Skip to main content

Singapura

Sebilangan besar penduduk SG mahu terus bekerja selagi mereka sihat: Lawrence Wong

Sebilangan besar pekerja di Singapura mahu terus bekerja selagi mereka sihat, kata Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Isnin (16 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Sebilangan besar penduduk SG mahu terus bekerja selagi mereka sihat: Lawrence Wong

Orang ramai dilihat di Daerah Pusat Bandar (CBD) Singapura pada 29 Mac 2022. (Gambar: Marcus Mark Ramos/CNA)

Diterbitkan : 16 Jan 2023 10:26PM

SINGAPURA: Sebilangan besar pekerja di Singapura mahu terus bekerja selagi mereka sihat, kata Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Isnin (16 Jan).

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan oleh pakar penyakit berjangkit Paul Tambyah tentang sama ada pakej Skim Ihsan Senja - yang memberi bayaran tunai suku tahunan kepada warga emas berpendapatan rendah - boleh dijadikan lebih menyeluruh untuk mengelak pengurangan mendadak dalam hasil dapatan apabila golongan itu berhenti bekerja.

"Adakah sesiapa yang sebenarnya mahu dibedah oleh seorang pakar bedah saraf yang berusia 70 tahun? Atau menaiki bas yang dipandu seorang pemandu  berusia 70 tahun?" tanya Profesor Tambyah, semasa dialog di Sidang Perspektif Singapura anjuran Institut Pengajian Dasar (IPS) Universiti Nasional Singapura (NUS).

"Asas soalan ini adalah naratif seolah-olah kita perlu terus bekerja. Dan jika kita tidak dapat melakukan sesuatu pekerjaan tertentu, kita perlu jalani latihan semula."

Encik Wong menjawab: "Tentu sekali ada had sejauh mana seseorang itu boleh bekerja. Tetapi kita juga perlu iktiraf bahawa jangka hayat penduduk semakin meningkat, dengan lebih ramai orang hidup lebih lama, apabila kami lakukan tinjauan, sebilangan besar penduduk mahu terus bekerja selagi mereka masih sihat.

"Oleh kerana ramai orang sedar sebaik sahaja mereka berhenti kerja, kesihatan mereka akan merosot dengan cepat."

Pekerjaan bukan sekadar dilihat sebagai satu sumber pendapatan, ia  memberi mereka maruah dan tujuan hidup, katanya. "Ada sesuatu yang asas dan penting tentang pekerjaan."

Encik Wong yang juga  Menteri Kewangan berkata adalah penting untuk terus bekerja "secara konsisten" - bermakna mempunyai pekerjaan yang stabil.

"Kami mahu dapat katakan jika anda seseorang yang baru memasuki alam pekerjaan, anda seoranh individu muda yang baru mula bekerja, lakukan kerja secara konsisten, apa pun pekerjaan yang boleh anda lakukan, anda akan dijamin jumlah persaraan asas."

PERANAN GOLONGAN BAPA DI TEMPAT KERJA

Di dialog yang sama, pengarah eksekutif dari Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (AWARE), Cik Corinna Lim bertanya kepada Encik Wong jika cuti paterniti dapat ditambah.

"Ia sangat penting untuk menjadikan penjagaan di rumah sama rata supaya kita boleh mencapai kesaksamaan di tempat kerja," katanya.

Encik Wong bersetuju bahawa bagi golongan ibu bapa muda sekarang ini, golongan bapa mahu menjaga anak mereka dan lebih terlibat dalam penjagaan mereka - namun masih ada ruang untuk menggalakkan kaum bapa supaya memainkan peranan lebih besar.

"Saya rasa pemikiran  majikan juga perlu berubah," katanya.

"Namun secara keseluruhan, jika anda lihat pada cuti paterniti, kadar sambutannya dalam kalangan kaum lelaki di Singapura tidak begitu tinggi seperti yang diinginkan."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita