Skip to main content

Singapura

Seah Kian Peng dicalon Speaker Parlimen baharu SG

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 Jul 2023 12:27PM Dikemas Kini : 21 Jul 2023 09:00PM
SINGAPURA: Anggota Parlimen (AP) Marine Parade Seah Kian Peng akan dicalonkan sebagai Speaker Parlimen baharu Singapura apabila Parlimen bersidang pada Ogos.

Demikian diumumkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Jumaat (21 Jul).

Jawatan Speaker menjadi kosong selepas Tan Chuan-Jin meletak jawatan dari Parlimen dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) awal minggu kerana menjalin hubungan sulit dengan seorang lagi AP Cheng Li Hui.

Encik Seah, 64 tahun, telah menjadi AP GRC Marine Parade sejak 2006.

Beliau pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Speaker antara Oktober 2011 hingga Januari 2016.

Pada masa ini, Encik Seah juga adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NTUC Enterprise.

Tahun lalu, beliau meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif NTUC Fairprice yang mengendalikan rangkaian pasar raya terbesar di negara ini.

APA LANGKAH SETERUSNYA

Timbalan Speaker Parlimen Jessica Tan dilantik sebagai Pemangku Speaker sehingga Speaker baharu dipilih oleh Parlimen untuk mengisi jawatan itu.

Mengikut peraturan tetap Parlimen, mana-mana AP boleh mencalonkan orang lain atau dirinya sendiri ke pejabat itu. 

Jika hanya seorang calon dicadangkan, beliau akan  diisytiharkan oleh Setiausaha Parlimen sebagai dilantik menjadi Speaker.

Jika lebih daripada seorang calon dicadangkan, Parlimen akan memilih Speaker melalui undi.

Sidang Parlimen seterusnya adalah pada 2 Ogos.

Pengamat politik sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa keadaan di sekitar peletakan jawatan Encik Tan bermakna penggantinya akan diberi penelitian lebih rapi.

Sebelum penggal Encik Tan sebagai Speaker dari 2017 hingga 2023, Puan Halimah Yacob berkhidmat selama empat tahun dari 2013 hingga 2017 sebelum beliau mengundurkan diri untuk bertanding jawatan Presiden. 

Sebelum itu, Encik Michael Palmer berkhidmat selama setahun dan meletak jawatan pada 2012 selepas mengaku menjalin hubungan sulit.

Encik Abdullah Tarmugi berkhidmat selama sembilan tahun dari 2002 hingga 2011 manakala Encik Tan Soo Khoon berkhidmat selama 13 tahun dari 1989 hingga 2002.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita