. Beliau berkata beliau tidak kisah untuk kerja di rumah atau di pejabat, kecuali masa perjalanan. 

Memandangkan pejabatnya itu tidak luas, Cik Ng berkata beliau masih akan memakai pelitup. Tambah Cik Ng: "Saya rasa saya masih ingin memakai pelitup. Terdapat ramai orang yang bercakap-cakap di pejabat." 


Encik Goh, yang kembali bekerja di pejabat sepenuh masa setelah dua tahun bekerja di rumah, menutup kepalanya dengan apa yang dikatakan sebagai "alat pernafasan kendiri berkuasa". Di sebalik alat itu, beliau memakai tiga pelitup - satu pelitup N95 di antara dua pelitup biasa. 

Pegawai eksekutif keselamatan IT yang tidak mendedahkan nama penuhnya itu berkata beliau berbuat sedemikian untuk melindungi anak perempuannya yang berumur dua tahun dan tidak layak menerima sebarang vaksin. 

Apabila Encik Goh mematikan alat pernafasannya untuk bercakap, cermin matanya kabur dan jawapannya tidak dapat didengar dengan terang. 

Encik Goh turut berkata bahawa beliau tidak akan makan atau minum di tempat kerja supaya tidak perlu menanggalkan alat perlindugannya itu. 

Beberapa pekerja lain berkata mereka masih menantikan garis panduan daripada pengurus mereka tentang langkah-langkah pengurusan selamat (SMM) di pejabat. 

Encik Ryan Phua yang bekerja dalam sektor perbankan privet, berkata beliau ingin menanggalkan pelitupnya, tetapi syarikatnya mungkin mengenakan "peraturan yang lebih ketat". 

"Saya sedang menunggu bos untuk memberi mandat sama ada kami boleh menanggalkan pelitup dalam pejabat," katanya. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita