Skip to main content

Singapura

Sebahagian dana awam sudah disalur kepada SPH Media namun boleh dibatal jika ada salah laku serius

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Jul 2023 07:44PM Dikemas Kini : 06 Jul 2023 09:59PM
SINGAPURA: Meskipun sebahagian daripada dana awam sudah disalurkan oleh Pemerintah kepada SPH Media Trust dari Mac tahun ini, perjanjian pendanaan tersebut boleh dibatalkan sekiranya didapati terdapat sebarang salah laku yang serius.

Parlimen diberitahu demikian pada Khamis (6 Jul).


Menyusuli dapatan yang mendedahkan bahawa kadar pengedaran akhbar-akhbar terbitan kumpulan tersebut sudah ditokok tambah, Menteri Perhubungan dan Penerangan Josephine Teo menyatakan bahawa Pemerintah kini menguatkuasakan langkah-langkah perlindungan untuk membolehkannya menjalankan audit ad hoc pertubuhan tersebut.


Cik Teo menambah bahawa Pemerintah akan masuk campur jika terdapat kes salah laku atau salah pengurusan dana awam.


Beliau sedia maklum bahawa dapatan mengenai jumlah pengedaran akhbar-akhbar tersebut yang ditokok tambah berkait dengan tempoh sebelum pendanaan awam SPH Media dimulakan. Lantaran itu, tindakan sedemikian tidak menjejas pendanaan awam.

Cik Teo menjelaskan bahawa meskipun Pemerintah akan terus membiayai SPH Media dengan jumlah yang diperuntukkan, Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) akan menyemak semula terma perjanjian pendanaan yang sedia ada itu "pada pertengahan penggal".


Aturan pendanaan tersebut itu adalah sehingga S$180 juta setahun bagi lima tahun, atau pada jumlah keseluruhan S$900 juta.


'KESALAHAN YANG BERKEMUNGKINAN DILAKUKAN'

Cik Teo memberi respons kepada pertanyaan yang dikemukakan Anggota Parlimen (AP), yang ingin mendapatkan kemas kini berhubung semakan ke atas SPH Media berhubung jumlah pengedaran akhbar-akhbar yang ditokok tambah pada tempoh antara September 2020 dengan Mac 2022.

Pada Januari tahun ini, SPH Media melaporkan bahawa jumlah edaran harian naskhah surat khabarnya didapati ditokok tambah antara 85,000 hingga 95,000 termasuk keadaan di mana salinan dicetak, dihitung untuk edaran dan kemudian dihapuskan.

Jawatankuasa audit itu mendapatkan khidmat penasihat undang-undang dari Allen &Gledhill, yang melantik Deloitte untuk membantu dalam siasatan itu. Dapatan daripada siasatan dalaman diterbitkan dalam satu laporan yang didedahkan kepada umum pada 21 Jun.

SPH Media juga memfailkan laporan polis, atas alasan bertindak mengikut saranan yang diperincikan dalam laporan tersebut.
 


Cik Teo memberitahu Parlimen pada Khamis bahawa "kesalahan mungkin (sudah) dilakukan, berdasarkan beberapa dapatan".

Cik Teo bagaimanapun tidak dapat memberi butiran lanjut oleh kerana siasatan polis masih dijalankan.


LANGKAH YANG AKAN DIAMBIL SPH MEDIA

Dalam ucapannya di Parlimen, Cik Teo menggariskan langkah-langkah yang akan diambil SPH Media untuk menangani isu tersebut.

Ini termasuk langkah susulan dalam tiga bidang utama:


- Untuk berpandukan kepada piawaian antarabangsa. SPH Media akan menugaskan Persatuan Akhbar dan Penerbit Berita Sedunia untuk mengkaji dan memberi nasihat mengenai kaedah mereka untuk mengukur jangkauan pelbagai tajuknya


- Untuk memperbaiki kawalan dalaman

- Untuk memperhalusi amalan pengurusan risiko dalam pertubuhan tersebut dan menyemak semula budaya risikonya

Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita