Sebahagian penghubung taman Ulu Pandan dibuka semula; kerja baik pulih kerosakan diteruskan
SINGAPURA: Sebahagian penghubung taman Ulu Pandan, yang ditutup akibat kejadian tanah runtuh dua hari lalu, sudah dibuka semula. Demikian menurut Lembaga Taman Negara (NParks) pada Ahad (4 Sep).
Namun, bahagian penghubung taman yang berdekatan kejadian tanah runtuh di Clementi - terletak antara Boon Lay Way dengan Clementi Road - masih lagi ditutup.
Ini dsebabkan "kerja-kerja baik pulih yang sedang dijalankan dan dirancangkan serta potensi risiko banjir", jelas NParks dalam catatannya di Facebook.
Bahagian lain penghubung taman tersebut, antara Clementi Road hingga Commonwealth Avenue West, kini sudahpun dibuka.
Tanah runtuh berlaku di sebuah tapak pembinaan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) Clementi NorthArc pada pagi Jumaat (2 Sep).
Ia menyebabkan "sesaran tanah" ke Sungai Ulu Pandan, sekali gus merosakkan penghubung taman Ulu Pandan, menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB). Seorang pejalan kaki lelaki mengalami cedera ringan akibat kejadian tersebut.
NParks menyatakan ia akan bekerjasama dengan agensi air negara PUB untuk "memantau dengan teliti ramalan hujan dan paras air di terusan tersebut serta akan menutup buat sementara waktu penghubung taman itu jika perlu".
Dalam satu catatan Facebook yang dimuat naik secara berasingan pada Ahad (4 Sep), PUB menggesa orang awam supaya elak daripada menggunakan penghubung taman Ulu Pandan itu sewaktu hujan lebat.
"Sekiranya banjir berlaku, kekal di tempat yang lebih tinggi dan elak meredah air bah," nasihat PUB.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.