Sebahagian besar kumpulan berbasikal selamat tapi masih wujud 'kambing hitam'
(Gambar: Facebook/Serlina Eng)
Demikian menurut para pengayuh basikal berpengalaman menyusuli kemalangan melibatkan dua pengayuh basikal baru-baru ini.
Salah seorang daripada mereka dihantar ke hospital.
Pengayuh basikal di jalan raya Singapura perlu mematuhi peraturan yang menghadkan tidak lebih daripada lima orang yang berbasikal dalam satu barisan. Mereka harus mengayuh basikal dalam satu barisan di jalan yang mempunyai satu lorong dan lorong bas pada waktu yang ditetapkan.
Bagi jalan raya yang mempunyai dua lorong atau lebih, mereka boleh mengayuh dalam dua barisan, dalam kumpulan tidak melebihi 10 basikal.
Mereka yang melanggar peraturan itu boleh didenda S$150. Kumpulan-kumpulan berbasikal dinasihatkan supaya menjaga jarak sejauh dua tiang lampu, atau kira-kira 30 meter, antara satu sama lain.
Encik Adrian Yeo, pengasas Kelab Berbasikal Personal Record, berkata bahawa amalan terbaik ketika memotong termasuk memberi isyarat awal kepada kumpulan di hadapan dan tidak berada terlalu dekat dengan pengayuh basikal lain ketika memotong mereka.
TAKLIMAT KESELAMATAN, MENGAYUH DENGAN DISIPLIN
Kumpulan-kumpulan berbasikal tempatan memberitahu Medicaorp bahawa mereka kerap menganjurkan
kegiatan berbasikal untuk sehingga 100 peserta. Tetapi peraturan yang ada sekarang adalah untuk mematuhi undang-undang dan menjaga keselamatan para pengayuh basikal.
Sebagai contoh, sesetengah penganjur akan membahagi-bahagikan pengayuh basikal kepada kumpulan sehingga 10 orang, dengan setiap kumpulan akan bergerak selang lima minit.
Dalam kumpulan yang besar seperti itu, setiap kumpulan yang mempunyai 10 anggota juga biasanya mempunyai ketua kumpulan yang memastikan mereka menjaga jarak yang selamat daripada kumpulan di hadapan mereka.
Encik Tan Liang Cheng dari kumpulan berbasikal TFR berkata beliau akan berbincang dengan pengayuh baru sebelum mereka dibenarkan menyertai kumpulan itu.
KAMBING HITAM
Sebahagian besar kumpulan berbasikal di Singapura akan cuba mematuhi peraturan dan mengayuh dengan selamat, terutama dalam kalangan kumpulan-kumpulan yang sudah lama ditubuhkan, kata para pengayuh basikal kepada Mediacorp.
Encik Steven Lim, naib presiden bagi keselamatan dan pendidikan Persatuan Berbasikal Singapura, berkata bahawa akan sentiasa wujud individu yang mengabaikan atau melanggar peraturan.
Pengayuh basikal pada mulanya mematuhi peraturan, namun sekarang, "tiada sesiapa yang takut lagi," kata Encik Ho dari kumpulan West Coast Riders.
"Beberapa pengayuh basikal akan beritahu saya 'Hei, tiada orang disaman, mengapa anda bersikap tegas dengan kami."
Encik Lim dari Persekutuan Berbasikal Singapura menggesa para pengayuh basikal supaya mematuhi peraturan kerana ia dikuatkuasakan untuk menjaga keselamatan dan melindungi pengguna jalan raya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.