Skip to main content

Singapura

Sebahagian siswa NTU gagal dapat tempat tinggal di kampus disebabkan "kuota pihak berkuasa"

Sebahagian siswa NTU gagal mendapatkan penginapan di kampus bagi tahun akademik yang baru ini selepas bilik-bilik kosong di asrama-asramanya dikurangkan disebabkan had-had yang "ditetapkan oleh pihak berkuasa", menyebabkan para mahasiswa antarabangsa terkial-kial mencari tempat tinggal alternatif.

Anggaran Waktu Membaca:
Sebahagian siswa NTU gagal dapat tempat tinggal di kampus disebabkan "kuota pihak berkuasa"

Padang di Universiti Teknologi Nanyang (NTU). (Gambar: Alif Amsyar)

Diterbitkan : 02 Jul 2021 02:33PM Dikemas Kini : 02 Jul 2021 04:26PM

SINGAPURA: Sebahagian siswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU) gagal mendapatkan penginapan di kampus bagi tahun akademik yang baru ini selepas bilik-bilik kosong di asrama-asramanya dikurangkan disebabkan had-had yang "ditetapkan oleh pihak berkuasa", menyebabkan para mahasiswa antarabangsa terkial-kial mencari tempat tinggal alternatif.

Dalam kiriman emel kepada para pelajar yang ditolak permohonannya bagi tempat tinggal di asrama pada Khamis (1 Jul), NTU menyatakan: "Disebabkan pandemik COVID-19, terdapat had bagi bilangan siswa yang tinggal di asrama-asrama yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa dan jumlah bilik dikurangkan kerana terdapat keperluan mengetepikan sejumlah bilik bagi tujuan mengasingkan kes-ke COVID-19 dan lain-lain."

Para pemohon yang sudah tinggal di kampus mesti pindah keluar daripada bilik mereka sebelum 15 Julai, menurut NTU dalam kiriman emelnya kepada para mahasiswa.

"Kami akan memaklumkan kepada anda sekiranya kami boleh menawarkan bilik jika ada yang kosong disebabkan permohonan yang ditolak atau apabila pihak berkuasa menambah had jumlah bilik yang boleh diduduki di kampus," bunyi emel itu.

"Para pemohon asrama yang tidak mempunyai tempat tinggal amat digalakkan untuk mencari penginapan di luar kampus demi memenuhi keperluan tempat tinggal mereka."

Dalam emel itu, NTU juga menyenaraikan sumber-sumber bagi pilihan tempat tinggal di luar kampus termasuk pautan-pautan ke lelaman seperti Agoda, Booking.com dan Trivago serta nombor dua asrama pelajar.

Para siswa yang permohonannya ditolak berkata mereka terperanjat menerima notis itu.

Satu petisyen sudahpun dimulakan di laman Change.org untuk mendesak NTU agar menimbangkan semula keputusannya dengan lebih 5,000 tanda tangan setakat pukul 12.00 tengah hari pada Jumaat (2 Jul).

Dalam satu kemas kini di lamannya ketika tiga asrama baru dibuka di NTU pada September lalu, NTU menyatakan lebih 14,000 siswa boleh tinggal di kampus.

Universiti itu juga memberi jaminan kepada para mahasiswa tahun pertama bahawa akan ada tempat tinggal di kampus untuk mereka dalam dua tahun pertama, menurut catatan itu.

Kesatuan Siswa NTU menyatakan pada Khamis malam bahawa ia sedang bekerjasama dengan pihak pengurusan kanan universiti itu untuk membantu para mahasiswa antarabangsa yang tinggal di kampus atau mereka "paling terjejas" oleh situasi itu.

"Sedang perinciannya disahkan, para mahasiswa antarabangsa yang diarah pindah keluar dari asrama-asrama tidak perlu melakukan demikian buat masa ini," menurut kesatuan itu dalam satu catatan di Instagram.

NTU akan mendampingi siswa-siswa tersebut dalam beberapa hari ini untuk "menangani keprihatinan mereka" tentang arahan pindah keluar menjelang pertengahan Julai, menurut kesatuan itu.

"Kesatuan sudahpun menyampaikan kepada pihak universiti bahawa para mahasiswa antarabangsa yang tinggal di kampus harus diutamakan dalam proses penguntukan di tengah-tengah tempoh yang belum pernah berlaku sebelum ini," menurut catatan itu.

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp hari ini, NTU menyatakan ia sudah menyemak jumlah bilik kosong yang ditawarkan bagi tahun akademik akan datang "sebagai sebahagian daripada langkah-langkah pengurusan selamat".

"Tahun ini terdapat permintaan luar biasa tinggi bagi bilik-bilik di asrama," kata jurucakap universiti itu.

Universiti itu sedang menyemak jumlah tempat untuk membolehkan lebih ramai mahasiswa tinggal di kampus, ujar jurucakap itu sambil menambah ia akan memberi lebih banyak kemas kini dalam hari-hari mendatang.

"Dengan vaksinasi kini berjalan lancar dan kadar vaksinasi dijangka bertambah baik serta langkah-langkah pengurusan selamat lain yang kami rancang untuk laksanakan, kami sedang menyemak jumlah tempat tinggal untuk membolehkan lebih ramai siswa tinggal di kampus." 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita