Skip to main content

Singapura

SCZone boleh jadi pintu masuk untuk syarikat SG ke pasaran Timur Tengah, Afrika & Eropah, agensi SG-Mesir meterai 6 MoU

Anggaran Waktu Membaca:
KAHERAH: Syarikat-syarikat Singapura boleh meraih peluang besar daripada Zon Ekonomi Terusan Suez (SCZone) di Mesir.

Ia juga boleh menjadi laluan bagi syarikat-syarikat Singapura memasuki pasaran Timur Tengah, Afrika dan Eropah.

Ini kerana bagi Singapura, SCZone dilihat sebagai jambatan ekonomi yang boleh menghubungkan dua hab maritim penting dunia — Terusan Suez dan Selat Melaka.

Dalam kunjungannya ke SCZone, Presiden Tharman Shanmugaratnam diberi taklimat oleh pegawai kanan zon ekonomi itu sebelum dibawa melawat pelabuhan dan kemudahan logistik di kawasan tersebut pada pagi Isnin (22 Sep).

SCZone yang dilancarkan pada tahun 2015, kini menjadi antara projek utama Mesir.

Dalam sidang media bersama Presiden Abdel Fattah Al-sisi pada Sabtu (20 Sep), Presiden Tharman berkata bahawa SCZone bukan sekadar pelabuhan, tetapi nadi pertumbuhan ekonomi Mesir.

"Zon ini telah meraih momentum yang signifikan sejak dilancarkan pada 2015, dan menarik pelaburan global yang besar. Syarikat-syarikat Singapura juga sedang meneroka peluang di zon tersebut, menyedari potensinya sebagai hab perdagangan dan perindustrian," kata Presiden Tharman.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Masagos Zulkifli, yang turut hadir pada Forum Perniagaan Singapura–Mesir pada Ahad (21 Sep) berkata bahawa SCZone boleh menjadi platform baharu kerjasama ekonomi dua hala.

“SCZone boleh menjadi sempadan baharu bagi kerjasama ekonomi kita — mewujudkan pekerjaan dan kemakmuran di Mesir, sambil menawarkan syarikat-syarikat Singapura pintu masuk ke Timur Tengah dan Afrika,” ujar beliau.
Related article image
Presiden Tharman Shanmugaratnam melawat pelabuhan dan kemudahan logistik di kawasan SCZone pada pagi Isnin (22 Sep). (Gambar: Nurhelmy Hakim)
6 PERJANJIAN & MoU DIMETERAI

Forum Perniagaan tersebut juga menyaksikan pemeteraian enam perjanjian dan Memorandum Persefahaman (MoU) antara agensi Singapura dengan Mesir.

Ia meliputi bidang pendidikan teknikal dan vokasional di mana Khidmat Pendidikan ITE dengan Universiti Saxon Mesir misalnya, berkolaborasi dalam projek pengurusan hospitaliti.

MoU antara Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura (SIAC) dan Akademi Latihan Kebangsaan Mesir pula ingin memperkukuh keupayaan Mesir dalam timbang tara antarabangsa.

Lawatan Presiden Tharman ke SCZone dan pemeteraian enam MoU tersebut menandakan satu tahap baharu dalam hubungan Singapura–Mesir.

Ia menggabungkan kepakaran Singapura dengan aspirasi Mesir untuk pembangunan dan sebagai pintu masuk strategik ke tiga benua.

Hubungan diplomatik Singapura dan Mesir sudah terjalin sejak 1965, apabila Mesir menjadi negara Arab pertama yang mengiktiraf kemerdekaan Singapura.

Kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik pada tahun depan.
Sumber : BERITA Mediacorp/HK/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita