Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sebilangan amah di SG tidak diberi cukup makan gara-gara disekat majikan

Anggaran Waktu Membaca:
Sebilangan amah di SG tidak diberi cukup makan gara-gara disekat majikan

Selama tiga bulan, Farah (bukan nama sebenar) hanya makan mi segera, roti dengan mentega kacang dan minum air kosong. (Gambar: Raj Nadarajan/CNA)

Diterbitkan : 04 Jan 2025 01:33PM Dikemas Kini : 04 Jan 2025 01:38PM
SINGAPURA: Selama tiga bulan, Farah (bukan nama sebenar) hanya makan mi segera, roti dengan mentega kacang dan minum air kosong.

Namun pada masa yang sama, pembantu rumah hijrahan berusia 38 tahun dari Filipina itu mengunjungi Little Farms, sebuah kedai runcit mewah yang terkenal dengan hasil organik dan gourmetnya, setiap hari untuk membeli bahan-bahan bagi menyediakan hidangan bagi majikannya.

Majikannya, yang memerlukan dia mengikuti resipi rumit dengan banyak langkah, tidak akan membenarkan dia makan lebihan makanan yang disediakan, sekalipun lebihan makanan itu disimpan dalam peti sejuk selama beberapa hari.

Walaupun majikan Farah membenarkan dia memasak makanan untuk dirinya sendiri, majikannya sering membuat komen tentang "bau", sekalipun Farah sekadar menyediakan hidangan ringkas seperti nasi goreng dengan ikan bilis.

"Walaupun dia tidak menyuruh anda berhenti melakukannya (memasak), dia memberitahu anda bahawa baunya tidak enak dan dia tidak suka. Jadi, sudah tentu, anda perlu berhenti," kata Farah, yang terpaksa makan mi segera setiap hari, kadang kala dijamu di samping telur rebus, demi menyenangkan hati bekas majikannya.

"Saya dulu suka menyediakan makanan, tetapi dalam kes dia, ia seperti mimpi buruk," katanya kepada Mediacorp, sambil menambah bahawa berat badannya turun sebanyak 12 kilogram dalam tempoh tiga bulan itu.

Farah meninggalkan bekas majikannya pada Oktober lalu untuk pergi ke sebuah tempat perlindungan dan kemudian, meninggalkan tempat perlindungan tersebut untuk bekerja dengan majikan baharu.

"Saya tidak berasa lapar lagi. Saya hanya mati rasa."

Pengalaman Farah mengetengahkan tentang satu aspek samar-samar berkaitan dengan isu layanan terhadap pembantu rumah yang tidak dinafikan akses kepada makanan sepenuhnya sehingga kebuluran, tetapi juga tidak diberi makanan yang mencukupi, sehingga sering menyebabkan mereka bergelut dengan keadaan lapar dan memerlukan pemakanan yang lebih baik dan diet yang seimbang.

Sebagai memberi respons kepada pertanyaan Mediacorp, jurucakap Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata bahawa setiap tahun antara 2019 hingga 2023, pihaknya menerima sekitar 630 aduan daripada pembantu rumah tentang menerima makanan yang tidak mencukupi.

"Kebanyakan aduan ini berpunca daripada salah faham antara majikan dengan pembantu rumah hijrahan mereka mengenai keperluan dan tabiat pemakanan," jelas jurucakap MOM itu.

Ini membentuk kira-kira 0.2 peratus daripada jumlah purata keseluruhan bilangan pembantu rumah dalam tempoh yang sama itu.

"Ini hampir sama dengan hasil Tinjauan MOM terhadap Pembantu Rumah Hijrahan dan Majikan Pembantu Rumah Hijrahan 2021, yang mendapati bahawa lebih daripada 99 peratus pembantu rumah hijrahan yang ditinjau berpuas hati dengan kecukupan makanan yang disediakan," tambah jurucakap itu.

Bercakap kepada Mediacorp, Cik Jaya Anil Kumar, pengurus kanan penyelidikan dan advokasi di Humanitarian Organisation for Migration Economics (HOME), berkata ramai majikan menggunakan "kerangka binari" berhubung makanan - mereka merasakan tiada masalah selagi mereka tidak membiarkan pembantu mereka kebuluran.

Sungguhpun bilangan kes pembantu rumah yang menerima makanan yang tidak mencukupi kekal agak konsisten sejak beberapa tahun ini, Cik Jaya menarik perhatian bahawa banyak kes sedemikian hanya didedahkan apabila pembantu rumah mencapai hadnya, di samping tingkah laku yang lebih eksploitatif seperti penderaan lisan atau fizikal oleh majikan mereka.

Menyedari bahawa isu makanan adalah topik yang bernuansa memandangkan adanya ketidakseimbangan kuasa antara pembantu dan majikan mereka, Cik Jaya berkata: "Ia bukan hanya tentang mempunyai semua nasi yang anda mahu, (jika ia disertakan dengan) daging atau sayur-sayuran yang amat sedikit."

Walaupun majikan mungkin menyediakan makanan ruji yang mencukupi seperti nasi, kekurangan protein dan sayur-sayuran penting sering membawa kepada hidangan yang rendah nilai pemakanan.

Cik Jaya berkata meskipun majikan tidak secara jelas melarang akses kepada makanan, jika hubungan itu melibatkan banyak perbuatan memarahi atau penderaan lisan, pembantu rumah akan berasa takut untuk menyuarakan keperluannya bagi makanan.

Tingkah laku lain termasuk majikan membuat komen ringkas tentang kuantiti yang dimakan oleh pembantu, membenarkan pembantu menggunakan barangan makanan tertentu sahaja dalam pantri tetapi kemudian membuat komen sinis, dan tidak menyedari sensitiviti agama atau budaya.

"Ramai pembantu rumah berkata bahawa mereka hanya boleh makan apa yang tinggal daripada apa yang mereka telah masak untuk majikan mereka," kata Cik Jaya, sambil menambah bahawa kes-kes catuan makanan masih berleluasa.

"Misalnya, seorang pembantu rumah boleh mempunyai maksimum tiga biji telur sehari, berserta dengan nasi, dan terserah kepadanya untuk membahagikannya sepanjang hari."
Gambar: Ooi Boon Keong/CNA
TIDAK CUKUP UNTUK DIMAKAN, BANYAK PENGAWASAN

Bercakap kepada Mediacorp, beberapa pembantu rumah berkata makanan juga digunakan oleh majikan mereka sebagai satu bentuk kawalan.

Majikan Farah sebelum ini sering menggunakan makanan sebagai alat manipulasi, dengan menawarkannya sebagai ganjaran dan menarik balik akses terhadapnya sebagai cara untuk menghukumnya.

"Dia tahu saya suka mentega kacang,"ujarnya. "Jika saya melakukan sesuatu yang tidak menyenangkan hatinya, dia akan memberitahu saya, 'Tiada lagi mentega kacang.'"

Farah berkata dia membeli kudapan dan menyembunyikannya secara rahsia di dalam biliknya untuk mengurangkan rasa laparnya. Oleh kerana majikannya telah memasang kamera video yang menghala langsung pada peti sejuk itu, dia ragu-ragu untuk mengambil makanan daripada peti sejuk berkenaan.

TANGANI KESEJAHTERAAN BANTU MEREKA LAKUKAN TUGAS

Sebilangan pertubuhan kebajikan menyatakan bahawa majikan seharusnya sedia maklum mengenai tuntutan fizikal kerja domestik dan memastikan pembantu rumah mereka mendapat makanan yang mencukupi, serta makanan yang seimbang dan berkhasiat.

Encik Michael Lim, pengarah Pusat Pekerja Hijrahan di Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), berkata: "Hakikatnya, pembantu rumah hijrahan diambil bekerja untuk menjaga rumah tangga kita, dan adalah penting untuk menangani keperluan kesejahteraan mereka supaya mereka dapat melaksanakan tugas mereka dengan berkesan."

Beliau menambah bahawa dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Pusat Pekerja Domestik (CDE), menyaksikan jumlah kes yang agak rendah dan stabil melibatkan pembantu rumah yang menerima makanan yang tidak mencukupi.

Walaupun terdapat undang-undang untuk melindungi hak pekerja domestik, pendidikan dan penggalakan amalan pekerjaan yang baik juga sama pentingnya, jelasnya.

Dari segi aspek perundangan, Cik Jaya berkata bahawa sekalipun Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing (EFMA) menyatakan bahawa majikan mesti menyediakan "makanan yang mencukupi", beliau berkata istilah "mencukupi" boleh menjadi samar-samar.

Cik Jaya menambah bahawa sungguhpun Akta tersebut memberikan garis panduan, ia tidak mengikat dari segi undang-undang.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan