Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sebahagian rakyat S'pura serba salah ambil masa rehat: Tinjauan

Sesetengah rakyat Singapura meluangkan terlalu banyak masa bekerja, sehingga berasa terperangkap dalam rutin harian dan mahu mengambil cuti. Bagaimanapun apabila mereka berpeluang berehat, mereka berasa serba salah.

Anggaran Waktu Membaca:
Sebahagian rakyat S'pura serba salah ambil masa rehat: Tinjauan

(Gambar: Sentosa Development Corporation)

Diterbitkan : 28 Jun 2019 03:01PM Dikemas Kini : 28 Jun 2019 07:35PM

SINGAPURA: Sesetengah rakyat Singapura meluangkan terlalu banyak masa bekerja, sehingga berasa terperangkap dalam rutin harian dan mahu mengambil masa rehat. Bagaimanapun apabila mereka berpeluang melakukannya, mereka berasa serba salah.

Satu tinjauan baru mendapati bahawa hampir enam daripada setiap 10 rakyat Singapura - atau 57 peratus - sebolehnya ingin melakukan sesuatu lebih produktif apabila mereka akhirnya bercuti.

Sekitar separuh daripada 600 responden pula berasa tertekan jika mereka tidak melakukan apa-apa, manakala tiga daripada setiap 10 orang berkata mereka tidak tahu bagaimana untuk bersantai.

Tinjauan itu dijalankan pada April bagi pihak Sentosa Development Corporation (SDC) dalam usahanya untuk menggalak rakyat Singapura supaya berasa kurang tertekan dan menikmati masa lapang.

Tinjauan itu juga adalah sebahagian daripada kempen terbarunya, yang diberi nama 'Make Time'. Ia bertujuan menggalak orang ramai supaya besantai sambil menguar-uarkan bahawa Sentosa mempunyai kemudahan untuk kegiatan sedemikian.

KEBANYAKAN INGIN LUANG LEBIH MASA DENGAN ORANG TERSAYANG

Menurut hasil tinjauan berkenaan, hampir tiga daripada setiap empat orang - atau 74 peratus - ingin meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga mereka serta orang tersayang.

Bagaimanapun, sekitar separuh daripada mereka rasa terperangkap dengan rutin seharian sehingga tidak dapat membebaskan diri daripadanya.

Tinjauan itu juga meninjau bagaimana seseorang rakyat Singapura menggunakan masa selama 168 jam dalam tempoh seminggu dan hasilnya agak mengejutkan.

Secara purata, rakyat Singapura hanya meluangkan masa selama 2.8 jam bersama keluarga dan rakan-rakan mereka, tidak termasuk waktu makan. Ini hanya membentuk kurang 1 peratus masa dalam tempoh seminggu.

Semasa perbincangan panel yang diadakan oleh SDC berhubung hasil tinjauan berkenaan, Penolong Profesor Jabatan Geografi Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Sin Harng Luh, berkata hasrat negara ini untuk mencapai kecemerlangan menjejas keupayaan mereka untuk berehat dengan tenang.

MASYARAKAT DIDORONG KPI

Profesor Madya Jabatan Sociologi NUS, Dr Tan Ern Ser, bersetuju dengan pandangan itu sambil berkata Singapura "merupakan masyarakat yang amat didorong oleh KPI (petanda prestasi utama)".

"Saya juga berpendapat bahawa kita didorong oleh lima C," katanya sambil merujuk kepada hasrat untuk memiliki wang tunai, kereta, kad kredit, keanggotaan kelab desa dan kondominium.

Pengerusi lembaga perubatan Institusi Kesihatan Mental (IMH), Daniel Fung, menggalak usaha memahami sebenar-benarnya penyepaduan pekerjaan dan kehidupan, sambil berkata adalah "tidak munasabah" untuk mencapai keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan. Dr Fung sebaliknya menyarankan menyepadukan kedua-dua aspek kehidupan tersebut.

SDC juga menarik perhatian bahawa waktu rehat tidak semestinya panjang untuk menjadi berkesan.

"Saya rasa sebagai masyarakat, kita perlu mula menilai dan menghormati masa lapang serta masa berehat dan masa dengan orang tersayang.

"Ini bermakna meluangkan masa dengan keluarga, dengan diri sendiri, serta menghargai, menghormati dan menilai masa tersebut," kata Dr Sin.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan