Skip to main content

Singapura

Seah Kian Peng dicalonkan sebagai Speaker Parlimen, Indranee Rajah terus kekal sebagai Ketua Dewan

Encik Seah Kian Peng akan dicalonkan bagi pelantikan semula sebagai Speaker Parlimen apabila Parlimen kembali bersidang pada 5 September untuk sesi pertamanya sejak Pilihan Raya Umum pada Mei lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Seah Kian Peng dicalonkan sebagai Speaker Parlimen, Indranee Rajah terus kekal sebagai Ketua Dewan

Speaker Parlimen Seah Kian Peng (kiri) dan Ketua Dewan Indranee Rajah.

Diterbitkan : 20 Jun 2025 03:17PM Dikemas Kini : 20 Jun 2025 05:54PM
SINGAPURA: Encik Seah Kian Peng akan dicalonkan bagi pelantikan semula sebagai Speaker Parlimen apabila Parlimen kembali bersidang pada 5 September untuk sesi pertamanya sejak Pilihan Raya Umum pada Mei lalu.

Encik Seah, yang merupakan Anggota Parlimen bagi GRC Marine Parade-Braddell Heights, berkhidmat sebagai Speaker Parlimen sejak 2023.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah terus kekal sebagai Ketua Dewan, manakala Menteri Negara Kanan Zaqy Mohamad terus memegang peranan sebagai Timbalan Ketua Dewan, menurut Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat (20 Jun).

Sekalipun Speaker Parlimen dicalonkan oleh Perdana Menteri, beliau perlu dipilih oleh para Anggota Parlimen pada permulaan penggal baharu Parlimen. Manakala, jawatan Ketua Dewan dan Timbalan Ketua Dewan pula diluluskan oleh Perdana Menteri.

Speaker Parlimen mempengerusikan persidangan parlimen dan menguatkuasakan peratuan yang ditetapkan dalam Peraturan Tetap Parlimen bagi urusan parlimen yang teratur.

Walaupun Speaker Parlimen tidak seharusnya seorang anggota parlimen, beliau harus memiliki kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya sebagai seorang anggota parlimen.

Cik Indranee, yang juga Menteri Kedua bagi Kewangan dan Pembangunan Negara merupakan Ketua Dewan sejak 2020.

Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran Zaqy Mohamad merupakan Timbalan Ketua Dewan sejak 2020.

Parlimen Singapura yang ke-15 akan mempunyai 97 anggota parlimen dilantik dan dua anggota parlimen tanpa kawasan undi.

Sesi baharu akan bermula dengan pelantikan Speaker Parlimen dan upacara angkat sumpah para anggota parlimen pada pukul 5.00 petang pada 5 September.

Presiden Tharman Shanmugaratnam akan menyampaikan ucapan pembukaan pada hari yang sama.

Beliau akan menggariskan keutamaan, dasar dan program-program pemerintah.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita