Sebahagian besar undi warga SG di luar negara bagi GE2025 cermin corak undian tempatan
Undi warga Singapura di luar negara bagi Pilihan Raya Umum 2025, yang dikira oleh Jabatan Pilihan Raya Singapura (ELD) pada Khamis (15 Mei), sebahagian besar mencerminkan corak pengundian tempatan.

Gambar fail yang menunjukkan sebuah kotak undi di Jabatan Pilihan Raya Singapura. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Dalam satu kenyataan, ELD menyatakan terdapat 17,237 pengundi luar negara berdaftar di kesemua divisyen kawasan undi yang dipertandingkan.
Jumlah itu tidak termasuk mereka yang mempunyai alamat rumah berdaftar atau alamat kenalan tempatan di GRC Marine Parade-Braddell Heights, yang menang tanpa bertanding dalam GE2025.
Menurut ELD, 5,966 daripada 8,091 pengundi yang berdaftar untuk mengundi secara fizikal keluar mengundi di salah satu daripada 10 pusat pengundi di luar negara.
Ia menambah bahawa 7,808 daripada 9,414 warga Singapura yang mengundi melalui pos telah memuat turun undi pos.
Daripada jumlah itu, 6,097 undian diterima di Singapura sebelum tarikh akhir yang ditetapkan dan 3,363 diterima untuk pengiraan.
Bersama dengan jumlah undi di Singapura pada Hari Mengundi pada 3 Mei lalu, keseluruhan jumlah undian pada GE2025 adalah 2,438,610.
Jumlah itu termasuk 42,945 undi yang ditolak.
Undi dari luar negara sebahagian besar mencerminkan trend pengundian tempatan, kecuali di SMC Sembawang West di mana ketua Parti Demokratik Singapura (SDP) Chee Soon Juan memperolehi 23 undian sah, berbanding dengan calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) Poh Li San yang memperolehi 21 undian sah.
Cik Poh menang dengan 53.18 peratus undi untuk mengalahkan Dr Chee.
Di SMC Bukit Panjang, di mana calon PAP Liang Eng Hwa menewaskan pengerusi SDP Paul Tambyah dengan 61.38 peratus undi, kedua-dua calon menerima jumlah sama undian dari luar negara.
Parti Pekerja menerima lebih banyak undian luar negara yang sah berbanding PAP di GRC Aljunied, GRC Sengkang dan SMC Hougang, di mana mereka berjaya mempertahankan kerusi masing-masing.
Mereka tampil sebagai satu-satunya parti pembangkang dalam GE2025 yang dilantik ke Parlimen.
Parti mentadbir PAP memperolehi margin kemenangan besar di SMC Queenstown dan GRC Tanjong Pagar di mana mereka masing-masing memperolehi 81.13 peratus dan 81.02 peratus undi.
Menyusuli perkiraan undian luar negara, 92.83 peratus daripada kesemua pengundi berdaftar keluar mengundi dalam GE2025, menurut ELD.
Peratusan lebih rendah yang keluar mengundi pada pilihan raya umum baru-baru ini mungkin disebabkan oleh masa pengundian dan tanggapan mutu calon parti pembangkang di sesetengah kawasan undi, kata beberapa pengamat politik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.