Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sebab pemeliharaan kucing di flat HDB dilarang; bagaimana ini mungkin berubah tidak lama lagi

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pemeliharaan kucing di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mungkin dibenarkan jika rangka kerja yang dicadangkan untuk menguruskan kucing dilaksanakan.

Perkhidmatan Haiwan & Veterinar (AVS) sedang mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai langkah yang dicadangkan untuk meningkatkan pengurusan dan kebajikan kucing, termasuk kemungkinan membenarkan kucing dibela sebagai haiwan peliharaan di flat HDB.

Perundingan awam itu akan dijalankan selama enam bulan, dari September 2022 hingga Mac 2023.

Mediacorp mengimbas semula larangan yang dikuatkuasakan sejak 30 tahun lalu ke atas pemeliharaan kucing di flat HDB dan bagaimana perundingan awam terbaru mengenai rangka kerja kebajikan kucing yang dicadangkan didorong oleh permintaan yang semakin meningkat untuk membenarkan pemilikan dan penjagaan kucing dalam flat HDB.

KENAPA PEMELIHARAAN KUCING DILARANG DI FLAT?

Menurut HDB, kucing tidak dibenarkan berada di dalam flat kerana "ia secara amnya sukar dibendung di dalam flat".

"Apabila dibiarkan merayau sewenang-wenangnya, ia cenderung menggugurkan bulu dan membuang najis di tempat-tempat awam, serta mengiau dengan kuat yang boleh mengganggu jiran anda," kata HDB.

Larangan terhadap kucing sebagai haiwan peliharaan di flat HDB telah dilaksanakan sejak 1989.

Seseorang boleh didenda sehingga S$4,000 jika didapati membela kucing peliharaan di flat mereka di bawah Peraturan Perumahan dan Pembangunan (Haiwan).

Menjawab pertanyaan Mediacorp, HDB menyatakan "pertimbangan utamanya adalah untuk memelihara persekitaran hidup yang menyenangkan dan harmoni di estet HDB, serta mengekalkan hubungan kejiranan yang baik".

"Untuk tujuan ini, kami berusaha untuk mengimbangi kepentingan penduduk pencinta haiwan peliharaan dan mereka yang mungkin terjejas akibat gangguan disebabkan pemilikan haiwan peliharaan yang tidak bertanggungjawab."

HDB menambah bahawa bersama-sama dengan AVS, ia sedang "meneroka kemungkinan membenarkan kucing dibela sebagai haiwan peliharaan di flat HDB, dengan mengambil kira maklum balas daripada perundingan awam".

Butiran lanjut akan dikongsi apabila siap kelak, katanya.

PERUNDINGAN AWAM RANGKA KERJA PENGURUSAN KUCING

Satu perundingan awam selama enam bulan sedang dijalankan, dari September 2022 hingga Mac 2023, kata AVS dalam satu kenyataan media pada Sabtu (3 Sep).

Ia termasuk satu tinjauan online selama dua bulan di laman web AVS sehingga 2 Nov.

Antara lain terdapat cadangan memperluaskan pelesenan anjing peliharaan sedia ada dan skim memasukkan cip mikro bagi kucing peliharaan.

HDB memberitahu Mediacorp ini akan membolehkan kucing dapat dikesan, dan pemilik kucing dipertanggungjawabkan bagi haiwan peliharaan mereka.

"Ini akan membantu mengurangkan kebimbangan  mengenai gangguan dalam masyarakat," tambahnya.

Cadangan kedua pula meneroka langkah untuk melanjutkan program 'Perangkap-Kembiri-Cari Rumah Baru/Lepaskan Secara Terurus (TNRM) kepada kucing masyarakat juga.

Kucing seperti itu akan dikembiri selepas ditangkap, dan kemudian ditempatkan semula di rumah baru atau dilepaskan semula ke dalam masyarakat.

Ketiga, AVS mencadangkan kerjasama berterusan dengan masyarakat dan kumpulan kebajikan haiwan untuk meneroka cara menggalakkan lagi pemilikan kucing yang bertanggungjawab, pengambilan kucing dan penjagaan kucing masyarakat yang bertanggungjawab.

"Contohnya ialah berkongsi dengan pemilik haiwan peliharaan baru mengenai penjagaan haiwan kesayangan mereka. Usaha sedemikian akan membantu melindungi kesihatan dan kebajikan haiwan peliharaan kami," kata AVS.

Agensi itu berharap dapat berkongsi hasil penemuan perundingan awam dan cadangan yang disemak semula itu pada 2023.

PROJEK SAYANGI KUCING DAN #SGCATSINFLATS

Satu program perintis bernama Project Love Cats dilancarkan pada Oktober 2012 di Chong Pang.

Projek itu disokong Anggota Parlimennya K Shanmugam dan Kementerian Pembangunan Negara (MND).

Project Love Cats dilaksanakan untuk menguji rangka kerja pengurusan masyarakat mengenai pemilikan kucing yang bertanggungjawab, kata AVS ketika itu.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Persatuan Kebajikan Kucing menyatakan Project Love Cats masih diteruskan, dan 126 isi rumah berdaftar sudah dikenalpasti.

Ia juga mendapati bahawa 90 peratus daripada pemilik yang dikenal pasti adalah pemilik kucing yang bertanggungjawab, manakala selebihnya "tidak bertanggungjawab, pesalah bentan dan menyumbang kepada majoriti maklum balas berkaitan kucing di kawasan mereka."

Menurut Persatuan Kebajikan Kucing tinjauan yang dijalankan,  #sgcatsinflats, meliputi lima kawasan undi pada 2022 menunjukkan sokongan berterusan, dengan kira-kira 91 peratus tidak membantah membenarkan pemilikan kucing di flat HDB.

"Kami sebagai sebuah masyarakat bersedia untuk menghapuskan larangan pemeliharaan kucing dan membenarkan pemilikan kucing yang bertanggungjawab dalam HDB kami," katanya.

Persatuan Kebajikan Kucing dalam satu catatan Facebook pada Ahad berkata bahawa ia memerlukan HDB untuk membenarkan pemilikan kucing di flat kerana sebahagian besar pemilik kucing adalah "bertanggungjawab".

Persatuan itu berkata ia turut menyokong program memsang cip mikro dan TRNM yang dicadangkan.

Anggota Parlimen Louis Ng (PAP-Nee Soon) mengemukakan isu memelihara kucing di flat HDB awal tahun ini dengan merujuk kepada catatan Presiden Persatuan Undang-undang Adrian Tan di LinkedIn.

Dalam catatan itu, Encik Tan menyifatkan alasan HDB melarang pemeliharaan di flat HDB sebagai "teruk".

Encik Ng berkata "sudah tiba masanya kita ubah dasar kita untuk menerima hakikat - bahawa penduduk HDB dibenarkan memelihara kucing, yang boleh diambil pihak berkuasa jika didapati menyebabkan gangguan dalam masyarakat".

Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara Tan Kiat How berkata ketika masa itu bahawa "kami sedang mempertimbangkan isu ini dari pelbagai sudut, termasuk meningkatkan strategi kami bagi pengurusan kucing peliharaan dan kucing terbiar, untuk menguruskan keseluruhan jumlah kucing di Singapura dengan berkesan."

Sumber : CNA/SU/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan