Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sebilangan ibu bapa keluarkan anak dari prasekolah Woodlands susuli video tular guru dera murid

Anggaran Waktu Membaca:
Sebilangan ibu bapa keluarkan anak dari prasekolah Woodlands susuli video tular guru dera murid

Gambar: CNA/Hanidah Amin, Tangkapan skrin

SINGAPURA: Segelintir ibu bapa telah mengambil keputusan untuk mengeluarkan anak mereka daripada Kinderland Preschool @ Woodlands Mart.

Ini menyusuli video yang tular, di mana seorang guru didakwa mendera beberapa kanak-kanak di prasekolah itu.

Dalam dua video tersebut, guru itu dapat dilihat sedang bertindak kasar dengan beberapa kanak-kanak, sedang dia cuba memaksa mereka minum air.

Satu video menunjukkan seorang kanak-kanak meraung dengan kuat ketika guru itu cuba menahan kepalanya.

Satu lagi video pula menunjukkan wanita itu meletakkan seorang kanak-kanak di lantai dan kelihatan menuang air ke dalam mulutnya semasa mereka sedang berbaring.

Dalam video ketiga, guru itu menjerit kepada seorang kanak-kanak dan memukul mereka beberapa kali dengan sebuah buku.

Apabila Mediacorp mengunjungi sekolah berkenaan pada Selasa (29 Ogos), tiga individu, dengan dua daripadanya memakai lanyard polis, dibenarkan memasuki pusat tersebut pada sekitar 12.20 tengah hari. Mereka bagaimanapun enggan mengulas apabila dihampiri pihak media.

Sementara itu, polis sudah menyatakan dalam satu kenyataan media pada Selasa bahawa guru berusia 33 tahun itu sudahpun diberkas.
Gambar: CNA/Hanidah Amin
"TIDAK BOLEH DITERIMA SAMA SEKALI"

Seorang bapa yang ditemui Mediacorp pada pagi Selasa, dengan syarat identitinya tidak didedahkan, berkata bahawa dia telah memberi notis untuk mengeluarkan anaknya yang berusia 10 bulan daripada sekolah berkenaan pada pagi itu.

Dia menyatakan bahawa dia sudah tidak selesa dengan sekolah tersebut berdasarkan pengalamannya sendiri. Misalnya, apabila anak perempuannya menghidapi penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD), dia mendapati bahawa ibu bapa lain tidak dimaklumkan mengenainya.

Menurutnya, pengetua tajaka tersebut memberitahunya bahawa sekolah itu hanya perlu memaklumkan ibu bapa lain apabila terdapat dua kes HFMD di sekolah berkenaan. Episod tersebut bagaimanapun meninggalkan tanggapan yang kurang baik terhadap prasekolah tersebut bagi dirinya.

"Berita mengenai kes ini mengesahkan lagi kecurigaan saya," ungkapnya. Anaknya telah berada di sekolah tersebut selama kira-kira tujuh bulan, dan dia percaya guru yang didakwa itu mengendalikan kelas jagaan bayi anaknya.
Gambar: CNA/Hanidah Amin


SURAT OLEH SEKOLAH DI PORTAL IBU BAPA

Pada pagi Selasa, sekolah tersebut memuat naik sepucuk surat di portal yang dikhaskan buat ibu bapa, yang menyentuh mengenai video yang tersebar itu. Surat tersebut, yang dilihat Mediacorp, ditulis oleh Cik Mahirah Yasid, pengetua prasekolah tersebut.


Ia menyatakan bahawa Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) dan pihak polis telah terlibat dalam menjalankan siasatan masing-masing berhubung perkara itu, dan sekolah sudah memecat guru yang didakwa itu.


"Kami telah menghubungi ibu bapa kanak-kanak yang terjejas dan memohon maaf kepada ibu bapa dan kanak-kanak yang terjejas," nyatanya.


"Kami amat berterima kasih kepada ibu bapa yang telah menerima pemohonan maaf kami dan langkah-langkah pemulihan, yang mana mereka akan diberi jaminan sepenuhnya bahawa kami akan terus mengutamakan kebajikan kanak-kanak di bawah jagaan kami."


Beliau menambah bahawa beliau dan guru-guru "kekal komited untuk berpegang teguh kepada kepercayaan yang telah diberikan kepada (mereka) dan akan terus bekerjasama secara membina agar kanak-kanak dapat membesar secara holistik".


Cik Lini Chew, pengurus pemasaran Kinderland, pula memberitahu media bahawa sebilangan ibu bapa "terjejas" oleh berita tersebut, tetapi terdapat juga sebahagian lain yang memberi kata-kata rangsangan kepada guru-guru di sekolah itu.


Guru terbabit akan didakwa di mahkamah pada Rabu atas kesalahan menganiaya seorang kanak-kanak.

Jika didapati bersalah, dia boleh dihukum penjara sehingga lapan tahun, didenda sehingga S$8,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan