Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sebahagian peruncit henti jual rokok sedang had usia minimum dinaikkan ke 21 tahun

Usia merokok kini 21 tahun: Ada pekedai yang 'serik' didenda kerana jual rokok kepada golongan bawah umur. Ada pula yang kini mengambil sikap lebih berhati-hati dan lebih peka memeriksa kad pengenalan pembeli.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 03 Jan 2021 09:58PM Dikemas Kini : 03 Jan 2021 10:02PM

SINGAPURA: Hari ini (3 Jan) adalah hujung minggu yang pertama sejak usia minimum untuk merokok dinaikkan daripada 20 kepada 21 tahun.

Langkah menaikkan had usia itu adalah yang ketiga dan terakhir di bawah pindaan undang-undangnya pada tahun 2017.

Langkah tersebut serta denda lebih berat kepada penjual yang menjual rokok kepada individu bawah umur menyebabkan beberapa peruncit berhenti menjual rokok.

Manakala kedai-kedai yang masih menjual pula, kini lebih peka kepada siapakah yang mereka berurus niaga apabila menjual rokok.

Beberapa kedai yang dikunjungi Mediacorp sudahpun berhenti menjual rokok sejak setahun lalu. Salah seorang pemiliknya berkata dia membuat keputusan itu kerana terlalu ramai orang muda yang merokok.

Bahkan ada juga ibu bapa, katanya, yang membelikan rokok untuk anak mereka.

Pemilik kedai Wah Chiang Communications misalnya memberitahu Mediacorp bahawa modal yang diperlukan tinggi tetapi keuntungannya adalah rendah. Dia hanya "untung beberapa sen daripada menjual setiap kotak rokok", katanya.

Oleh kerana risikonya banyak, dia memutuskan untuk berhenti menjual rokok.

Pemilik sebuah lagi kedai pernah didenda kerana menjual rokok kepada remaja bawah umur.

Para peruncit lain pula berkata mereka memeriksa kad pengenalan pelanggan yang kelihatan muda.

Bagaimanapun menurut seorang pakar, langkah menaikkan usia minimum untuk merokok tidak cukup bagi menangani masalah belia merokok.

"(Langkah lain) seperti menambah kawasan bebas rokok dan juga melindungi mereka (golongan muda) daripada asap rokok dan juga tidak membiasakan kegiatan merokok," jelas Dr Yvette Van Der Eijk, penolong profesor di Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock, NUS.

"Langkah-langkah seperti cukai tembakau, kerana kita tahu golongan muda seringkali terhalang oleh cukai kerana mereka tidak mempunyai pendapatan yang boleh dibelanjakan yang banyak."

Dr Van Der Eijk menambah, walaupun menaikkan had umur minimum bukan "penawar ajaib", beliau menjangkakan jumlah perokok muda akan berkurangan secara bertahap-tahap.

Para peruncit pula berkata mereka mendapati penjualan rokok sudahpun merosot sejak beberapa tahun lalu. 

Sumber : CNA/NF/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan