Sebahagian lagi penghubung taman Ulu Pandan akan dibuka, namun tetap berisiko alami banjir
Sebahagian lagi penghubung taman Ulu Pandan, yang ditutup ekoran kejadian tanah runtuh di Clementi, akan dibuka semula pada hujung minggu ini, menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Khamis (8 Sep).
Terusan diluaskan dan pam air ditambah untuk meningkatkan aliran air di Sungei Ulu Pandan. (Gambar: HDB/Facebook)
Bahagian yang akan dibuka semula pada Sabtu meliputi kawasan Boon Lay Way dan Ekspreswe Ayer Rajah (AYE) hingga jejambat Commonwealth Avenue West di hilir penghubung taman tersebut.
Kejadian tanah runtuh itu berlaku di tapak projek Bina Ikut Binaan (BTO) Clementi NorthArc pada Jumaat lalu (2 Sep). Seorang pejalan kaki cedera, manakala tanah menggeluncur ke dalam Sungei Ulu Pandan dan merosakkan sebahagian daripada penghubung taman Ulu Pandan.
Kawasan meliputi bahagian hulu penghubung taman tersebut dari tapak insiden hingga Clementi Road akan terus ditutup atas sebab keselamatan kerana "kerja-kerja pemulihan yang sedang dijalankan dan dirancang serta potensi risiko banjir," menurut HDB dalam satu catatan Facebook.
Sejak insiden itu minggu lalu, HDB serta kontraktor Chiu Teng Construction sudahpun meluaskan terusan di Sungei Ulu Pandan dari 1.5 meter kepada 3.5 meter dan menggunakan beberapa pam untuk membaiki aliran air di dalam terusan tersebut.
“Langkah-langkah segera ini diambil bagi memastikan keselamatan awam dan pekerja, yang merupakan keutamaan kami, dengan mengurangkan kesan kegagalan cerun serta potensi risiko banjir di hulu," jelas HDB.
Bagaimanapun, masih terdapat risiko banjir di Penghubung Taman Ulu Pandan dan kawasan-kawasan berhampiran hulu sungei, terutama ketika hujan lebat, kerana terusan itu masih belum dipulihkan, tambahnya.
“Kami akan terus bekerjasama dengan PUB serta NParks untuk memantau dengan teliti paras air di terusan itu dan untuk segera memberi amaran kepada penduduk dan pengguna taman tentang sebarang risiko banjir," menurut HDB.
HDB juga menyatakan ia sudah bersedia untuk memulakan kerja pembaikan fasa kedua, yang termasuk memasang kepingan cerucuk di sepanjang bahagian penghubung taman yang terjejas bagi mengukuhkan dan menstabilkan lagi cerun tersebut.
“Ini adalah fasa penting dan perlu diselesaikan sebelum kerja-kerja penstabilan dan pembinaan semula boleh dijalankan dengan selamat," terang HDB.
It menyatakan kepingan cerucuk itu akan dimasukkan jauh ke dalam tanah bagi membina satu penghadang agar tanah yang tersasar ke dalam terusan itu boleh dikeluarkan dengan selamat.
Kerja-kerja tersebut dijangka bermula pada hujung minggu ini dan akan mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan untuk selesai, tambah HDB.
Dalam catatannya, HDB juga menyatakan NParks akan bekerjasama dengan PUB untuk memantau ramalan hujan dan paras air di terusan itu. Penghubung taman tersebut akan ditutup buat sementara waktu apabila perlu.
Lembaga itu juga mengulangi bahawa fasa terakhir kerja-kerja pemulihan serta pembinaan semula adalah "luas dan dijangka mengambil beberapa bulan untuk siap".
HDB menambah ia akan terus memantau rapi keselamatan struktur bangunan-bangunan berdekatan sementara kerja pemulihan dijalankan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.