Skip to main content

Singapura

Sebagai DPM, Heng Swee Keat akan galas lebih banyak tanggungjawab politik, kata PM Lee

Menteri Kewangan Heng Swee Keat akan menggalas lebih banyak tanggungjawab politik apabila beliau menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri (DPM) kelak dan ini termasuk memainkan peranan yang lebih besar dalam Pilihan Raya Umum akan datang, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Isnin (29 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 29 Apr 2019 07:25PM Dikemas Kini : 29 Apr 2019 11:45PM

BEIJING: Menteri Kewangan Heng Swee Keat akan menggalas lebih banyak tanggungjawab politik apabila beliau menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri (DPM) kelak dan ini termasuk memainkan peranan yang lebih besar dalam Pilihan Raya Umum akan datang, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Isnin (29 Apr).

Encik Lee juga menyifatkan penyusunan terbaru Kabinet sebagai "tindakan susulan semula jadi" pada perubahan kepimpinan Parti Tindakan Rakyat (PAP) tahun lalu dan mengatakan bahawa beliau sedang berusaha untuk menepati garis masa yang diumumkan sebelum ini berhubung penyerahan tampuk pimpinan kepada penggantinya sebelum beliau mencecah usia 70 tahun pada 2022.


Perdana Menteri berkata demikian semasa bercakap dengan para wartawan Singapura selepas menggulung lawatan lima hari ke Beijing - dalam wawancaranya yang pertama menyusuli rombakan Kabinet minggu lalu, yang menyaksikan Encik Heng dinaikkan pangkat kepada DPM.

Encik Heng, dalam temu bual pada Ahad, berkata beliau akan menyokong Encik Lee untuk menyemak semula dasar jangka panjang Singapura berhubung pelbagai isu seperti penduduk yang menua dan penyusunan semula ekonomi.

Apabila ditanya oleh para wartawan sama ada Encik Heng juga akan memainkan peranan utama dalam Pilihan Raya Umum yang mesti diadakan sebelum awal 2021, Encik Lee berkata: "Ya, sudah tentu, saya fikir (Heng) Swee Keat tidak mahu membesar-besarkan peranannya."

Sebagai DPM, Encik Heng akan "memikul lebih banyak tanggungjawab politik".

"Ini termasuk menetapkan agenda. Ia juga bermakna menyampaikan pendirian dan dasar-dasar Pemerintah kepada orang ramai. Ini bermakna membangunkan pasukan muda dan bersiap sedia dalam segala aspek untuk mengambil alih daripada saya dan menteri-menteri saya yang lebih mapan secepat mungkin, "kata Encik Lee.

Berhubung penyusunan Kabinet kali ini, Encik Lee berkata ia adalah "tindakan susulan semula jadi" kepada apa yang berlaku tahun lalu, termasuk rombakan besar-besaran yang menyaksikan menteri-menteri muda menerajui dua pertiga kementerian Singapura.

Ia juga adalah "perkembangan selanjutnya" apabila Encik Heng muncul sebagai calon utama dalam kalangan menteri generasi keempat dan dilantik sebagai penolong setiausaha agung pertama PAP.

"Para menteri muda semuanya menyokong Swee Keat ... maka itu, ia satu kedudukan yang baik dan secara semula jadi Swee Keat akan mengambil alih sebagai DPM."

"Garis masa yang saya harapkan adalah selesaikan (penyusunan semula Kabinet) ini sebelum Pilihan Raya Umum," kata Encik Lee. "Bagi penggal selanjutnya, saya akan mencecah usia 70 tahun, saya berharap dapat menyerahkan tanggungjawab saya kepada PM seterusnya. Saya sedang berusaha untuk memenuhi garis masa itu."

Encik Lee turut membayangkan perubahan selanjutnya pada Kabinet, meskipun ia tidak mungkin berlaku pada tahun ini.

"Ia belum muktamad dan kami akan membuat perubahan dari semasa ke semasa," kata beliau.

"Saya biasanya membuat perubahan atau merombak Kabinet setahun sekali jadi saya tidak fikir akan merubahnya lagi sebelum hujung tahun. Namun setahun sekali adalah jadual yang baik."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita