Skip to main content

Singapura

Scoot terima penghantaran pertama pesawat Embraer E190-E2

Anggaran Waktu Membaca:
Scoot terima penghantaran pertama pesawat Embraer E190-E2

(Gambar: Embraer/Felipe Pires)

Diterbitkan : 12 Apr 2024 06:09PM
SINGAPURA: Syarikat penerbangan tambang jimat Scoot menerima penghantaran pertama pesawat Embraer E190-E2 pada Khamis (11 Apr).

Scoot, anak syarikat Singapore Airlines, menerima pesawat baharu itu daripada syarikat pinjaman pesawat Azzora dan Embraer, dalam majlis penyerahan di ibu pejabat pembuat pesawat berkenaan di Sao Jose dos Campos, Brazil.

"Dinamakan 'Explorer 3.0' sempena meraikan armada pesawat ketiga dan terbaharu Scoot, penyerahan E190-E2 menandakan kali pertama sebuah syarikat penerbangan Singapura mengenalkan pesawat daripada pengeluar Brazil," umum Azzora, Embraer dan Scoot dalam satu kenyataan media bersama.

Sekarang ini, Scoot mengendalikan pesawat Airbus A321 dan Beoing 787 Dreamliner. Pesawat E190-E2 yang lebih kecil berbanding pesawat sedia ada akan membolehkan Scoot membuka laluan baharu di mana permintaannya lebih rendah.

Explorer 3.0, pesawat pertama daripada sembilan E190-E2 yang ditempah Scoot, akan tiba di Singapura pada 15 April. Pesawat kedua dijangka dihantar pada hujung bulan ini.
Related article image
(Gambar: Embraer/Felipe Pires)
Scoot akan menerima penghantaran tiga lagi pesawat E190-E2 tahun ini, dengan baki empat lagi pesawat pada 2025.

"Kami berbesar hati untuk menjadi syarikat penerbangan pertama Singapura untuk menggunakan pesawat moden dan jimat bahan api. Pesawat E190-E2 penting dalam strategi pertumbuhan rangkaian keseluruhan kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif (COE) Scoot Leslie Thng dalam satu kenyataan.

"Penghantaran pertama Embraer E190-E2 mencerminkan keyakinan kami dalam permintaan bagi perjalanan udara dan komitmen kami untuk menghubungkan pelanggan kami kepada lebih banyak destinasi pada nilai harga yang sama."

Pada bulan lalu, Scoot mengumumkan bahawa ia akan mula mengendalikan penerbangan antara Singapura dan enam destinasi di Asia Tenggara menggunakan pesawat Embraer baharu pada Mei.

Pesawat tersebut akan digunakan untuk laluan baharu ke Koh Samui di Thailand, dan penerbangan ke empat destinasi sedia ada: Hat Yai dan Krabi di Thailand, dan Kuantan dan Miri di Malaysia.

Khidmat E2 Scoot akan bermula pada 7 Mei dengan penerbangan Explorer 3.0 pertama ke Krabi.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita