Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sebelum & selepas kenaikan GST: Sejauh mana harga runcit berubah di SG?

Anggaran Waktu Membaca:
Sebelum & selepas kenaikan GST: Sejauh mana harga runcit berubah di SG?

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 08 Jan 2023 12:29PM Dikemas Kini : 08 Jan 2023 01:13PM
SINGAPURA: Dengan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) naik sebanyak 1 peratusan mata kepada 8 peratus berkuat kuasa 1 Januari 2023, sesetengah kedai sudahpun mengemas kini harga masing-masing untuk mencerminkan kenaikan tersebut.

Mediacorp mengunjungi beberapa kedai untuk meninjau perbezaan harga bagi pilihan barangan secara rambang sebelum dan selepas kenaikan GST berkuat kuasa.

Meskipun sesetengah kedai sudah menaikkan harga mereka, tiada sebarang papan tanda kelihatan dipasang untuk memaklumkan kepada para pelanggan mengenai perubahan pada harga. Manakala, sebahagian kedai yang lain memaparkan makluman mengenai peralihan kepada harga baru.

Di rangkaian yang menjual keperluan kesihatan dan barangan kecantikan, Guardian, harga kekal tidak berubah bagi sesetengah barangan rumah sementara barangan lain yang dijual menyaksikan kenaikan harga. Misalnya, pelitup muka masih dijual pada harga S$2, manakala harga satu tiub ubat gigi Colgate 150 gram naik daripada S$6.50 kepada S$6.60.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap Guardian berkata harga untuk lebih 1,000 produk di kedai-kedainya serata negara tidak berubah, namun beliau tidak menyatakan tempoh sehingga bila harga akan kekal sedemikian.

Sebaliknya, Guardian menyatakan ia akan menyemak semula harga barangannya dari semasa ke semasa untuk memastikan harga bagi keperluan kesihatan dan barangan kecantikan kekal dimampui.

Jurucakap itu menambah Guardian sudah memperluaskan dengan ketara rangkaian produk jenamanya sekali gus menawarkan para pelanggan dengan produk yang bermutu tinggi pada harga lebih rendah berbanding jenama terkemuka.

Di cawangan NTUC FairPrice di Bukit Ho Swee, sebuah papan tanda yang diletakkan di kaunter juruwang menyatakan bahawa "label rak elektronik kini sedang dikemas kini untuk mencerminkan GST baru".

FairPrice meminta para pelanggannya untuk memahami bahawa mungkin terdapat sedikit percanggahan antara harga yang tertera pada label rak dan ketika membuat pembayaran produk.

Para pelanggan dinasihati supaya merujuk kepada harga tatkala membuat pembayaran sekiranya percanggahan seumpama itu berlaku.

Pada November tahun lalu, FairPrice mengumumkan bahawa ia akan menawarkan potongan harga untuk mengimbangi kenaikan GST bagi 500 barangan keperluan pada separuh pertama tahun ini.
Sementara itu, rangkaian peruncit Jepun, Daiso - yang sebelum ini menjual pelbagai barangan rumah pada harga tetap S$2, sudahpun menaikkan harga buat kali kedua sejak ia melaksanakan langkah demikian untuk kali pertama pada 1 Mei tahun lalu.

SERAP GST "SELAGI BERDAYA MAJU DARI SEGI EKONOMI"

Selain FairPrice, peruncit lain juga menawarkan potongan harga untuk membantu para pelanggan mengimbangi kenaikan GST atau memilih untuk menyerap kenaikan GST sama ada buat sementara atau bagi tempoh masa yang tidak pasti.

Kedai serbaneka, pusat penjaja dan kedai kopi yang dikunjungi Mediacorp tidak menaikkan harga mereka.

Rangkaian kedai kopi Starbucks juga tidak mengubah harga minumannya, sementara francais kopi tempatan Ya Kun Kaya Toast juga mengekalkan harganya di cawangan People's Park Centre. Kedua-duanya enggan mengulas berhubung hal tersebut.

Harga barangan di rangkaian pasar raya Cold Storage dan kedai harga rendah ValuDollar tidak berubah apabila Mediacorp mengunjungi sebelum dan selepas kenaikan kadar GST berkuat kuasa.

Rangkaian keperluan kesihatan dan produk kecantikan, Watsons Singapore, memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya akan menyerap kenaikan 1 peratusan mata GST bagi "200 barangan utama jenamanya" di kedai-kedainya merata negara serta yang dijual di wadah online selama enam bulan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan