SCT Mohamad Afzal Mohamad Zin antara lebih 1,170 kadet dapat pentauliahan sebagai spesialis, pakar tentera
SCT Mohamad Afzal Mohamad Zin antara 952 kadet Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang menerima pentauliahan sebagai spesialis dan pakar tentera. (Gambar: MINDEF)
Beliau merupakan antara 952 kadet Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang menerima pentauliahan sebagai spesialis dan pakar tentera pada Khamis (20 Ogos).
Menurut SCT Afzal, yang juga penerima bayonet perak, pengalamannya sebagai bekas pelajar di Sekolah Sukan Singapura telah membentuk jati dirinya untuk memiliki sikap disiplin.
"Ini adalah peluang terbaik untuk saya mempelajari kemahiran kepimpinan dan saya harap untuk membawa kemahiran-kemahiran ini ke masa depan apabila saya menjadi seorang jurulatih, kongsi SCT Afzal kepada BERITA Mediacorp.
Secara keseluruhannya, hampir 1,200 kadet tamat Kursus Kadet Spesialis selama 22 minggu.
Selain SAF, kadet-kadet lain merupakan dari Angkatan Laut Republik Singapura (RSN), Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) dan Perkhidmatan Digital dan Perisikan (DIS).
PENTINGNYA NILAI EMPATI SEBAGAI PEMIMPIN
Pengalaman menjalani latihan bukan sahaja membentuk diri SCT Afzal sebagai seorang pemimpin.
Ia bahkan mengajarnya erti empati dan tanggungjawab menerusi pelbagai kejadian yang berlaku sepanjang 22 minggu latihan.
"Satu situasi yang saya hadapi apabila latih saya memeriksa kadet-kadet di belakang. Semasa 'Interval Fast March' dan ini membuat saya sedar yang kita tidak boleh ketinggalan orang, apabila kita jadi komander. Kita sebagai komander mesti selalu memeriksa keselamatan orang,"kongsi SCT Afzal lagi.
Dalam ucapannya semasa upacara tamat kursus, Menteri Negara Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan, Rahayu Mahzam menekankan kepentingan dalam membangunkan keupayaan SAF.
Cik Rahayu berkata: "Walaupun SAF terus berkembang dari segi kelengkapan, doktrin dan latihan, satu perkara tetap tidak berubah bahawa kekuatan terbesar SAF adalah anggotanya. Perkhidmatan Negara juga merupakan salah satu institusi terpenting yang menyatukan rakyat Singapura."
"Sebagai sebuah negara kecil, kami tidak boleh membuat andaian bahawa keadaan kini akan sama seperti keesokan hari. Kami mesti sentiasa bersedia berdepan dengan pelbagai cabaran baharu. Lantaran itu, Singapura sudah dan akan terus melabur dalam membangunkan Angkatan Tentera yang berwibawa dan boleh dipercayai," tambah beliau lagi.
Cik Rahayu turut mengiktiraf peranan penting yang dipegang golongan spesialis dan pakar tentera hari ini.
Beliau berkata: "Anda lebih daripada sekadar pakar teknikal atau komander unit-unit kecil. Anda merupakan peneraju asas-asas askar. Anda memastikan piawaian sentiasa dipatuhi dan kemahiran dikuasai. Anda juga memastikan setiap anggota perkhidmatan dilatih untuk melaksanakan tugas dengan penuh keyakinan dan selamat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.