SDP perkenal dua wajah baru untuk pilihan raya
Parti Demokratik Singapura (SDP) mendedahkan dua muka baru pada Ahad (4 Ogos), sedang setiausaha agungnya, Chee Soon Juan berkata, parti pembangkang itu sedang "mempertimbangkan dengan serius" untuk menampilkan calon-calon lebih muda bagi Pilihan Raya Umum seterusnya.
Cik Min Cheong dan Encik Fadly Azad diperkenalkan kepada media. (Gambar: Parti Demokratik Singapura)
SINGAPURA: Parti Demokratik Singapura (SDP) mendedahkan dua muka baru pada Ahad (4 Ogos), sedang setiausaha agungnya, Chee Soon Juan berkata, parti pembangkang itu sedang "mempertimbangkan dengan serius" untuk menampilkan calon-calon lebih muda bagi Pilihan Raya Umum seterusnya.
Mereka adalah pegawai bersekutu masyarakat Fadly Azad, 32 tahun, dan pakar pemasaran dan perhubungan, Min Cheong yang berusia 34 tahun.
Kedua-duanya diperkenalkan dalam satu sidang media semasa SDP mengadakan lawatan ke Pusat Penjaja dan Pasar Yuhua Village di Jurong East pada Ahad (4 Ogos).
Turut dilihat semasa lawatan itu adalah aktivis hak sivil Jolovan Wham, 39 tahun, yang memberitahu Mediacorp bahawa beliau lebih aktif dalam parti selepas meletak jawatan sebagai pengarah eksekutif sebuah kumpulan kebajikan pekerja asing iaitu Humanitarian Organisation for Migration Economics.
Encik Wham berkata, beliau kini menganggotai sayap Demokrat Muda SDP, yang buat masa ini mempunyai sekitar 40 peserta.
Mengulas tentang kemungkinan menjadi seorang calon dalam Pilihan Raya Umum akan datang, Encik Wham setakat berkata: "Tiada apa yang dapat dipastikan kecuali kematian dan cukai."
Encik Fadly dan Cik Cheong berkata mereka memilih untuk menjadi semakin aktif kerana merasakan dasar-dasar "bersifat belas ikhsan" yang dilakarkan parti selaras dengan prinsip mereka.
Misalnya, awal tahun ini, SDP mengumumkan ia merancang untuk menangani isu-isu kos sara hidup, termasuk satu usulan untuk memotong gaji para menteri bagi membantu membiayai skim-skim bantuan golongan miskin, dan menaikkan cukai pendapatan ke atas satu peratus penduduk yang paling kaya.
Encik Fadly menjadi relawan SDP sejak 2016 dan mula aktif menyediakan khidmatnya dalam sayap Demokrat Muda parti tersebut beberapa bulan lalu. Cik Cheong pula menjadi relawan pada 2011 bersama sayap wanita parti berkenaan pada awal tahun ini.
Dr Chee berkata SDP "benar-benar mempertimbangkan" menampilkan calon-calon muda bagi Pilihan Raya Umum seterusnya kerana mereka "sangat berkebolehan". Dr Chee bagaimanapun tidak mendedahkan calon-calon lain selain Encik Fadly dan Cik Cheong.
Bercakap kepada media di luar acara lawatan itu, beliau berkata para anggota muda SDP akan "membawa perbezaaan besar" dalam GE selanjutnya - yang sepatutnya diadakan sebelum April 2021.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.