Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sebat jam tangan rakan S$33,000; tipu susu tepung di Carousell

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang wanita dipenjara pada Rabu (3 Mac) selepas mencuri seutas jam tangan berjenama Patek Philippe bernilai S$33,000 daripada bilik mandi di rumah rakannya.

Ia merupakan antara pencurian yang dilakukan oleh Megan Farquhar, 24 tahun, terhadap rakan-rakan dan teman lelakinya di rumah mereka.

Warga Singapura itu juga mengaku bersalah menjalankan penipuan menjual susu tepung di wadah Carousell. Dia memperdaya para pembeli lebih S$3,300 secara keseluruhannya, yang belum dibayar balik kepada mereka.

Hakim menjatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan dan dua minggu penjara ke atas wanita itu, hukuman yang diminta oleh kedua-dua pihak pendakwaan serta pembelaan.

Dia mengaku bersalah atas enam tuduhan termasuk dua tuduhan mencuri, dua tuduhan menipu dan secara tidak jujur mendorong penyerahan harta serta satu tuduhan menipu dan satu tuduhan pemalsuan untuk tujuan menipu.

Lagi 28 tuduhan turut dipertimbangkan ketika menjatuhkan hukuman.

Antara barangan lain yang dicuri oleh Megan adalah kad debit rakannya. Dia membelanjakan lebih S$2,500 dalam 76 urus niaga sepanjang 15 hari dari Mei hingga Jun 2019, kebanyakannya di restoran serta salun rambut.

Di rumah teman lelakinya pada Jun 2019, wanita itu mencuri satu sampul merah berisi wang tunai berjumlah S$1,000, dua pasang kasut berjenama kepunyaan ibu mangsa dan sebuah beg berjenama yang berisi hampir S$6,000 nilai mata wang asing.

SUSU TEPUNG

Megan juga mengaku bersalah menjalankan penipuan susu tepung di Carousell di bawah akaun "babyfever2020".

Seorang mangsa penipuan itu merupakan suri rumah yang membayar S$710 untuk 21 tin susu tepung pada Februari dan Mac 2021, namun tin-tin itu tidak dihantar ke rumah mangsa.

Apabila ditanya oleh mangsa, Megan memberikan bermacam-macam helah seperti mendakwa bahawa pembantu rumahnya terjatuhkan tin susu tepung tersebut ke lantai dan ia tidak lagi dalam keadaan yang boleh dijual.

Megan berkata dia akan memulangkan wang mangsa tetapi perkara itu tidak pernah berlaku.

Mangsa membuat laporan polis pada Mac 2021. Siasatan mendedahkan lagi 20 pembeli di Carousell turut diperdaya oleh Megan. Mangsa-mangsa memindahkan wang berjumlah S$3,395 kepada Megan namun ia tidak dikembalikan kepada mereka.

Peguam bela, Encik Lee Teck Leng, berkata Megan menghidapi penyakit Graves', keadaan hipertiroid yang boleh menyebabkan gangguan kognitif dan tingkah laku.

Dia sedang mendapatkan bantuan psikiatrik dan bertekad untuk berubah dan tidak mengulangi kesalahan yang sama, kata peguam itu dalam rayuan yang dikemukakan oleh anak guamnya.

Megan direman sejak 25 Mei 2021 dan hukumannya diundurkan ke tarikh tersebut.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan