Sebatang besi dari tapak binaan Chong Pang City terjatuh atas bumbung blok HDB Yishun
Sebatang besi dari tapak binaan Chong Pang City merosakkan sebahagian bumbung sebuah blok HDB Yishun pada 2 Mei 2026. (Imej: Facebook/K Shanmugam)
Kejadian berlaku apabila batang besi tersebut terjatuh semasa kerja-kerja membuka struktur di tingkat atas bangunan itu, menurut kenyataan daripada Penguasa Tanah Singapura (SLA) pada Ahad.
Batang besi itu jatuh ke atas Blok 103 Yishun Ring Road dan merosakkan bumbung di kawasan koridor, tetapi tiada kerosakan berlaku di dalam rumah penduduk.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan, kata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Anggota Parlimen GRC Nee Soon, K Shanmugam.
Kawasan itu ditutup dan pemeriksaan menunjukkan struktur tersebut masih selamat, katanya dalam satu catatan Facebook, sambil menambah kerja-kerja sementara sudah pun dijalankan dan kerja pembaikan akan dijalankan selepas itu.
Para penduduk masih boleh menggunakan kawasan umum, kecuali bahagian yang dihadang, kata Encik Shanmugam.
SLA juga menyatakan seorang jurutera profesional memeriksa tapak itu dan mengesahkan keseluruhan struktur bumbung itu kekal utuh dan selamat, dan kerja-kerja pembaikan akan dijalankan secepat mungkin.
Sebuah pasukan tindak balas yang diselaraskan terdiri daripada SLA, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Majlis Bandaran, pemimpin akar umbi dan kontraktor berada di tempat kejadian pada Sabtu malam untuk memeriksa situasi itu, kata Encik Shanmugam.
"Kami sudah pun bercakap dengan para penduduk untuk memberikan jaminan dan sokongan."
Satu arahan henti kerja dikeluarkan bagi tapak binaan Chong Pang City, sementara siasatan penuh terhadap kejadian itu dijalankan.
Rich Construction Company, iaitu kontraktor utamanya, kini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa relevan bagi menentukan puncanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.