Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sebilangan anggota PSP bimbang dengan 'nada perkauman' ucapan NCMP Leong Mun Wai berhubung CECA

Beberapa anggota Parti Kemajuan Singapura (PSP) menyuarakan kebimbangan mengenai pendirian parti itu terhadap Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh India-Singapura (CECA).

Anggaran Waktu Membaca:
Sebilangan anggota PSP bimbang dengan 'nada perkauman' ucapan NCMP Leong Mun Wai berhubung CECA

Leong Mun Wai (Gambar fail: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Diterbitkan : 17 Jul 2021 02:51PM Dikemas Kini : 17 Jul 2021 03:27PM

SINGAPURA: Beberapa anggota Parti Kemajuan Singapura (PSP) menyuarakan kebimbangan mengenai pendirian parti itu terhadap Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh India-Singapura (CECA).

Mereka merancang untuk membincangkannya dengan pimpinan parti dalam satu mesyuarat tertutup pada hujung minggu ini.

Beberapa anggota yang ditemui Mediacorp berkata bahawa penekanan pada CECA, sebuah perjanjian perdagangan bebas dua hala, semasa perbahasan parlimen baru-baru ini mungkin memberikan gambaran bahawa PSP menyasarkan kaum dan warga negara tertentu.

Bagaimanapun, kepimpinan parti menolak dakwaan tersebut.

Setiausaha Agung PSP Francis Yuen berkata bahawa keprihatinan parti berkenaan berhubung pekerjaan golongan profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) tidak terkait dengan kaum, tetapi hanya tertumpu pada mata pencarian rakyat Singapura.

Encik Yuen juga mengesahkan bahawa sebilangan anggota parti itu akan bercakap dengan pengerusi parti, Tan Cheng Bock dan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai pada Ahad (18 Julai) dalam mesyuarat tertutup untuk mengemukakan keprihatinan tersebut meskipun beliau sendiri tidak akan menghadirinya.

Awal bulan ini, Encik Leong dan Cik Hazel Poa, dua anggota NCMP pembangkang, bertikam lidah dengan menteri-menteri Pemerintah tentang CECA di Parlimen.

Bagaimanapun kedua-dua NCMP mengakui bahawa pergerakan di bawah CECA tidak digunakan "sebagai cip tawar-menawar" semasa rundingan perdagangan, namun mereka tidak menarik balik tuntutan mereka bahawa CECA memberikan karyawan India kebebasan untuk datang dan bekerja di sini.

'CECA SASARAN YANG SALAH'

Seorang anggota kanan PSP, yang enggan didedahkan namanya, berkata: "Mengambil pendirian yang sangat antagonis mungkin merosakkan hubungan perdagangan ... apabila (anggota parti politik) tampil dan meminta bilangan pekerjaan yang hilang dan digantikan oleh warga India di bawah CECA, anda menyasarkan masyarakat India. "

Beliau menambah: "Memberi tumpuan kepada CECA saja hanyalah politik murahan."

Beliau juga berkata beberapa anggota parti berkongsi sentimen yang sama, tetapi enggan mendedahkan berapa ramai

Walaupun kumpulan yang terdiri daripada anggota kanan dibentuk untuk membincangkan tentang CECA, tiada usaha bersepadu untuk mendekati anggota kaum India untuk mendapatkan maklum balas mereka, katanya lagi.

Beberapa anggota lain yang bercakap dengan Mediacorp, termasuk anggota berbangsa India, bersetuju bahawa isu CECA tidak sepatutnya menjadi tumpuan setiap kali topik pekerjaan PMET ditimbulkan.

Seorang anggota kader PSP, Encik Khush Chopra, berkata bahawa walaupun beliau tidak percaya parti itu bersifat perkauman, beliau bimbang parti itu digambarkan sedemikian semasa perbahasan CECA sebagai menentang warga India.

"CECA adalah sasaran yang salah," kata Encik Chopra, yang merupakan seorang peguam. "Kita harus mengambil pendekatan menyeluruh untuk mengenal pasti sebab-sebab anjakan pekerjaan PMET, yang pada pandangan saya ada kaitan dengan dasar imigresen dan penduduk kita."

Seorang lagi anggota PSP, Encik Abhijit Dass, berkata bahawa terdapat "nada perkauman" dalam cara bagaimana CECA dibangkitkan di Parlimen oleh PSP.

Beliau berkata bahawa "masalah sebenar di Singapura bukan mengenai CECA", kerana warga India penting untuk fungsi ekonomi berdasarkan kemahiran yang mereka bawa kepada tenaga kerja.

"Ia benar-benar nada perkauman, tetapi (parti) tidak menyedarinya," kata Encik Abhijit, yang merupakan seorang bekas juruterbang.

Beliau menambah bahawa dalam mesyuarat pada Ahad, beliau akan membangkitkan isu-isu ini dengan kepimpinan parti.

'TENTANG MATA PENCARIAN, BUKAN BANGSA, AGAMA'

Bercakap kepada Mediacorp, Encik Yuen berkata 'rungutan' di dalam parti itu ada perkara biasa menyusuli perbahasan CECA baru-baru ini.

Bagaimanapun beliau menambah adalah "sangat malang" kerana terdapat anggota yang melihat adanya nada perkauman dalam perdebatan PSP tentang CECA.

"Ini tiada kena mengena dengan kaum ... perbahasan ini adalah tentang nasib PMET kita dan bagaimana kita harus menguruskan apa yang kita panggil teras Singapura.

"Tanpa mengira bangsa, agama atau bahasa, ia tidak ada kena mengena dengan semua ini, ini mengenai mata pencarian rakyat kita."

Selain mesyuarat pada Ahad, Encik Yuen berkata bahawa parti itu akan mengadakan mesyuarat dalam bulan-bulan mendatang, apabila perbahasan CECA tamat, agar para anggota boleh memberikan maklum balas mereka mengenai isu tersebut.

Apabila Mediacorp menghubungi Encik Leong, beliau mengatakan bahawa beliau tidak menyedari tentang tentang mana-mana anggota parti yang menyatakan kebimbangan mereka tentang cara parti itu menggambarkan CECA.

"Apa pun pendirian kami sudah disampaikan. Saya telah berucap (mengenainya) berkali-kali di Parlimen," katanya.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan