Sebahagian stesen MRT di NSL dan EWL akan ditutup lebih awal
Sebilangan stesen MRT di Laluan Timur-Barat (EWL) dan Laluan Utara-Selatan (NSL) akan ditutup dengan lebih awal, iaitu pada sekitar 11.00 malam setiap Jumaat dan Sabtu dari 30 November hingga 15 Disember.

Stesen MRT Jurong East. (Gambar fail: Ngau Kai Yan)
SINGAPURA: Sebilangan stesen MRT di Laluan Timur-Barat (EWL) dan Laluan Utara-Selatan (NSL) akan ditutup dengan lebih awal, iaitu pada sekitar 11.00 malam setiap Jumaat dan Sabtu dari 30 November hingga 15 Disember.
Stesen-stesen itu adalah stesen MRT Dover, Clementi, Jurong East, Chinese Garden dan Lakeside di EWL serta Marsiling, Kranji, Yew Tee, Choa Chu Kang, Bukit Gombak dan Bukit Batok di NSL.
Penutupan awal itu adalah bagi menjalankan kerja-kerja pembaharuan pada sistem bekalan tenaga dan kerja-kerja penyenggaraan yang lain, menurut pengendali pengangkutan SMRT dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini (22 Nov).
"Semasa penutupan dari 30 November hingga 15 Disember, khidmat kereta api di EWL antara stesen MRT Queenstown dengan Buona Vista akan beroperasi secara ulang alik dengan jarak tempoh lebih panjang, iaitu selang 12 minit antara setiap khidmat kereta api," menurut SMRT.
"Ini akan membolehkan khidmat kereta api untuk terus beroperasi antara stesen-stesen tersebut dengan menggunakan hanya satu landasan, sementara memudahkan kereta api-kereta api yang lain di EWL untuk berputar balik."
SMRT menambah bahawa khidmat bas ulang alik akan disediakan bagi para penumpang yang terjejas di pusat-pusat perhentian bas tertentu berhampiran stesen-stesen MRT berkenaan.
SMRT sudahpun menutup beberapa bahagian laluan-laluan tersebut sejak beberapa bulan lalu bagi memudahkan kerja-kerja pembaharuan pada sistem bekalan tenaga. Projek itu dijangka selesai dijalankan menjelang awal tahun 2020-an, menurutnya.
KHIDMAT STESEN CITY HALL DI EWL BERAKHIR LEBIH AWAL PADA JANUARI
Pada bulan Januari, khidmat kereta api stesen MRT City Hall di EWL akan berakhir lebih awal iaitu pada pukul 11.30 malam pada hari Jumaat dan Sabtu pada dua minggu pertama bulan itu. Ini ekoran kerja-kerja penyenggaraan di terowong-terowong EWL berhampiran stesen tersebut.
"Sepanjang tempoh itu, khidmat kereta api di EWL antara stesen MRT Outram Park dengan Raffles Place akan beroperasi secara ulang alik dengan jarak tempoh lebih panjang, iaitu selang 12 minit antara setiap khidmat kereta api," menurut SMRT. Ia menambah bahawa khidmat NSL di stesen MRT City Hall akan beroperasi seperti biasa.
Oleh kerana tiada khidmat kereta api di EWL antara stesen MRT Raffles Place dengan Bugis dari pukul 11.30 malam pada tarikh-tarikh terjejas, sebuah bas ulang alik akan disediakan supaya para penumpang boleh melakukan perjalanan antara kedua-dua stesen tersebut.
"Bagi waktu kereta api terakhir yang akan berlepas dari setiap stesen mrt sepanjang tempoh penutupan tersebut, para penumpang dinasihati supaya memeriksa waktu operasi bagi stesen-stesen tertentu di laluan MRT terjejas," menurut SMRT.
Orang ramai juga boleh merujuk ke laman SMRT Trains serta platform media sosialnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.