Skip to main content

Singapura

SDC lantik pengerusi baharu, 6 anggota lembaga mulai 1 April

Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) akan mempunyai seorang pengerusi dan enam anggota lembaga baharu mulai Rabu (1 April).

Anggaran Waktu Membaca:
SDC lantik pengerusi baharu, 6 anggota lembaga mulai 1 April

Encik Edmund Koh (kiri) akan menggantikan Encik Bob Tan sebagai pengerusi Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) mulai 1 April 2026. (Gambar: MTI/SDC)

SINGAPURA: Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) akan mempunyai seorang pengerusi dan enam anggota lembaga baharu mulai Rabu (1 April).

Pelantikan baharu tersebut merupakan sebahagian daripada siri perubahan lembaga merentasi beberapa agensi pemerintah di bawah Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), menurut kenyataan media pada Selasa.

Encik Edmund Koh Kian Chew akan menggantikan Encik Bob Tan Beng Hai, yang melepaskan jawatan sebagai pengerusi SDC selepas berkhidmat dalam lembaga tersebut selama tujuh tahun. Encik Koh merupakan timbalan pengerusi semasa SDC.

“Saya berbesar hati mengalu-alukan Encik Edmund Koh sebagai pengerusi baharu,” kata Setiausaha Tetap MTI, Dr Beh Swan Gin.

“Encik Koh membawa pengalaman luas yang akan meletakkan beliau dalam kedudukan baik untuk memimpin Sentosa ke fasa pertumbuhan dan pembangunan seterusnya,” kata beliau.

Kini pengerusi Asia Pasifik UBS AG, Encik Koh sebelum ini berkhidmat sebagai pengarah urusan dan ketua perbankan serantau bagi kumpulan perbankan pengguna DBS, serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prudential.

Beliau juga pernah memegang jawatan pengarah dalam beberapa lembaga agensi pemerintah, termasuk Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Lembaga Tote, menurut MTI.

Encik Koh dianugerahkan Bintang Bakti Masyarakat tahun lalu atas sumbangannya kepada pembangunan nasional Singapura.

“Pada masa ini, beliau merupakan anggota Panel Penasihat Pusat Kewangan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Majlis Industri Sekuriti, Majlis Kepimpinan Antarabangsa untuk Asia Universiti Toronto dan Biro Asia untuk Kewangan dan Penyelidikan Ekonomi," tambahnya.

MTI merakamkan penghargaan kepada Encik Tan atas sumbangan beliau, sambil memuji kepimpinanya yang membimbing pertubuhan itu dalam menempuh pandemik COVID-19 serta meletakkan Sentosa pada landasan pertumbuhan dan pembangunan yang mampan.

“Beliau memainkan peranan penting dalam membentuk Pelan Induk Greater Sentosa (GSMP) dan memimpin SDC untuk berjaya mendapatkan kelulusan bagi meneruskan fasa pertama GSMP,” menerut kementerian tersebut.

“Di bawah kepimpinannya, SDC juga telah memupuk tindakan kolektif dan kerjasama yang lebih erat dalam kalangan rakan kongsi dan pihak berkepentingan di seluruh masyarakat pulau,” tambahnya.

Pada 2021, Sentosa mengumumkan fasa seterusnya Pelan Hala Tuju Strategik Sentosa Mampan, dengan matlamat untuk menjadi sebuah destinasi pelancongan mampan yang diiktiraf di peringkat global.

Di bawah kepimpinan Encik Tan, Sentosa mengukuhkan kedudukannya sebagai “destinasi bertaraf dunia dan mampan bagi aktiviti gaya hidup dan rekreasi, memacu inovasi dalam pengalaman pelancongan, serta menyumbang secara ketara kepada industri pelancongan Singapura,” kata Dr Beh.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Bob Tan atas sumbangan beliau yang amat berharga sebagai pengerusi SDC,” katanya.

MTI turut mengumumkan enam pelantikan baharu ke dalam lembaga SDC, iaitu:
 
  • Cik Philomena Aw, Timbalan Setiausaha (Industri) di MTI
  • Encik Vernon Khoo, pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Flagship Corporation Far East
  • Cik Elizabeth Kong, penasihat undang-undang bagi Asia di Kumpulan 3M
  • Cik Lee Yan Hong, pengarah urusan dan ketua sumber manusia kumpulan di DBS
  • Encik Christopher Wong, anggota majlis Majlis Seni Kebangsaan
  • Encik Arrif Ziaudeen, rakan kongsi di Susquehanna Asia Venture Capital, Singapura
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita