Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sebab kes 'mengaku Nabi' dan 'nikah batin' ini lain daripada puluhan kes ajaran sesat lain?

Kini sudah lebih dua bulan kes yang didakwa ajaran sesat, di mana seorang lelaki dikatakan mengaku dirinya Nabi dan mengamalkan ‘nikah batin’ dengan lima orang wanita, berada dalam tangan polis. Kes itu masih lagi disiasat.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kini sudah lebih dua bulan kes yang didakwa ajaran sesat, di mana seorang lelaki dikatakan mengaku dirinya Nabi dan mengamalkan ‘nikah batin’ dengan lima orang wanita, berada dalam tangan polis. Kes itu masih lagi disiasat.

Tahukah anda bahawa kes tersebut sebenarnya kes pertama mengenai ajaran sesat yang dirujukkan kepada polis oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sejak lebih 50 tahun lalu.

Menurut MUIS, dalam tempoh itu juga ia sudah menangani lebih 30 aduan ajaran sesat tetapi belum ada kes ajaran sesat dibawa ke mahkamah.

BACA: MUIS buat laporan polis setelah akhiri siasatan berhubung kes individu sebarkan ajaran sesat: Masagos

Persoalannya, apakah yang membezakan kes 'mengaku Nabi' dan 'nikah batin' ini daripada puluhan kes ajaran sesat lain? Mengapa pula kes ajaran sesat yang lalu tidak dilaporkan kepada polis?

TIMBALAN MUFTI BERI PENERANGAN

Menjawab persoalan tersebut, Timbalan Mufti Ustaz Dr Mohd Hannan Hassan menjelaskan: "Dalam kes-kes sebelum ini, kita dapat menyelesaikan di peringkat Jawatankuasa Fatwa, ada pengakuan pihak-pihak yang dilaporkan dan ada bahan yang boleh dikaitkan langsung kepada yang tertuduh, dan kita mampu buat keputusan.

"Dalam satu kes ini, kerana tiada pengakuan dan ada penafian, maka tidak boleh membuktikan dengan jelas bahan-bahan bukti. Kuasa untuk menyelidik dengan lebih mendalam tidak ada pada kami, maka kami menyerahkan kepada pihak polis."

Ditanya pula mengapa lebih 30 ajaran sesat lain yang disiasat Jawatankuasa Fatwa tidak diserahkan kepada polis, dan sekadar menjalani kaunseling sahaja, Ustaz Dr Hannan menjawab bahawa ini kerana MUIS dan Jawatankuasa Fatwa lazimnya mengambil pendekatan mendidik dan bukan undang-undang.

Menurut beliau Jawatankuasa Fatwa akan bertemu dengan pihak-pihak yang melaporkan atau dilaporkan mengenai ajaran sesat.

"Kami akan adakan perbincangan. Jika disabit bahawa beberapa ajarannya adalah ajaran sesat, di atas pengakuan mereka, ataupun ada bukti-bukti jelas yang boleh dikaitkan langsung dengan pengamal atau pengajarnya, maka fatwa akan dikeluarkan.

"Ketika itu, kami akan mengambil pendekatan mendidik, memberikan kaunseling kepada para pengikutnya dan juga yang mengajar, kita akan memberikan nasihat dan kemudian, kami membuat pendidikan awam," ujar Ustaz Dr Hannan lagi kepada BERITAmediacorp.

ADA AJARAN DILIHAT 'GANJIL', TAPI ADA DALAM TRADISI KEISLAMAN

Namun dalam mendidik masyarakat mengenai ajaran-ajaran sesat, Ustaz Hannan menekankan bahawa sama penting adalah masyarakat tidak seharusnya menjatuhkan hukuman ke atas kumpulan atau individu yang mengamalkan sesuatu yang jarang dilihat.

"Ini kadang-kadang atas kekhilafan, pandangan beza oleh para ulama. Mungkin boleh dikatakan pandangan ganjil yang kita tidak biasa, tetapi ada di dalam tradisi (keislaman). Tetapi masyarakat tidak biasa.

"Jadi apabila masyarakat tidak biasa, mereka akan menuduh sebagai ajaran sesat. Dan itu juga harus dilakukan dengan hati-hati. Dan itulah kita tekankan bahawa kita harus melaporkan dengan bertanggungjawab."

Di sinilah Ustaz Dr Hannan menekankan peri pentingnya perkara itu diserahkan kepada golongan pakar dan ahli untuk membuat penilaian.

Sumber : BERITA Mediacorp/HK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan