Skip to main content

Singapura

Sebahagian pusat beli-belah The Centrepoint ditawarkan untuk jualan secara en bloc

Anggaran Waktu Membaca:
Sebahagian pusat beli-belah The Centrepoint ditawarkan untuk jualan secara en bloc
The CentrePoint. (Gambar: Savills Singapore)
Diterbitkan : 07 Jan 2026 07:21AM Dikemas Kini : 07 Jan 2026 07:26AM
SINGAPURA: Sebahagian daripada The Centrepoint, iaitu salah satu pusat beli-belah paling ikonik di Orchard Road, diletakkan untuk jualan kolektif pada harga panduan S$418 juta, menurut ejen pemasarannya Savills Singapore pada Rabu (7 Jan).

Tawaran itu terdiri daripada 132 unit strata pegangan pajak, termasuk 66 unit kediaman dan 66 unit runcit.

151 unit runcit selebihnya, termasuk yang berada di hadapan The Centrepoint, yang menghadap Orchard Road, tidak termasuk dalam tender itu.

Harga panduan S$418 juta atau S$2,709 berdasarkan nisbah saiz plot bagi setiap kaki persegi, selepas mengambil kira caj pembaikan tanah sebanyak S$260 juta untuk menambah pegangan tanah kepada tempoh pajakan baharu selama 99 tahun.

Hartanah di 176A Orchard Road itu mempunyai baki 52 tahun dalam tempoh pajakannya, keluasan tapak kira-kira 44,700 kaki persegi dan keluasan lantai kasar 250,320 kaki persegi.

Tapak itu kini ditetapkan bagi kegunaan komersial di bawah Pelan Induk 2025 dan mempunyai nisbah plot kasar 5.6 dan kawalan ketinggian sehingga 10 tingkat.

"Para pemaju membida secara agresif bagi tapak-tapak penjualan tanah pemerintah dan sesetengah daripada mereka berminat untuk membeli sebahagian daripada The Centrepoint," kata Jeremy Lake, pengarah urusan Jualan Pelaburan dan Pasaran Modal di Savills.
Related article image
Pandangan atas The Centrepoint, dengan bahagian yang diperuntukkan bagi jualan kolektif ditandakan dengan warna kuning. (Gambar: Savills Singapore)
The Centrepoint mempunyai akses langsung kepada stesen MRT Somerset dan ia terletak berhampiran Daerah Pusat Perniagaan (CBD) dan Marina Bay.

Tender awam akan dilancarkan pada 7 Jan dan ditutup pada 26 Februari 2026 pada pukul 3.00 petang.

The Centrepoint dibuka pada 1983 sebagai Centrepoint.

Pada waktu kegemilangannya, golongan remaja, yang dikenali sebagai 'Centrepoint Kids', sering berkumpul di pusat beli-belah itu.

Sebuah koridor di tingkat lima pusat beli-belah itu pula menjadi tempat popular untuk mereka melakukan aksi 'breakdance'.

Kompleks itu turut menempatkan beberapa jenama tempatan terkenal, termasuk Cold Storage dan Robinsons, yang sudah pun ditutup.

Pusat beli-belah itu menjalani beberapa kerja-kerja pembaharuan besar-besaran, kali terakhir pada 2015.
Sumber : CNA/HA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita