Skip to main content

Singapura

Sebab ringgit Malaysia kekal lemah dan kesan lebih meluas ke atas Singapura

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Masalah kekurangan tenaga kerja yang teruk di kedai kopi dan restoran di Johor Bahru telah dilaporkan di Malaysia disebabkan lebih ramai pekerja memilih untuk menyeberang Koswe ke Singapura untuk bekerja, menurut laman web berita The Malaysian Insight pada Khamis (31 Ogos).

Meskipun nilai ringgit Malaysia meningkat sedikit daripada rekod terendahnya berbanding dolar Singapura pada bulan Julai, mata wang yang lemah itu telah menyebabkan beberapa rakyat Malaysia mencari rezeki di Singapura demi mendapatkan gaji yang lebih baik.

Pada Mei lalu, ringgit Malaysia merosot ke paras terendah berbanding dolar Singapura ketika itu pada 3.41. Pada Julai pula, kadarnya merosot lagi ke paras terendah baru 3.48 ringgit berbanding dolar Singapura.

Pada Jumaat, kadar tukarannya adalah S$1 bagi 3.44 ringgit.

Mediacorp bercakap dengan beberapa pakar untuk memahami sebab ringgit terus melemah dan ramalan mereka tentang mata wang Malaysia itu.

KENAPA RINGGIT MALAYSIA MEROSOT?

Kelemahan ringgit dari semasa ke semasa boleh dikaitkan dengan gabungan faktor domestik dan luaran, kata pakar yang dihubungi.

Profesor Madya Chia Wai Mun, pensyarah ekonomi dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU), berkata faktor seperti ketidaktentuan politik, dasar tidak konsisten dan ketegangan geopolitik boleh menjejaskan keyakinan pelabur, sekali gus menjejaskan mata wang.

Pada pilihan raya negeri baru-baru ini di Malaysia, selain mengekalkan kubu kuatnya di Kedah, Kelantan dan Terengganu, gabungan pembangkang Perikatan Nasional (PN) membuat kemajuan di negeri-negeri dominan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Selian risiko domestik itu, faktor luaran seperti perubahan pada harga komoditi juga boleh menyebabkan ringgit menjadi lemah.

Ini terutamanya memandangkan Malaysia merupakan pengeksport utama komoditi termasuk minyak sawit dan getah, kata Prof Madya Chia.

Mempunyai jumlah hutang luar negeri yang tinggi berbanding keluaran dalam negara kasar juga mungkin menimbulkan kebimbangan tentang keupayaan negara itu untuk membayar hutangnya, yang boleh menyebabkan mata wangnya melemah.

Pelabur yang bimbang tentang kemampanan hutang mungkin menjual mata wang itu, menyebabkan nilainya susut, tambah beliau.

Akhbar The New Straits Times di Malaysia melaporkan pada Februari lalu bahawa jumlah hutang luar negara berjumlah RM1,169.4 bilion (S$340.7 bilion) pada akhir September 2022.

Prof Madya Chia berkata perbezaan kadar faedah antara Malaysia dan ekonomi utama lain mungkin menjejaskan aliran kewangan juga.

Kadar faedah yang lebih tinggi di luar negara akan menarik pelabur asing yang mencari pulangan lebih baik, membawa kepada aliran keluar kewangan dari Malaysia, sekali gus melemahkan ringgit.

Ketua strategi pertukaran asing Maybank, Saktiandi Supaat berkata bahawa nilai ringgit telah melemah disebabkan pelbagai faktor, termasuk pengumpulan hasil eksport dolar Amerika Syarikat.

Ini bermakna disebabkan oleh dolar AS yang lebih kukuh, pengeksport Malaysia mungkin memilih untuk mengekalkan hasil eksportnya daripada komoditi, contohnya, dalam dolar AS dan bukannya ringgit, yang memberi tekanan lanjut kepada ringgit dan boleh menyebabkan ia merosot.

Baru-baru ini, pertumbuhan lemah China dan kelemahan mata wang yuan turut menjejaskan ringgit. China adalah rakan dagangan utama Malaysia, terutamanya dalam eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit.

Dari perspektif Singapura, pakar ekonomi bebas Song Seng Wun berkata berbanding ringgit, dolar Singapura lebih kukuh berikutan campur tangan bank pusat yang menyesuaikan kadar pertukaran untuk mengawal inflasi, berbeza daripada dasar kewangan Malaysia.

LANGKAH SETERUSNYA?

Pada Jun, Timbalan Menteri Kewangan Malaysia Ahmad Maslan berkata bahawa kerajaan mengekalkan kedudukannya untuk tidak menambat ringgit kepada dolar Amerika Syarikat disebabkan kesan buruknya kepada orang ramai.

Bercakap di Parlimen Malaysia pada 20 Jun, Encik Maslan berkata bahawa dengan menambat ringgit kepada dolar AS akan menyebabkan Malaysia hilang keupayaan untuk meneruskan dasar kewangannya dan juga berisiko mengakibatkan pengaliran keluar modal.

Ini bermakna Malaysia tidak akan dapat mengawal pergerakan pelaburan asing dan ini akan menjejaskan "keyakinan dan daya saing" negara, tambah Encik Maslan.

Pada masa yang sama, langkah tersebut akan memaksa bank pusatnya untuk menaikkan kadar faedah ke tahap yang sama seperti di AS, yang tinggi.

Kadar faedah yang lebih tinggi merupakan halangan bagi aktiviti pinjaman dan memberi pinjaman antara perniagaan dan bank di Malaysia, memandangkan perniagaan perlu mengambil kadar faedah yang lebih tinggi untuk pinjaman, kata Dr Nur Ain Shahrier, penolong profesor ekonomi di Universiti Sunway, kepada Nikkei Asia pada Julai.

Malaysia menambat ringgit pada kadar 3.8 kepada dolar AS semasa Krisis Kewangan Asia pada tahun 1998 dan mengenakan kawalan modal, tetapi ia dibatalkan pada 2005.

Kementerian Kewangannya berkata pada Jun lalu bahawa kerajaan kekal komited dan fokus dalam melaksanakan dasar struktur yang mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara bagi menarik aliran masuk dana dan pelaburan asing yang akan menyokong ringgit.

Apa pun, disebabkan mata wang sesebuah negara dipengaruhi oleh faktor luaran dan domestik, adalah sukar untuk meramalkan sepenuhnya bagaimana mata wang ringgit akan bergerak.

Encik Song berkata sukar untuk mengatakan bila ringgit akan mengukuh dan pulih sepenuhnya.

Namun, Encik Saktiandi dari Maybank berkata bahawa ringgit dijangka mengukuh sedikit menjelang 2024.

Pengumuman Malaysia baru-baru ini mengenai "Ekonomi Madani" dan inisiatif hijaunya akan menjadi petanda "positif" bagi ekonomi dan ringgitnya dalam jangka sederhana.

Ekonomi Mandani ialah visi dan rangka kerja Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk dasar ekonomi negara berpaksikan enam teras iaitu kemampanan, kemakmuran, inovasi, rasa hormat, amanah dan belas ihsan.

Penganalisis berkata, faktor lain yang boleh menunjukkan unjuran lebih baik bagi ringgit tahun depan ialah jangkaan Rizab Persekutuan AS akan memperlahankan kenaikan kadar faedahnya, setelah menaikkan kadar sebanyak 5.25 mata peratusan sejak Mac 2022 dalam usaha untuk mengekang inflasi.

Buat masa ini, selagi ringgit Malaysia kekal lemah berbanding dolar Singapura, kemungkinan besar negara ini akan terus melihat kemasukan rakyat Malaysia yang mencari pekerjaan di sini.
Sumber : Today/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita