Skip to main content

Singapura

SDP diberi kebenaran rayu keputusan kes POFMA

Parti Demokratik Singapura (SDP) diberi kebenaran pada Rabu (26 Feb) untuk merayu keputusan dalam kesnya terhadap arahan membetulkan catatan online parti tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
SDP diberi kebenaran rayu keputusan kes POFMA

(Gambar: SDP/Facebook, Calvin Oh)

Diterbitkan : 26 Feb 2020 11:18PM Dikemas Kini : 26 Feb 2020 11:41PM

SINGAPURA: Parti Demokratik Singapura (SDP) diberi kebenaran pada Rabu (26 Feb) untuk merayu keputusan dalam kesnya terhadap arahan membetulkan catatan online parti tersebut.

Dengan kelulusan itu, SDP akan membentangkan hujahnya di Mahkamah Rayuan, mahkamah tertinggi di Singapura.

Parti itu gagal dalam cabaran pertamanya terhadap perintah pembetulan di bawah Akta Perlindungan daripada Penipuan dan Manipulasi Online (POFMA).

Setiausaha Agung Chee Soon Juan memberitahu Mediacorp bahawa selepas satu perbicaraan ringkas secara tertutup parti itu diberi kebenaran untuk merayu keputusan kes tersebut pada satu tarikh kelak.

Namun, belum ada tarikh yang ditetapkan.

Ditanya sama ada mereka akan melantik peguam bagi rayuan itu, Dr Chee berkata "nampaknya kita perlu berbuat demikian", tetapi menambah bahawa perbincangan parti tersebut belum sampai ke tahap itu.

Dr Chee, yang diiringi oleh naib pengerusi John Tan, telah mewakili parti dalam perbicaraan tertutup bagi cabaran pertama POFMA bulan lalu.

SDP dikenakan arahan pembetulan oleh Menteri Tenaga Kerja berhubung tiga catatan online berkaitan pekerjaan di Singapura.

SDP membuat dua kenyataan yang dilabel sebagai palsu oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM): Bahawa pemberhentian kerja dalam kalanganPMET (golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen) tempatan semakin meningkat, dan pengambilan pekerja PMET tempatan semakin turun.

Kenyataan-kenyataan yang itu dibuat dalam satu rencana pada Jun 2019 di laman webnya dan dua catatan Facebook pada lewat 2019.

Hakim Ang Cheng Hock menolak rayuan pertama, dengan mengatakan beliau tidak dapat menerima tafsiran kenyataan yang ditawarkan SDP, menggunakan perangkaan yang sama dari MOM.

Ditanya apakah peluang SDP dalam rayuan yang akan datang, Dr Chee tersenyum dan berkata: "Saya tidak dapat memberitahu anda."

Mediacorp sudah menghubungi Pejabat Peguam Negara untuk maklumat lanjut.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita