Skip to main content

Singapura

Sebahagian flat BTO dua bilik akan dikhaskan untuk pemohon bujang kali pertama yang ingin tinggal berhampiran ibu bapa

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Jul 2025 03:59PM Dikemas Kini : 20 Jul 2025 10:41PM
SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Ahad (20 Jul) mengumumkan kuota untuk flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dua bilik yang akan dikhaskan untuk golongan bujang yang membeli flat buat kali pertama, yang ingin memohon flat berhampiran ibu bapa mereka.

Skim Penjagaan Keluarga (FCS) baharu, yang pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun lalu, terdiri daripada dua komponen: FCS (Tinggal Berhampiran) dan FCS (Pengundian Bersama).


TINGGAL BERHAMPIRAN

FCS (Tinggal Berhampiran) membolehkan ibu bapa dan anak-anak mereka, tanpa mengira status perkahwinan, mendapat keutamaan jika mereka memohon flat baharu untuk tinggal bersama atau berhampiran satu sama lain. Ini akan dilancarkan dalam penjualan BTO Julai.

Pada masa ini, sehingga 65 peratus flat BTO fleksi dua bilik dan sehingga 5 peratus penjualan flat baki (SBF) dikhaskan untuk pemohon bujang kali pertama, selepas memperuntukkan flat bagi warga emas.

Dalam kuota ini, 30 peratus flat BTO dan 2 peratus flat SBF akan dikhaskan untuk pemohon bujang kali pertama yang memohon di bawah FCS (Tinggal Berhampiran). Ia diperuntukkan untuk flat Standard dan Plus.

Bagi flat Prime, 20 peratus flat BTO dan 1 peratus flat SBF ditawarkan.

Baki kuota akan diperuntukkan untuk pemohon bujang kali pertama yang lain.

Pasangan yang sudah berkahwin dan warga emas kini diberi keutamaan di bawah Skim Keutamaan Anak Sudah Berkahwin dan Skim Keutamaan Warga Emas apabila memohon flat baharu untuk tinggal bersama atau berhampiran ibu bapa atau anak-anak mereka yang sudah berkahwin.

FCS (Tinggal Berhampiran) akan menggantikan kedua-dua skim itu, tanpa mengubah keutamaan yang diberikan kepada pasangan yang sudah berkahwin dan warga emas.

PENGUNDIAN BERSAMA

FCS (Pengundian Bersama) membolehkan ibu bapa dan anak-anak mereka, tanpa mengira status perkahwinan, memohon bersama untuk mendapatkan dua unit dalam projek BTO yang sama, di mana terdapat flat fleksi dua bilik atau tiga bilik dalam projek tersebut.

Ia dijangka dilancarkan dalam penjualan BTO pada Oktober, menurut HDB pada Ahad.

Ia akan menggantikan Skim Keutamaan Keluarga Berangkai agar anak-anak yang sudah berkahwin dan ibu bapa mereka dapat tinggal berhampiran satu sama lain dalam projek BTO yang sama.

PERUBAHAN MULAI JULAI

Perubahan lain yang akan bermula dari penjualan BTO Julai sudah diumumkan sebelum ini.

Ini termasuk langkah HDB meningkatkan kuota peruntukan flat BTO tiga bilik dan yang lebih besar sebanyak 5 peratusan mata, untuk keluarga pembeli kali kedua.

Jumlah yang disemak semula bagi flat BTO yang dikhaskan untuk keluarga kali kedua adalah:
- Sehingga 20 peratus flat standard tiga bilik
- Sehingga 10 peratus flat plus dan prime tiga bilik, serta flat standard, plus dan prime empat bilik dan lebih besar
- Sekurang-kurangnya 80 peratus hingga 90 peratus flat tiga bilik dan yang lebih besar akan terus dikhaskan untuk keluarga pembeli kali pertama.

Perubahan kepada skim Penilaian Pendapatan Tertunda (DIA) dan Geran Perumahan Permulaan Baharu untuk keluarga pembeli kali kedua yang layak juga akan berkuat kuasa mulai penjualan BTO Julai.

Skim DIA membolehkan pasangan yang layak memohon flat baharu dan menangguhkan penilaian pendapatan mereka untuk Geran Perumahan CPF yang Dipertingkatkan (EHG) serta pinjaman perumahan HDB sehingga hampir waktu mengambil kunci flat mereka.

Di bawah skim yang dipertingkatkan, hanya seorang daripada pasangan berkenaan perlu merupakan pelajar sepenuh masa atau anggota Perkhidmatan Negara terkini atau semasa. Pada masa ini, kedua-dua pihak perlu memenuhi syarat itu.

Geran Perumahan Permulaan Baharu akan ditingkatkan daripada S$50,000 kepada S$75,000 untuk menyokong lebih banyak isi rumah flat sewa awam kali kedua yang mempunyai anak-anak untuk memiliki rumah.

Keluarga-keluarga tersebut boleh menggunakan geran yang ditingkatkan untuk membeli flat fleksi dua bilik atau flat BTO Standard tiga bilik, atau flat baki, dengan tempoh pajakan yang lebih pendek.

Sekitar 5,500 flat di Bukit Merah, Bukit Panjang, Clementi, Sembawang, Tampines, Toa Payoh, dan Woodlands akan dilancarkan dalam penjualan BTO Julai. Penjualan flat baki juga akan diadakan secara serentak, dengan lebih 4,600 flat ditawarkan.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita