"Sebilangan" daripada 11 anak muda yang disiasat ISD diadukan oleh masyarakat awam

Gambar fail: Jeremy Long
SINGAPURA: Daripada 11 belia yang ditangani di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak 2015, "sebilangan" daripadanya diadukan oleh kepada pihak berkuasa oleh masyarakat awam, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada Khamis (23 Feb).
Dalam kes seorang belia berusia 19 tahun yang ditahan pada April 2015 - iaitu warga Singapura yang pertama menjadi radikal sendiri dan berniat untuk melaksanakan serangan ganas di Singapura - dia cuba untuk mendapatkan lebih ramai orang untuk membantu rancangannya, tetapi gagal.
"Mereka bagaimanapun tidak melaporkan kepada pihak berkuasa," menurut ISD.
"Mujur, orang lain yang mengenali belia itu menyedari perubahan dalam dirinya dan membuat laporan kepada pihak berkuasa, yang kemudian menyiasat dan campur tangan sebelum dia boleh melakukan serangan."
Jabatan itu menjawab pertanyaan Mediacorp setelah ia mengumumkan pada Selasa (21 Feb) bahawa dua remaja dikenakan perintah ISA bagi aktiviti berkaitan pengganasan.
Salah satu daripada mereka merupakan seorang lelaki berusia 15 tahun dan merupakan yang paling muda ditangani di bawah undang-undang keselamatan negara.
Kedua-dua belia itu merupakan kenalan online warga Singapura, Muhammad Irfan Danyal bin Mohamad Nor, 18 tahun, yang diberkas di bawah ISA pada Disember 2022.
Ketiga-tiga belia itu kemudian menjadi kenalan online menerusi saluran pelampau yang sama di wadah sosial Discord.
Mediacorp bertanya kepada ISD sama ada ia mengesan aktiviti belia berkaitan pengganasan menerusi pemantauan online; jumlah kes yang dilaporkan oleh masyarakat awam kepada ISD; dan sama ada ISD sedang bekerjasama dengan Discord untuk mengambil tindakan terhadap saluran pelampau berkenaan.
Agensi tersebut menyatakan, ia tidak dapat mendedahkan maklumat yang ditanyakan kerana "ia menyentuh isu-isu sensitif".
Tambahnya, siasatan sejauh ini tidak mengesan individu-individu lain di Singapura antara kenalan online yang berurusan dengan tiga belia yang ditahan baru-baru ini.
Sejak 2015, 11 warga Singapura berusia 20 tahun atau ke bawah menjadi radikal online dan dikesan ISA.
Mereka dikesan menerusi "pelbagai kaedah", menurut ISD tanpa memberi perinciannya.
Misalnya, dua daripada belia berkenaan dimaklumkan kepada pihak berkuasa oleh orang ramai yang prihatin dengan hantaran mereka di media sosial yang menyokong IS.
Siasatan ISD kemudian mengesahkan bahawa mereka sudah menjadi radikal dan menyokong kumpulan pengganas IS dan niatnya yang ganas.
Kedua-dua mereka berusia 17 tahun apabila dikenakan arahan ISA masing-masing pada 2016 dan 2020.
"Singapura berdepan ancaman pengganasan yang nyata dan berterusan, dengan radikalisasi sendiri menerusi Internet dan media sosial merupakan pemacu utama pengganasan domestik hari ini," tekan ISD.
"ISD akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan untuk memperhebat usaha pendampingan bagi memberi kesedaran mengenai radikalisasi kepada masyarakat, termasuk kepada sekolah-sekolah dan belia, untuk mendidik mereka mengenai bahaya radikalisasi online.
"Masyarakat awam juga harus terus berjaga-jaga dan bersikap bijak dalam menerima maklumat di media sosial agar tidak jatuh mangsa kepada pengaruh bahan online yang memecahbelahkan, pelampau atau ganas."
ISD menyatakan, ia memandang serius setiap laporan, termasuk aduan menerusi hotline Pusat Antipengganasan.
Apabila laporan dibuat, pemeriksaan dilakukan untuk menentukan kesahihan maklumat yang diberikan - sambil melindungi identiti pemberitahu, menurut ISD.
Jabatan itu turut menggalak masyarakat awam supaya tampil sekiranya mensyaki sesiapa saja yang mungkin sudah menjadi radikal.
"Anggota keluarga dan rakan dalam kedudukan yang paling baik untuk menyedari perubahan dalam tingkah laku individu-individu di sekitar mereka dan laporan yang dibuat awal membenarkan pihak berkuasa untuk siang mencampur tangan untuk mengelakkan sebarang tragedi," tegas ISA.
Masyarakat awam boleh melaporkan tingkah laku atau aktiviti mencurigakan kepada polis di 999 atau menyerahkan maklumat online.
Mereka juga boleh menghubungi hotline Melawan Pengganasan ISD di 1800-2626-473 jika mereka mengenali atau mensyaki seseorang itu sudah menjadi radikal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.