Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sebilangan kondo larang atau had akses pekerja penghantar makanan dek tingkah laku salah

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sebilangan kondominium sedang berusaha untuk melarang atau mengehadkan akses Alat Bantuan Mobiliti Peribadi (PMD) atau motosikal pekerja penghantar makanan berhubung kebimbangan yang tercetus ekoran kenderaan yang diletakkan secara sembarangan, dipandu dengan laju dan tingkah laku salah yang lain.

Ini menyebabkan para pekerja penghantar makanan yang terjejas berasa marah disebabkan waktu tambahan yang diambil untuk berjalan semata-mata untuk menghantar makanan dan bahkan, khuatir tindakan penguatkuasaan mungkin akan dilaksanakan sekiranya mereka melanggar peraturan meletak kenderaan secara haram, misalnya.

Encik Goh Yong Wei, presiden Persatuan bagi Menyokong Pekerja Penghantaran Nasional (NDCA), yang mewakili pekerja penghantar makanan dan bungkusan, mendedahkan bahawa ia kian menjadi satu kebiasaan untuk mengehadkan akses para pekerja penghantar.

"Sedang penghantaran menjadi sebahagian penting dalam kehidupan kini, saya menggesa pemilik bangunan untuk memperuntukkan ruang khusus, atau sekurang-kurangnya kawasan selamat di mana para pekerja penghantar makanan atau kiriman bungkusan boleh meletakkan kenderaan mereka dan bekerja dengan selamat bagi memenuhi pesanan para penduduk," tekannya kepada Mediacorp.

Isu tersebut menjadi keprihatinan kondo Eight Riversuites di Whampoa East, yang sudah melarang kenderaan yang digunakan para pekerja penghantar makanan daripada memasuki premis tersebut.

Apabila Mediacorp mengunjungi kondo tersebut pada Selasa (25 Apr), lima pekerja penghantar dilihat meletakkan kenderaan masing-masing secara haram di laluan di luar pintu masuk kondo berkenaan. Mereka kemudian kelihatan berjalan memasuki kondo tersebut untuk menghantar makanan.

Seorang pekerja penghantar, yang enggan didedahkan namanya, meletakkan kenderaannya di blok perumahan awam berdekatan lalu berjalan selama lima minit ke kondo tersebut kerana bimbang akan "dipanggil" pihak berkuasa.

Beliau malah, menambah bahawa beliau perlu menjelaskan kepada pelanggan untuk memberinya masa tambahan untuk berjalan daripada tempat di mana dia meletakkan motosikalnya.

Dalam satu insiden yang dilaporkan pada 24 April di laman Stomp, pegawai-pegawai Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dilihat mengelilingi sebuah e-motosikal di Eight Riversuites pada 11 April.

Seorang pekerja penghantar berdekatan kondo tersebut yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Chin, berkongsi bahawa beliau berasa jengkel, tetapi tidak mempunyai pilihan lain melainkan untuk meletakkan kenderaannya di luar.

"Jika LTA memanggil saya, saya perlu tanganinya, tiada jalan lain," ujar Encik Chin.

Menurut laman LTA, pengguna peranti mobiliti aktif, termasuk basikal dan PMD, harus "meletakkan peranti [mereka] di tempat letak kereta yang ditetapkan seperti rak basikal dan kotak kuning".

Mediacorp sudah menghubungi LTA berhubung penguatkuasaan langkah berkenaan di Eight Riversuites tetapi enggan mengulas. Pengurusan Eight Riversuites juga enggan memberi sebarang komen tentang perubahan dalam dasar tersebut.
 
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan