Skip to main content

Singapura

Sebahagian tempat letak kereta Golden Mile Tower masih ditutup susuli insiden kebakaran

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selang empat hari selepas berlakunya kebakaran di Golden Mile Tower, salah satu daripada tingkat tempat letak kereta ditutup kepada orang ramai.

Apabila Mediacorp mengunjungi kawasan itu pada Isnin (2 Sep) dan Selasa, lebih 30 kenderaan yang rentung masih berada di tingkat enam tempat letak kereta terbuka tersebut.

"Kawasan itu yang terjejas akibat insiden kebakaran berkenaan masih ditutup kepada orang ramai sementara siasatan sedang dijalankan. Kami sedang menunggu arahan lanjut daripada Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) mengenai langkah seterusnya," kata LHN Group, yang memiliki dan menguruskan tempat letak kereta itu.

TEMPAT LETAK KERETA MASIH BOLEH DIAKSES

Pada Isnin dan Selasa, para pemandu masih mempunyai akses untuk berjalan melalaui cerun dari tingkat lima ke tingkat enam tempat letak kereta untuk meninjau kereta-kereta berkenaan yang rentung akibat terbakar. Akses melalui salah satu tangga menuju ke tingkat enam telah disekat, tetapi tempat letak kereta tersebut tetap boleh diakses melalui tangga lain.

Para penyewa kedai di Golden Mile Tower memberitahu Mediacorp bahawa kenderaan yang terbakar itu milik syarikat pengedar Hamilton Autobahn dan firma perkongsian kereta Shariot, kerana kereta mereka diletakkan di tingkat lima dan enam.

Seorang pekerja di syarikat pengedar kereta lain yang terletak di Golden Mile Tower mengatakan Hamilton Autobahn dan Shariot dimiliki oleh kumpulan yang sama.

Shariot adalah syarikat perkongsian kereta, yang menyewakan van sedemikian dari harga S$6.90 sejam.

Kenderaan yang terbakar itu termasuk jenis Honda N-Vans. Kebanyakan kereta yang diletakkan rapat itu kelihatan baharu dan tidak mempunyai plat lesen. Dapatan awal berikutan kebakaran pada Sabtu itu menunjukkan bahawa kereta yang terlibat bukan kenderaan elektrik, jelas SCDF.

Apabila Mediacorp mengunjungi pejabat syarikat Hamilton Group dan Shariot di Jalan Macpherson pada Selasa, syarikat tersebut enggan menjawab pertanyaan mengenai hal itu.
KERETA "PENUH BAK IKAN SARDIN"

LHN Group, yang memiliki dan menguruskan tempat letak kereta Golden Mile Tower melalui anak syarikatnya LHN Parking, memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya sudah bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menentukan punca kebakaran itu.

Syarikat tersebut menegaskan ia tidak dapat mendedahkan maklumat lanjut memandangkan siasatan sedang dijalankan, dan memohon maaf atas sebarang kesulitan kepada orang ramai.

"Kumpulan itu mengakui timbulnya kebimbangan orang ramai dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa relevan untuk menangani sebarang isu dan mempertingkatkan lagi langkah keselamatan jika perlu."

Pihaknya bagaimanapun tidak menjawab sebarang pertanyaan sama ada cara kereta diletakkan itu mematuhi peraturan dan bilangan maksimum kereta yang dibenarkan di setiap tingkat.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita